recent
Terkini | تركيني

Memperingati Nuzul Quran

Laman utama


Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril di dalam bahasa Arab pada bulan Ramadhan iaitu bulan rahmat, bulan keampunan dan bulan pembebasan daripada api neraka. Firman Allah SWT yang bererti :

"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah"

(Surah Al-Baqarah : 185)

Menurut Alhafiz Ibn Kathir, Allah SWT memuji bulan ini berbanding bulan-bulan yang lain adalah kerana Dia telah memilih bulan ini untuk diturunkan Al-Quran. Bahkan terdapat di dalam hadis bahawa di dalam bulan ini juga telah diturunkan kitab-kitab samawi yang terdahulu.

Ibnu 'Abas RA mengatakan "diturunkan Al-Quran dipertengahan bulan Ramadhan iaitu daripada Luh Mahfuz ke Baitul 'Izzah di langit dunia kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur selama 23 tahun".

Persoalannya, bagaimana sikap kita sebagai hamba Allah terhadap Al-Quran lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan, bulan yang diturunkan Al-Quran ini? Nabi SAW sentiasa membaca Al-Quran dan pada bulan Ramadhan, baginda bertadarrus Al-Quran bersama Jibril sehingga khatam pada setiap tahun dan pada Ramadhan yang terakhir sebelum kewafatannya, baginda telah bertadarrus bersama Jibril sebanyak dua kali.

Para salafus soleh memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada bulan Ramadhan. Az-Zahri Rahimahullah telah berkata, "Hanyasanya bulan Ramadhan itu adalah tilawatul Quran dan memberi makan kepada orang".

Imam Malik Rahimahullah pula apabila tiba Ramadhan akan meninggalkan pengajian hadis beliau dan menggantikan dengan bacaan Al-Quran. Demikian dengan para salafus soleh yang lain. Oleh sebab itu, pastikan kita memperbanyakkan bertadarrus Al-Quran pada bulan ini.

Bertadarrus di dalam pengertiannya iaitu membaca dan melafazkan ayat-ayatnya. Terdapat banyak sekali hadis yang menceritakan tentang kelebihan membaca Al-Quran. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA yang bermaksud :

"Orang yang mahir membaca Al-Quran akan bersama malaikat yang mulia dan orang yang membaca Al-Quran sedangkan dia tergagap-gagap baginya dua pahala"

Apa yang dimaksudkan dengan dua pahala adalah yang pertama kerana membaca Al-Quran dan yang kedua kerana dia menanggung kesusahan untuk membacanya tetapi tetap berusaha untuk membaca.

Di dalam hadis yang lain, Ibnu 'Abas meriwayatkan yang bermaksud :

"Siapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan dilipatgandakan menjadi 10 kebaikan sepertinya dan aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf. Akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf"

(Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Demikianlah terdapat banyak nas yang menggalakkan membaca Al-Quran terutamanya di bulan Ramadhan ini.

Manakala pengertian tilawah dalam erti kata mentadabbur iaitu membenarkan segala isi kandungannya dan menurut segala hukumnya dengan mematuhi perintah Nya dan meninggalkan segala larangan Nya. Inilah pengertian utama dan tujuan terbesar penurunan Al-Quranul Karim. Itulah yang disebut dustur atau perlembagaan hidup. Manusia yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup pasti akan selamat di dunia dan di akhirat. 

google-playkhamsatmostaqltradent