recent
Terkini | تركيني

Cukai Tanah : Tanggungjawab dan Kewajipan Membayarnya

Laman utama


Sesebuah negeri pada lazimnya menjana ekonomi melalui beberapa sumber seperti hasil tanah, hasil hutan, hasil pertanian, hasil pelancongan dan sebagainya dalam membiayai perbelanjaan terhadap pembangunan negeri serta menjaga kebajikan rakyat negeri tersebut. Menurut hukum Islam dan selari dengan prinsip siyasah syari'yyah, sesebuah negeri mempunyai hak dalam mewujudkan dasar cukai tertentu bagi menampung perbelanjaan negeri, menjamin keselamatan rakyat serta mewujudkan persekitaran negeri yang harmoni. Sistem cukai yang dibentuk ini perlulah dilaksanakan secara adil serta tidak membebankan rakyat jelata.

Imam Abu Yusof seorang ulama yang mahir dalam selok belok percukaian Islam menyatakan sesebuah negeri boleh menaikkan atau menurunkan kadar cukai mengikut kemampuan rakyat. Pandangan Imam Abu Yusof ini amat tepat kerana dalam usaha mewujudkan dasar percukaian ini, kajian yang teliti perlu dilaksanakan supaya rakyat tidak menanggung beban terutama mereka yang terdiri dari golongan daif dan miskin.

Berdasarkan kepada sejarah Islam, sistem percukaian ini telah wujud sejak zaman dahulu lagi. Antara cukai yang pernah dilaksanakan adalah seperti :

  1. Jizyah - merupakan cukai kepala yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang menetap di bawah pemerintahan Islam. Dengan cukai jizyah, mereka berhak mendapat perlindungan dan penjagaan terhadap segala aspek sama ada harta, keluarga, darah dan sebagainya.
  2. Ghanimah – merupakan harta yang dirampas dari orang bukan Islam dalam peperangan. Ghanimah meliputi harta yang dapat dibawa dari perang, tawanan dan tanah.
  3. Kharaj – merupakan cukai hasil tanah yang dikenakan terhadap tanah-tanah yang dibuka oleh orang Islam secara peperangan pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Cukai kharaj dilaksanakan secara meluas apabila Khalifah Umar Al-Khattab berdasarkan ijtihadnya dan beliau telah mengarahkan supaya tanah yang diperolehi daripada hasil peperangan tidak lagi diberikan kepada tentera yang berperang secara ghanimah, sebaliknya tanah tersebut dijadikan wakaf bagi kepentingan orang-orang Islam dan bukan Islam.
  4. Faii – merupakan harta rampasan daripada orang kafir Harbi tanpa peperangan seperti harta orang-orang murtad dan kafir Harbi yang ditinggalkan. Faii juga terdiri dari harta yang diperolehi melalui jalan perdamaian setelah pihak musuh menyerah kalah.
  5. Usyur – merupakan cukai perniagaan yang dikenakan sebanyak 10% kepada peniaga kafir harbi, dikenakan 5% kepada peniaga kafir zimmi dan 2.5% dikenakan kepada peniaga muslim. Pengurangan cukai diberikan kepada peniaga muslim kerana mereka mempunyai tanggungjawab dalam mengeluarkan zakat perniagaan pada kadar tertentu.

Berdasarkan beberapa contoh cukai yang telah disebutkan sebentar tadi, mekanisma cukai yang dibuat adalah bertujuan untuk menampung perbelanjaan dalam urus tadbir negara.

Cukai tanah adalah salah satu komponen daripada hasil tanah yang memberi sumbangan besar kepada hasil sesebuah negeri. Cukai tanah ini dikutip secara tahunan berlandaskan Kanun Tanah Negara 1965 dan cukai ini dikenakan kepada pemilik-pemilik tanah sebagai balasan kepada pihak berkuasa negeri kerana telah memberi milikan tanah kerajaan tersebut kepada pemohon sama ada untuk diusahakan atau didiami. Dalam hal ini, cukai tanah ini akan dikenakan kepada semua jenis pemilik yang didaftarkan sama ada atas nama individu, perbadanan atau syarikat meliputi tanah-tanah yang digunakan untuk tapak perniagaan, rumah-rumah kediaman, kilang-kilang, tanah pertanian seperti sawah padi, kebun getah, kebun kelapa sawit dan sebagainya.

Cukai tanah ini perlu dibayar sekali setahun di pejabat-pejabat tanah daerah/jajahan, van bergerak yang disediakan oleh pejabat tanah dan tempat-tempat yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa negeri. Adalah menjadi tanggungjawab pemilik tanah untuk membayar cukai tanah yang dikenakan tersebut.

Ramai pemilik tanah keliru di antara cukai pintu dan cukai tanah terutamanya bagi mereka yang memiliki tapak premis perniagaan dan rumah kediaman. Mereka beranggapan bahawa cukai pintu yang telah dibayar di Majlis-majlis Daerah dan Majlis-majlis Perbandaran turut merangkumi cukai tanah. Kekeliruan ini sekaligus menyebabkan kerajaan negeri tidak dapat memungut hasil cukai tanah pada jumlah yang sepatutnya.

Tidak kurang juga terdapat segelintir pemilik tanah yang tidak membayar cukai tanah disebabkan mereka telah menggadaikan tanah tersebut di institusi kewangan seperti bank, koperasi atau bahagian pinjaman perumahan kerajaan. Mereka beranggapan bahawa cukai tanah perlu ditanggung oleh pemegang gadaian kerana institusi kewangan tersebut yang memegang geran hak milik tanah tersebut. Sesungguhnya tanggapan ini adalah salah sama sekali kerana tanggungjawab membayar cukai tanah masih dipertanggungjawabkan ke atas pemilik tanah walaupun geran hak milik tidak berada dalam simpanan.

Setiap tahun, pemilik tanah adalah dipertanggungjawabkan untuk menjelaskan cukai tanah dalam tempoh yang ditetapkan iaitu bermula dari 1 Januari sehinggalah 31 Mei tahun berkenaan. Seandainya pemilik tanah gagal menjelaskan cukai tanah pada tempoh yang telah ditetapkan, cukai tersebut akan dianggap tertunggak dan pemilik tanah perlu menanggung denda atas kelewatan menjelaskannya. Denda lewat ini akan dikenakan pada kadar tertentu selaras dengan Seksyen 96 Kanun Tanah Negara 1965. Sekiranya pemilik tanah masih gagal untuk menjelaskan jumlah tunggakan berserta denda lewat yang dikenakan, jumlah yang perlu dibayar akan terus meningkat berkali ganda daripada jumlah asal yang perlu dibayar.

Sebelum ini, pembayaran cukai tanah hanya boleh dilakukan secara tunai di pejabat-pejabat tanah. Namun sejak pandemik Covid 19, kerajaan negeri telah menyediakan platform pembayaran cukai tanah secara tanpa tunai (cashless).Pemilik tanah boleh melakukan pembayaran cukai tanah secara atas talian (online) atau pun di kiosk-kiosk yang disediakan.

Cukai tanah yang tidak dibayar akan dikira tertunggak dan apabila capai jumlah atau tempoh tertentu, tindakan penguatkuasaan akan diambil oleh kerajaan negeri. Pemilik tanah akan berhadapan dengan seksyen 130 hingga seksyen 134 di bawah Kanun Negara 1965 yang mana tanah yang terlibat boleh dilucutkan hak (dirampas) dan dikembalikan menjadi tanah hak milik kerajaan walaupun tanah tersebut telah didiami dan diusahakan oleh pemilik tanah. Apabila tanah bermilik telah digazetkan di bawah tanah kerajaan, maka bekas pemilik perlu meninggalkan tanah berkenaan walaupun sebelum ini telah mendiami atau mengusahkan tanah tersebut.

Jika pemilik tanah ingkar, maka kerajaan boleh mengenakan tindakan di bawah seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang membawa hukuman denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara tidak melebihi satu tahun. Sekiranya cukai tanah dijelaskan sepenuhnya, maka kerajaan dapat menggunakan hasil tersebut dalam menyediakan kemudahan asas seperti membina sekolah, jalan raya, hospital, masjid atau surau dan sebagainya. Selain itu, kerajaan juga dapat membantu dengan memberi sumbangan kepada rakyat yang sedang mengalami kesusahan dan memerlukan bantuan seperti mereka yang ditimpa bencana banjir, ribut, tanah runtuh, tsunami dan sebagainya serta juga sebagai keperluan jihad.

Justeru itu, sebagai pemilik tanah, jalankan tanggungjawab anda dengan menyegerakan pembayaran cukai tanah dalam tempoh yang telah ditetapkan supaya tidak membebankan pada masa hadapan.

google-playkhamsatmostaqltradent