Sempena ketibaan musim haji ini, mari kita memahami hikmah ibadah haji, rukun Islam kelima yang menjadi ibadah luar biasa berbanding rukun Islam yang lain.
Ibadah haji dianggap luar biasa kerana ia hanya boleh dilaksanakan di Baitullah dan di sekitar tanah haram Mekah. Tempat suci yang tertua di dunia ini menjadi tempat para rasul-rasul bertemu Allah, tempat permulaan Nabi Muhammad SAW menerima wahyu, tempat perjuangan para sahabat Rasulullah SAW dan para tabiin, tabi' taabiin dan salafussoleh berjihad menegakkan Islam.
Bagi memenuhi seruan Allah, jemaah haji daripada seluruh dunia berlumba-lumba datang melakukan perjalanan suci ke Baitullah. Firman Allah SWT dalam surah Al-Haj ayat 27
وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh"
Selain menjadi tetamu Allah SWT di Mekah dan tanah haram, adalah disunatkan jemaah haji mengadakan ziarah ke Masjid Nabawi. Umat Islam yang solat di dalamnya akan memperoleh pahala seribu kebajikan berbanding masjid lain selain daripada Masjidil Haram.
Perjalanan suci ibadah haji teryata luar biasa. Sebelum berangkat menunaikan haji, jemaah dinasihatkan bertaubat dan membersihkan diri daripada dosa. Kemudian mereka berniat haji di mikat dengan hati yang bersih, berihram serba putih dan wajib mematuhi pantang larang bagi menentukan penyerahan diri kepada Allah SWT itu diterima.
Gerakan ibadah haji ini seolah-olah menggambarkan manusia berduyun-duyun kembali menuju untuk menemui Allah SWT yang menciptakan mereka dan alam semesta ini.
Semua pelaksanaan amal ibadah mentaati perintah Allah SWT akan menghadapi ujian. Tetapi ujian Allah lebih hebat dalam ibadah haji kerana ibadah haji adalah kemuncak ibadah mentaati perintah Allah SWT. Mereka yang sempurna melaksanakan ketaatan dalam ibadah haji dianugerahkan haji mabrur iaitu ibadah haji yang diterima Allah SWT.
Jemaah haji perlu sedar bahawa amal ibadah haji menggunakan banyak tenaga, berjalan kaki siang dan malam, boleh menyebabkan keletihan tubuh badan. Selain daripada itu, kita juga menghadapi tingkah laku sebahagian jemaah haji yang tidak ada kasihan belas, tidak bertimbang rasa dan biadab ketika berada dalam masjid, ketika melakukan tawaf, bermalam di Arafah, Mina, tempat melontar di jamrah, saie dan kawasan tanah haram yang lain. Ujian-ujian Allah SWT ini boleh menyebabkan kita tidak sabar, tidak taat perintah Allah SWT dan mudah melakukan dosa.
Sifat sabar bererti berusaha menahan diri kita daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum agama. Sifat sabar dianggap sebagai tiang untuk menguatkan ketaatan mematuhi perintah Allah SWT. Rasulullah SAW menasihatkan kita bahawa orang yang tinggi sabarnya akan menjaga ketaatan perintah Allah SWT seperti menggenggam bara api.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud :
"Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api"
(HR At-Tazmizi)
Oleh sebab itu sifat sabar ini menjadi penyelamat kepada jemaah haji untuk mendapat haji mabrur. Dalam sejarah ibadah haji ini misalnya, pengalaman Nabi Ibrahim AS dan keluarganya menjadi petunjuk kepada kita. Nabi Ibrahim dan keluarganya menghadapi ujian terbesar yang kelihatan menyusahkan, menyedihkan dan menimbulkan perasaan waswas untuk mentaati perintah Allah. Bagaimanapun dengan kesabaran yang tinggi, dengan penuh ketakwaan dan dengan yakin menyerah diri kepada Allah, maka Nabi Ibrahim dan keluarganya ikhlas berkorban mentaati apa sahaja perintah Allah misalnya mentaati perintah menyembelih anak sulung mereka Nabi Ismail.
Syaitan yang menjadi musuh manusia berusaha memujuk Nabi Ibrahim dan keluarganya jangan mentaati perintah Allah. Tetapi dengan berpegang kuat dengan sifat sabar, maka Nabi Ibrahim dan keluarganya dapat memusnahkan pengaruh syaitan.
Pada masa ini, permohonan untuk menunaikan ibadah haji semakin mencabar. Kadang kala kita sudah ada kemampuan, sudah bersiap sedia untuk melaksanakan ibadah haji tetapi terhalang kerana menghadapi masalah kesihatan, ancaman keselamatan terpaksa menunggu masa yang lama untuk mendapatkan giliran atau pun langsung tidak mendapat peluang.
Rasulullah SAW menasihatkan kita bahawa sesiapa yang berazam dalam hatinya untuk mengerjakan sesuatu amal soleh tetapi ada halangan mengerjakannya maka akan dicatat baginya pahala. Maka Allah sudah tulis pahala 10 kali ganda dan boleh jadi berganda-ganda lagi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa dengan kuat ingin melakukan kebaikan kemudian tidak dapat mengerjakannya, maka satu kebaikan ditulis untuknya. Jika ia mengerjakan kebaikan tersebut, maka 10 kebaikan ditulis baginya. Dan sesiapa yang berniat melakukan kejahatan, kemudian tidak mengerjakannya, maka tidak ditulis apa-apa baginya. Jika ia mengerjakan kesalahan tersebut, maka ditulis satu kesalahan baginya"
(HR Imam Ahmad)
Kita perlu sedar bahawa urusan haji melibatkan urusan antarabangsa. Kita perlu bersabar dan wajib mentaati segala peraturan yang ditetapkan pihak ulul amri (pemerintah) sama ada di negara kita sendiri atau di Arab Saudi.
Kesimpulanya, Islam mengajar kita bersabar ketika menghadapi ujian Allah, bersabar ketika menerima musibah dan bersabar ketika menjalankan ketaatan perintah Allah. Orang yang sabar akan berusaha menjadi insan yang terbaik mentaati perintah Allah dan akan memperolehi pahala yang melimpah di dalam syurga. Begitulah kehebatan sifat sabar.
Allah SWT berfirman
قُلْ يَـٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ
Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".