Firman Allah SWT dalam surah Ali 'Imran ayat 133
وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"
Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita semua supaya sentiasa bertakwa agar beroleh kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat sana.
Takwa itu mudah dikata, mengikut suruhan Allah Yang Esa, beramal sunnah Nabi kita, pasti beroleh nikmat syurga. Namun ianya sukar dilaksana, cabaran datang serata-rata, ramai sudah yang kecewa, ramai juga yang berjaya. Soalnya kini tentang kita, usah pedulikan tentang mereka, adakah kita sudah bersedia, atau pun masih bermimpi leka.
Asas takwa ialah iman, ditanam kukuh akan keyakinan, bukan semata-mata berbentuk warisan, daripada leluhur kepada keturunan. Daripada iman lahirnya amalan, yang fardu dan wajib didahulukan, kemudian sunat menjadi tambahan, agar bernilai atas timbangan. Perkara yang harus itu kebebasan, yang makruh wajar dihindarkan, yang haram jangan sesekali diamalkan, kalau terbabas mohonlah keampunan. Ikhlas adalah satu tuntutan, ketika kita melakukan amalan, sunnah Rasulullah sebagai panduan, pasti kita tidak tersesat jalan.
Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 73 :
وَسِيقَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ رَبَّهُمْ إِلَى ٱلْجَنَّةِ زُمَرًا ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَٰبُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلَـٰمٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَٱدْخُلُوهَا خَـٰلِدِينَ
"Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata : 'Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya' (mereka pun masuk)"
Daripada Abu Hurairah RA. sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Allah SWT berfirman : Aku telah sediakan kepada hamba-hamba-Ku yang soleh (di dalam syurga) perkara yang tiada mata pernah melihat, tiada telinga pernah mendengar, dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia. Dan bacalah jika kamu mahu: Maka tiada seorang pun mengetahui apa yang disembunyikan daripada (nikmat syurga) yang menyejukkan mata, sebagai balasan apa yang telah mereka amalkan)"
(Riwayat Muslim)
Syurga bukan barang murahan, apabila ingin memilikinya perlukan bayaran, bukan wang dan emas perhiasan, tetapi amalan beserta keikhlasan. Pintu syurga luas tersedia, terbuka menanti kedatangan hamba, mereka yang memiliki takwa, bekalan amalan ibadat mestilah banyak untuk dibawa.
Syurga itu penuh nikmat, kebun dan taman bertingkat-tingkat, makanan dan minuman yang lazat-lazat, dijanjikan kepada mereka yang beribadat. Di sana terdapat bidadari, sungguh jelita tidak terperi, pakaian sutera lembut sekali, emas permata perhiasan diri. Dan nikmat yang paling indah, menjadi tumpuan sekalian ummah, dapat berdampingan dengan Rasulullah, dan juga bertemu dengan Allah.
لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ ٱلْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌۭ ۖ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌۭ وَلَا ذِلَّةٌ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
"Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya"
Berbetulan dengan bulan Ramadan, marilah kita tingkatkan amalan, untuk dibuat sebagai bekalan, perjalanan kita menuju Tuhan. Kepada suami dan juga bapa, tunaikanlah tanggungjawab terhadap keluarga, bukan semata-mata nafkah harta, tetapi agama yang lebih utama.
Para isteri di rumah tidak dilupa, taatlah suamimu dengan rela, selagi mereka menjaga agama, kerana merekalah kunci syurga. Kepada anak remaja juga dewasa, berbuat baiklah kepada ibu bapa, taatilah mereka jangan derhaka, kelak kita terjamin syurga.
Bila syurga bertahta dihati, segala amalan dilaksana pasti, tiada masa terbuang pergi, tanpa diisi dengan amal bakti. Redha allah matlamat akhir, janji sebagai hamba tidak akan dimungkir kerana hidup dan mati bagi Allah Yang Maha Mentadbir.
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَنُبَوِّئَنَّهُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ غُرَفًۭا تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ نِعْمَ أَجْرُ ٱلْعَـٰمِلِينَ
"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh"