recent
Terkini | تركيني

Zakat Diberi, Kemiskinan Ditangani

Laman utama

Zakat Diberi, Kemiskinan Ditangani | Ibadah zakat merupakan lambang kesempurnaan Islam. Islam bukan sekadar agama yang menitikberatkan ibadah khususiyah semata-mata tetapi Islam merupakan peraturan kehidupan yang memelihara keadilan dan kebajikan seluruh manusia. Tuntutan berzakat adalah bukti keadilan Islam supaya golongan yang berharta menunaikan tanggungjawab kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya. Sesungguhnya dana zakat inilah menjadi penyumbang kepada peningkatan taraf sosial, kerohanian, ekonomi, pendidikan, dan jati diri umat Islam.

Hukum membayar zakat adalah fardu ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi syarat-syarat wajibnya. Harta yang dimiliki seseorang apabila memenuhi syarat berikut; iaitu milik sempurna, milik tertentu, harta yang produktif, cukup nisab dan cukup haul, maka selayaknya dia menyegerakan pembayaran zakat.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda yang bermaksud : 

"Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun"

(HR Abu Daud)

Haul bermaksud berlalunya satu tahun ke atas harta yang dimiliki dalam kiraan tahun hijrah iaitu 354 hari atau mengikut tahun masihi selama 365 hari. Asas kiraan haul pada asalnya hendaklah menggunakan tahun hijrah, namun oleh kerana kebiasaan pada hari ini penggunaan kalender Masihi lebih luas penggunaannya dari kalender tahun Hijrah, maka masyarakat dibolehkan secara rukhsah menggunakan kalender tahun masihi sebagai rujukan dalam penentuan haul zakat.

Haul juga merupakan ruang untuk kita menilai diri kita bagaimana kita menguruskan harta yang Allah kurniakan kepada kita dalam tempoh setahun tersebut. Seseorang mungkin berada dalam keadaan senang dengan harta pada suatu waktu, maka kedatangan haul inilah mengingatkan kita bahawa kekayaan tersebut terselit padanya amanah yang mesti kita tunaikan kepada Allah SWT.

Ketika tibanya haul zakat inilah, kita seharusnya bermuhasabah sejauh manakah kita telah mengabdikan diri kepada Allah SWT dalam mengelola harta yang sementara pinjaman Allah ini. Zakat bukanlah hanya sekadar kewajipan harta, tetapi juga merupakan cara untuk membersihkan dan menyucikan harta dan diri kita daripada sifat ego dan serakah kepada keduniaan. Oleh demikian, menyegerakan pembayaran zakat sebelum akhir tahun ini bukan hanya sekadar menunaikan kewajipan, tetapi juga adalah kesyukuran kita kepada Allah SWT atas nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita sepanjang tahun.

Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ ٧

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras"

Sesiapa yang memiliki wang simpanan melebihi kadar nisab (rujuk pusat kutipan zakat negeri) yang terangkum dari semua jenis tempat simpan sama ada di bank-bank, institusi kewangan atau simpan sendiri adalah dikira sebagai orang yang sudah memiliki nisab atau kadar minima wajib zakat.

Jumlah nisab tersebut adalah termasuk simpanan di dalam Tabung Haji sebagai penilaian kecukupan nisab kepada simpanan-simpanan yang lain. Justeru, bagi sesiapa yang mempunyai wang simpanan seperti yang tersebut jadikanlah hujung tahun ini sebagai waktu terbaik menunaikan zakat simpanan kita masing-masing.

Perlu diambil perhatian juga mengenai qada' zakat. Apabila sesuatu ibadah yang wajib, ditinggalkan sama ada disebabkan terlupa, sengaja atau apa-apa sebab yang lain, maka ibadah tersebut adalah wajib diqada'. Hal ini termasuklah ibadah zakat yang mana pernah terluput satu ketika dahulu haruslah diqada kembali.

Kita sebagai manusia sering kali leka dan lalai dalam urusan peribadi kita, sibuk dalam mengejar kesenangan dunia sehingga terlupa suatu ketika kita adalah berkewajipan membayar zakat, tetapi kita tidak melaksanakannya. Ini bermakna kita telah mengabaikan perintah Allah SWT pada masa yang lalu. Maka inilah waktunya kita perlu menebus kembali kesalahan itu dengan segera, iaitu dengan menqada’kan semula kewajipan zakat-zakat kita yang lalu.

Ambillah kesempatan ini menyemak semula mana-mana zakat kita yang mungkin sebelum ini telah terlepas pandang daripada membayarnya atas apa-apa sebab sekalipun.

Tunaikanlah segera qada' zakat tersebut dan mohonlah keampunan kepada Allah SWT, mudah-mudahan dengannya kehidupan kita sentiasa dilimpahi rahmat dan redaNya.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 104 :

أَلَمْ يَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ يَقْبَلُ ٱلتَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِۦ وَيَأْخُذُ ٱلصَّدَقَـٰتِ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٠٤

"Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani"

Pelbagai strategi dan tindakan perlu dilakukan demi memastikan zakat yang ditunaikan oleh muzakki dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para asnaf zakat. Gerak kerja pengagihan zakat di negeri perlu sentiasa bergerak dan ditingkatkan dari masa ke semasa.

Zakat boleh diberi melalui pelbagai bentuk dan skim bantuan yang meliputi pelbagai aspek dan dimensi keperluan asnaf. Skim tersebut meliputi sara hidup, kesihatan, pendidikan, perlindungan serta penguasaan ekonomi umat Islam. Setiap skim tersebut adalah bagi memenuhi keperluan Maqasid Syariah iaitu penjagaan agama, nyawa, harta, akal (intelek), maruah serta keturunan.

Usaha-usaha ini sedikit sebanyak berjaya membantu asnaf untuk meningkatkan taraf hidup mereka ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya, usaha menangani kemiskinan hingga ke akar umbi bukanlah satu tugas yang mudah. Ia tidak dapat diselesaikan secara individu melainkan dengan usaha dan tenaga secara bersama. Melalui pemusatan wang zakat, pelbagai manfaat bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh kepada golongan yang berhak.

Sebagai kesimpulan, sedang kita berada pada penghujung tahun ini, marilah kita menjadikan ia sebagai peluang untuk menunaikan zakat ke atas semua jenis harta yang kita miliki seperti wang simpanan, hasil-hasil pendapatan, perniagaan, saham, KWSP, ASB, milikan emas, hasil padi dan ternakan.

Marilah kita jadikan detik akhir tahun ini sebagai peluang untuk meningkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT melalui ibadat berzakat. Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan dan petunjuk untuk melaksanakan kewajipan zakat dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT yang akhirnya dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan dari kita semua.

google-playkhamsatmostaqltradent