recent
Terkini | تركيني

Aurat Dipelihara, Hidup Sejahtera

Laman utama

Aurat dari segi bahasa ialah keaiban, manakala dari segi istilah Syarak bermaksud bahagian-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.

Menutup aurat mempunyai beberapa keadaan, setiap keadaan berkait rapat dengan siapa yang kita bergaul.

PERTAMA : AURAT KETIKA BERSENDIRIAN

Menurut pendapat Imam As-Syafi’ie : "Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika dharurat kerana ketika dharurat diharuskan membukanya". Nabi SAW bersabda yang bermaksud : 

"Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian"

[HR Muslim]

Imam Syafi’ie berpendapat : Aurat lelaki ada dua keadaan :

  1. Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Auratnya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja.
  2. Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya. Auratnya adalah seluruh tubuh badannya.

KEDUA : BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI

Para Ulama’ bersepakat aurat perempuan kepada lelaki yang bukan MAHRAMNYA ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT adalam surah An-Nur ayat 31 :

 وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ 

"Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada"

KETIGA : BATASAN AURAT WANITA MENURUT ULAMA’ MAZHAB

Antara batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh syariat menurut pendapat dan fatwa mazhab ialah ;

  1. Di hadapan lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuhnya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya wanita itu adalah aurat" (HR At-Tirmizi).
  2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auratnya adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhlak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahram dengannya. Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.
  3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah akhlaknya, aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.

Sanggupkah kita melihat isteri dan anak-anak diseksa dan diazab kerana tidak menutup aurat? Tentu sekali kita tidak sanggup, maka didiklah mereka dan sedarkanlah mereka bahawa menutup aurat diwajibkan kerana mempunyai peranan yang besar dalam hukum syarak, antaranya :

Pertama : Menutup aurat adalah perintah Allah. 

Perkara utama yang perlu dijelaskan kepada wanita yang kita sayangi, adalah menutup aurat itu perintah Allah. Menutup aurat bukanlah suatu fesyen dan bukan juga trend yang menjadi ikutan. Firman Allah SWT dalam surah An-Nur, ayat 31

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ ءَابَآئِهِنَّ أَوْ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَآئِهِنَّ أَوْ أَبْنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَٰنِهِنَّ أَوْ بَنِىٓ إِخْوَٰنِهِنَّ أَوْ بَنِىٓ أَخَوَٰتِهِنَّ أَوْ نِسَآئِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِينَ غَيْرِ أُو۟لِى ٱلْإِرْبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفْلِ ٱلَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا۟ عَلَىٰ عَوْرَٰتِ ٱلنِّسَآءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"

Kedua : Pendidikan bermula dari kecil. 

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Uqbah bin Amru RA, Bermaksud : 

"Antara perkara yang masih diamalkan umat manusia dari ajaran Nabi terdahulu ialah ‘Jika engkau tidak malu, buatlah apa saja yang kamu mahu"

Justeru itu, teraplah budaya pakaian yang menutup aurat sejak kecil. Berilah pujian dan galakan dengan membeli pakaian yang cantik dan menepati syariat. Bukan pada galakan dengan membeli pakaian yang mendedahkan aurat dan mencolok mata.

Ketiga : Kesan apabila menutup aurat diabaikan. 

Melihat timbulnya berbagai permasalahan sosial hari ini, timbul kegusaran di hati kita. Apabila wanita gagal menutup aurat dengan sempurna, pintu maksiat akan terbuka, gaya pemakaian wanita semakin bermaharajalela, penzinaan, mengundang bala, hidup tidak lagi sejahtera, keselamatan tiada lagi harga, orang yang menjaga aurat turut menjadi mangsa, yang mendedah aurat, dosa sedang menanti.

Kesimpulan yang boleh diambil ialah :

  1. Menutup aurat merupakan kewajipan setiap muslim dan muslimah. Ia perlu dilaksanakan berteraskan ketaqwaan kepada Allah.
  2. Didiklah anak-anak dan isteri menutup aurat dengan sempurna selaras tuntutan syariat untuk menutup ruang dan jalan maksiat di kalangan masyarakat.
  3. Pendidikan tentang kepentingan menutup aurat bagi lelaki dan perempuan perlu bermula dari kecil.

Pengabaian terhadap perkara penting ini akan memberi kesan buruk kepada gaya hidup bersyariat orang yang kita sayang. Kasih sayang yang hakiki ialah kasih sayang yang boleh membawa kita ke arah kebahagiaan di dunia dan sehingga ke syurga di akhirat kelak.

google-playkhamsatmostaqltradent