recent
Terkini | تركيني

Nuzul Al-Quran : Tadabbur Bil Quran

Laman utama

Marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini. Laksanakanlah segala amal ketaatan kerana pahala digandakan, dosa  diampunkan dan segala amal soleh diberikan keberkatan yang tiada bandingan.

Hari ini kita sudah berada pada hari ke-13 Ramadan, sudah tentu kita semua berada dalam prestasi  terbaik dalam mengisi Ramadan pada tahun ini. Selain daripada puasa yang merupakan kewajipan utama, solat jemaah, solat tarawih, qiyamullail dan lain-lain amalan juga amatlah digalakkan kita melaksanakannya, kerana keberkatan Ramadan menyebabkan ianya sentiasa melebihi kebaikkannya daripada hari-hari di bulan yang lainnya.

Suatu peristiwa yang terpahat kemas dalam sketsa kehidupan baginda Rasulullah SAW adalah peristiwa nuzul al-Quran yang berlaku pada 17 Ramadan ketika usia Rasulullah SAW 40 tahun. Peristiwa iqra’ اقرأ yang berlaku di Gua Hira’ menjadi titik perubahan kepada sejarah peradaban manusia. Detik itu  menandakan Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul dan membawa rahmat ke seluruh alam.

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ 

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah"

Surah Al-Baqarah : 185

Al-Quran diturunkan bukan hanya untuk dijadikan kitab bacaan dan hafalan semata-mata. Sebaliknya, Allah SWT mahukan umat manusia menjalani kehidupan dunia berpandukan dasar dan nilai yang terkandung di dalamnya.

Al-Quran tidak pernah menyisihkan sebarang isu permasalahan kehidupan manusia, baik isu besar mahupun isu yang dianggap remeh. Apatah lagi dalam situasi dunia moden hari ini yang sedang dilanda pelbagai cabaran.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jaathiyah, ayat 20 :

هَـٰذَا بَصَـٰٓئِرُ لِلنَّاسِ وَهُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّقَوْمٍۢ يُوقِنُونَ ٢٠

"Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini"

Berdasarkan maksud ayat-ayat Allah itu, jelas al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup buat manusia tidak terhad kepada perkara pokok berkaitan mengerjakan ibadat semata-mata.

Bertadabbur dengan al-Quran membawa maksud meneliti makna isi ayat-ayat suci al-Quran. Tadabbur merupakan perkataan Arab yang bermaksud pemikiran dan penelitian kepada sesuatu perkara yang baik, menghayati, merenung dan memikirkan ayat-ayat suci al-Quran dalam usaha untuk memahami makna, maksud, hikmah dan pengajaran di sebalik ayat-ayat suci tersebut. Allah telah berfirman dalam surah Yunus, ayat 57 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌۭ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ ٥٧

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman"

Ayat ini menjelaskan mengenai nasihat yang diberikan oleh al-Quran melalui hidayah Allah. Al-Quran juga merupakan penawar segala penyakit khususnya penyakit batin yang bermaksud sering kali ragu terhadap hakikat kebenaran. Penyakit ini berpunca dari hati yang sakit. Untuk mendapat hati yang sejahtera dan tenang, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran kerana ayat-ayat tersebut boleh meresap ke dalam qalb (hati) manusia sehingga menusuk ke dalam jiwa.

Maka menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk mentadabbur al-Quran dengan membaca ayat suci al-Quran secara perlahan-perlahan seterusnya cuba memahami makna tersirat di sebalik ayat-ayat tersebut.

Para cendekiawan telah menetapkan pelbagai prinsip dan cara-cara mentadabbur al-Quran yang boleh diamalkan oleh umat Islam dalam kehidupan seharian.

Antara prinsip-prinsip tadabbur al-Quran yang telah ditetapkan oleh Al-Sunaidi dalam karyanya yang berjudul ‘Tadabbur Al-Quran adalah pertama al-fahm yang bermaksud memahami ilmu; manakala al-fiqh adalah mendalami ilmu. Seterusnya, al-bashirah yang bermaksud penyempurnaan ilmu; manakala al-fikr merujuk kepada kefahaman hadir dalam hati untuk menghasilkan ilmu. Seterusnya, al-tafakkur yang bermaksud akal fikiran digunakan untuk menghasilkan kefahaman; manakala al-tadzakkur ialah gambaran ilmu yang hadir dalam qalb (hati) akan menghasilkan amal seseorang.

Seterusnya, al-ta’ammul yang bermaksud penelitian secara berulang kali sehingga mendapat kefahaman yang jelas mengenai makna di sebalik ayat; manakala al-i’tibar ialah mengambil iktibar daripada ayat tersebut. Akhir sekali, al-istibshar yang bermaksud membuat penelitian untuk menerangkan sesuatu perkara dan dijadikan sebagai dalil dan hujah dalam kehidupan.

Firman Allah SWT menerusi Surah al An’am ayat 38 :

أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِى ٱلْكِتَـٰبِ مِن شَىْءٍۢ 

"Tiada kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini"

Jika ada orang mendakwa tidak menemui jawapan dan penyelesaian dalam al-Quran, masalah sebenarnya bukan kekurangan pada al-Quran, sebaliknya puncanya terdapat dalam diri orang itu sendiri. Dia enggan menerima petunjuk al-Quran walaupun itulah jawapannya, hatinya keras untuk menerima al-Quran dan buta untuk melihat kebenaran.

Apakah kesannya sekiranya kita meninggalkan al-Quran dalam kehidupan seharian?

Pertama : Kehidupan menjadi sempit dan susah.

Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 124 :

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةًۭ ضَنكًۭا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ ١٢٤

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta"

Kedua : Terpengaruh dengan hawa nafsu secara melampau. Nafsunya didorong oleh syaitan yang membawanya kepada kesesatan.

Ketiga : Rasulullah SAW ada menyebut tentang orang yang langsung tidak membaca al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat al-Quran seperti rumah yang kosong tiada berpenghuni.

Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi yang bermaksud :

"Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air". Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula?. Katanya adalah dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.

Marilah kita sama-sama kembali kepada al-Quran dan ajarannya. Bersempena bulan Ramadan; bulan turunnya al-Quran, kita tingkatkan bacaan al-Quran. Pada masa yang sama, kita bertekad untuk memahami isi kandungan al-Quran. Hadirlah majlis-majlis ilmu di masjid ataupun surau. Banyakkan membaca kitab-kitab dan buku-buku agama yang berkaitan dengan al-Quran, atau sekurang-kurangnya mengikuti siaran melalui media sosial.

Moga-moga apabila meningkatnya kefahaman kita dengan al-Quran akan mengembalikan kita umat Islam ke landasan sebenar untuk memimpin umat manusia ini menuju kejayaan dan keredaan Allah SWT.

google-playkhamsatmostaqltradent