recent
Terkini | تركيني

Ramadhan Yang Ku Nantikan

Laman utama

Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana kita masih lagi diizinkan untuk bertemu dengan bulan Ramadhan pada tahun ini. Hampir seminggu kita berada di bulan Ramadhan yang penuh sarat dengan segala kebaikan dan ganjaran yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Ramadhan bererti panas terik umpama panasnya sinaran matahari. Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keistimewaan kerana ia bulan yang turunkan al-Quran, satu-satunya bulan yang disebut dalam al-Quran dan bulan yang dapat membersihkan diri kita daripada segala dosa sesama manusia dan juga dengan Allah SWT.

Orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT sentiasa menunggu kedatangan bulan Ramadhan. Ia juga disebut al-Mubarak iaitu bulan yang penuh keberkatan kerana di bulan ini Allah SWT menjanjikan segala kebaikan, rahmat dan keampunan kepada hambaNya yang beramal soleh serta sebagai motivasi atau pendorong kepada umat Islam supaya melaksanakan pelbagai ibadat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan penuh tertib dan beradab.

Cabaran yang paling besar bagi umat Islam di bulan Ramadhan, adalah untuk meningkatkan kualiti ibadat puasa itu sendiri. Namun begitu banyak faktor dan keadaan yang mencabar dan menggugat umat Islam, seolah-olah bulan Ramadhan sebagai ibadat lahiriah sahaja. Sedangkan ibadat puasa adalah untuk membentuk kekuatan dalaman. Oleh itu umat Islam perlu dan sewajarnya memahami falsafah puasa dan hikmahnya selaras dengan al-Quran dan Sunnah serta mengelakkan daripada menjadikan puasa hanya sebagai adat, pesta dan tradisi tahunan sahaja.

Di antara ciri-ciri dan tingkahlaku yang perlu dihindarkan bagi memelihara martabat puasa ialah :

Pertama : sifat malas dan lalai terhadap ibadah sunat seperti melakukan solat terawih, bacaan al-Quran, solat tahajjud dan sebagainya. Dalam kita melaksanakan ibadat kepada Allah SWT janganlah sekali-kali kita bersifat bakhil, kedekut, kikir, lokek dengan nikmat kesihatan sehingga tidak mahu tolong menolong dan bantu membantu.

Ramai orang yang memiliki badan yang sihat, tenaga yang kuat tidak mampu menghabiskan solat terawih sehingga dua puluh rakaat. Walau pun ia bukanlah satu kefardhuan tetapi ia melambangkan nilai keimanan dan kesyukuran kita sebagai hamba kepada Allah SWT.

Bagi golongan bapa, bulan Ramadhan ini merupakan peluang keemasan untuk mendidik anak-anak mencintai solat. Ingatlah anak-anak kita akan menjadikan kita sebagai contoh kepada mereka. Gunalah peluang ini untuk mendidik mereka menunaikan solat secara berjamaah di surau atau masjid secara konsisten agar boleh menimbulkan rasa seronok dan selesa mereka untuk bersolat jamaah.

Kedua : sikap malas untuk berdoa kepada Allah SWT sedangkan doa orang yang berpuasa itu akan dimakbulkan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Ali- Imran ayat 133 :

وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ١٣٣

"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"

Bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita memperbanyakkan amalan dan membersihkan diri, memohon keampunan daripada Allah SWT. Anggaplah Ramadhan adalah bonus yang Allah anugerahi kepada hambaNya. Sesungguhnya rugilah bagi sesiapa yang melepaskan peluang terbaik pada bulan yang mulia ini.

Ketiga : dalam keghairahan kita berbuka puasa jangan terpedaya dengan nafsu sehingga membawa kepada boros dan pembaziran. Kita dianjurkan oleh Rasulullah agar lebih bersederhana dalam berbuka puasa. Jangan kita jadikan waktu berbuka puasa sebagai medan membalas dendam setelah sehari suntuk perut tidak disi dengan makanan.

Berlebihan dalam makan dan minum ketika berbuka puasa, ia akan meletihkan badan, serta menjadikan kita malas dan menghalang kita daripada beribadah kepada Allah SWT.

Keempat : Tidak merebut peluang beribadat pada sepuluh malam terakhir Ramadhan kerana sibuk dengan persiapan hari raya. Seolah-olah menjadi satu penyakit yang sukar diubati dalam masyarakat kita. Ada sebahagian daripada masyarakat kita yang bersungguh-sungguh dan beria-ria benar menghidupkan ibadat puasa dan solat terawih hanya pada awal hingga pertengahan Ramadhan tetapi terbabas di sepuluh malam terakhir Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis daripada Aisyah RA yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

"Carilah dengan segala upaya malam Lailatul Qadar di malam-malam ganjil dari sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan"

Sebenarnya ibadat puasa merupakan faktor penyumbang ke arah kekuatan manusia sebenar. Ianya terletak pada tiga perkara utama iaitu akal, rohani dan jasmani. Akal menjadi kuat dengan pembacaan al-Quran, rohani menjadi kental dengan zikir dan istighfar. Fizikal pula mendapat ketahanan melalui puasa. Hakikatnya juga waktu adalah milik manusia yang berharga. Oleh itu marilah sama-sama kita tanamkan azam dan tekad kita untuk menjadikan Ramadhan al-Mubarak kali ini sebagai peluang kita untuk menggunakan segala kekuatan fizikal dan kesihatan serta kelapangan yang ada untuk mengaut sebanyak mungkin pahala dan kebajikan yang Allah SWT berikan padanya.

Marilah sama-sama kita lipat gandakan amalan kita, bukan hanya terbatas kepada perkara fardhu dan wajib sahaja, sebaliknya amalan sunat menjadi perhatian dan amalan harian kita. Sesungguhnya orang yang menangguh waktu untuk beramal itu, amatlah miskin orangnya di sisi Allah SWT. Justeru marilah sama-sama kita merebut peluang yang datang ini kerana tahun hadapan belum tentu kita yang ada pada hari ini berpeluang menemuinya.

google-playkhamsatmostaqltradent