recent
Terkini | تركيني

Ibadah Infaq Memaknai Ramadhan

Laman utama

Kita sedang berada di fasa terakhir Ramadhan 1447H. Di ambang perpisahan ini, marilah kita muhasabah diri. Tanyakan kepada diri masing-masing dengan jujur, apakah Ramadhan kali ini sudah mengubah kita menjadi hamba yang lebih dekat kepada Allah? Adakah al-Quran telah semakin hidup dalam hati kita? Adakah solat kita semakin bertambah kualiti dan khusyuk kepada Allah? Adakah akhlak kita sehari-hari telah dihiasi dengan sifat terpuji? Adakah tangan kita telah menjadi semakin ringan untuk memberi infak dan bersedekah atau sebaliknya semakin risau akan berkurangnya harta yang dimiliki buat sementara waktu ini.

Jangan biarkan Ramadhan berakhir tanpa penutup yang indah. Maka kerana itulah disyariatkan zakat fitrah di dalam bulan Ramadhan bagi menyempurnakan ibadah ruhiyah yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Zakat fitrah ini bukan sekadar bayaran wang semata-mata, bahkan ia adalah isyarat bahawa kita hendaklah keluar daripada madrasah Ramadhan dalam keadaan suci bersih dan kita tidak akan sanggup meraikan Syawal sementara saudara-saudara kita yang lain hanya mampu menahan lapar dan dalam keadaan serba kekurangan pada hari raya.

Zakat fitrah menjadi bukti bahawa Islam sedang membina satu bentuk masyarakat yang saling memelihara, peduli dan bukan hidup sendirian. Sekiranya Ramadhan melatih kita merasai lapar untuk seketika bagi merasai makna kesusahan, maka zakat fitrah mengajar kita supaya pengajaran itu tidak berhenti pada diri sendiri sebaliknya kita menghulurkan pula bantuan kepada orang lain yang serba kekurangan.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم menerangkan hikmah zakat fitrah dengan sangat jelas melalui hadis Ibnu ‘Abbas RA yang bermaksud :

"Rasulullah صلى الله عليه وسلم mewajibkan zakat fitrah sebagai penyucian bagi orang yang berpuasa daripada percakapan sia-sia dan keji serta sebagai makanan bagi orang miskin"

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Sepanjang Ramadhan, sememangnya kita dididik untuk menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Namun, sebagai manusia sudah pasti ada kekurangan dan kekhilafan. Kata-kata yang terkasar, gurauan yang melampau, pandangan yang tidak dijaga, rasa ujub dan bangga serta banyaknya membazir harta untuk perkara yang sia-sia. Maka Allah hadirkan zakat fitrah sebagai satu proses penyucian kesan daripada kelalaian kita sebagai seorang hamba.

Lihatlah bagaimana Ramadhan bulan yang penuh barakah ini menyatukan dua sisi yang sering dipisahkan oleh manusia iaitu dimensi ibadah kepada Allah dan dimensi sosial sesama manusia. Ramadhan mengajar kita bahawa taqarrub kepada Allah sudah pasti tidak boleh berdiri hanya dengan ibadah ruhiyah semata-mata tanpa menunaikan hak dan tanggungjawab kepada masyarakat sekeliling.

Zakat fitrah adalah ibadah yang wajib dan rukun bagi setiap individu muslim. Manakala sedekah dan wakaf pula disyariatkan sebagai medan pilihan infak bagi menambah aset akhirat. Ada orang mungkin mampu menahan dirinya dari makan dan minum pada siang hari Ramadhan tetapi tidak mampu menahan dirinya dari sifat bakhil dan kedekut terhadap harta. Ada juga orang yang rajin ibadah sepanjang malamnya tetapi pada siangnya takut untuk berkongsi rezeki sesama jiran. Sedangkan memberi itulah ubat yang paling cepat bagi melembutkan hati dan menundukkan nafsu manusiawi.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 :

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١

"Perumpamaan orang yang berinfak pada jalan Allah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada tiap tangkai seratus biji. Dan Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (rahmat) KurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya"

Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri telah menjadi contoh terbaik dalam mendidik umatnya agar memperbanyak sedekah, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Bahkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga adalah merupakan insan yang paling pemurah di bulan yang lain dan Baginda menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan. Maka seharusnya pada bulan Ramadhan inilah menjadi medan untuk kita melatih jiwa supaya suka memberi, menyantuni yang susah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ketahuilah bahawa kekuatan ummah bukan semata-mata pada jumlah bilangan mereka yang beriman, tetapi ia terletak pada keupayaan untuk menyatupadukan sumber kekayaan. Pendapatan umat Islam yang tidak tersusun dengan sumber yang pelbagai akan mudah menjadi lemah. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kos sara hidup meningkat dan tidak stabil, serta masyarakat yang terdedah kepada bencana serta krisis, umat Islam memerlukan satu sistem kewangan sosial yang kukuh sebagai payung seperti mana yang telah dipasakkan oleh syariat Islam iaitu kekuatan ekonomi melalui zakat, sedekah dan wakaf untuk diuruskan secara amanah, telus dan strategik.

Kesimpulannya, janganlah sesekali kita keluar daripada Ramadhan tanpa menunaikan zakat fitrah. Di dunia serba canggih ini, ibadah ini boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana sahaja sama ada melalui amil rasmi yang dilantik atau melalui saluran secara atas talian yang telah disediakan - https://zakat.e-maik.my/v8/index.php.

Marilah kita menunaikan zakat fitrah lebih awal supaya ia dapat diagihkan dan dimanfaatkan oleh golongan asnaf pada waktunya. Pada tahun ini, kadar zakat fitrah di negeri Kelantan ditetapkan pada dua kadar, iaitu RM 10.00 dan RM 22.00.

Bagi mereka yang berkemampuan dan hidup dalam keadaan senang serta memakan beras yang lebih mahal secara rutin, maka amat digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah pada kadar yang lebih tinggi sebagai tanda syukur kepada Allah atas nikmat rezeki yang dikurniakan. Ini kerana sesungguhnya pemberian yang lebih itu pasti akan diganjari dengan balasan yang berganda di akhirat kelak. Ramadhan pasti akan pergi. Tiada siapa yang tahu, adakah kita berpeluang untuk bertemu Ramadhan pada tahun hadapan.

Maka sebelum ia meninggalkan kita pada tahun ini, rebutlah peluang yang masih berbaki ini untuk memohon keampunan sebanyak-banyaknya kepada Allah SWT kerana pada bulan ini Allah telah membuka pintu taubat seluas-luasnya kepada hamba-hambaNya.

Rebutlah peluang 10 malam terakhir Ramadhan ini untuk kita kembali kepada Allah SWT dan tidak terlalai dengan persiapan untuk lebaran semata-mata. Jangan sesekali biarkan malam-malam yang mulia ini berlalu seperti malam biasa, hiasilah detik-detik terakhir ini dengan solat, al-Quran, beriktikaf, zikir munajat serta memperbanyak doa kepadaNya.

Mudah-mudahan Ramadhan meninggalkan kita dalam keadaan kita lebih takut kepada Allah SWT, lebih prihatin kepada manusia dan lebih rindu kepada al-Quran dan amal ketaatan.

google-playkhamsatmostaqltradent