recent
Terkini | تركيني

Ramadhan Madrasah Taqwa

Laman utama

Bersyukurlah kita kepada Allah SWT, kerana masih dipanjangkan umur untuk terus bernafas untuk sama-sama kita mengharungi bulan Ramadhan yang kita nanti-nantikan kedatangan dan kehadirannya sekian lama dengan penuh kerinduan. Marhaban Ya Ramadhan "Selamat Datang Wahai Ramadhan" Semoga kami beroleh kebaikan dengan kehadiranmu.

Ramadhan bulan yang Allah muliakan, bulan diturunkan padanya Al-Quran, bulan yang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu. Namun realitinya ramai manusia masih gagal memahami nilai Ramadhan, lalu bulan yang agung ini berlalu begitu sahaja tanpa perubahan, tanpa peningkatan, tanpa apa-apa kesan kepada jiwa.

Allah SWT mengingatkan kita dengan firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 185 :

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ 

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah"

Ayat ini membawa dua mesej besar.

Pertama, Ramadhan adalah madrasah pembentukan takwa, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Kedua, nilai Ramadhan diukur pada perubahan diri, bukan pada rutin fizikal semata-mata.

Tetapi hari ini kita melihat ramai dalam kalangan umat Islam mengulangi kesilapan yang sama setiap kali Ramadhan tiba antaranya ialah :

  1. Puasa badan tetapi tidak puasa lidah.
  2. Menahan lapar tetapi tidak menahan maksiat.
  3. Membaca Al-Quran pada awal Ramadhan kemudian terhenti tanpa istiqamah.
  4. Tarawih hanya semangat pada malam dan minggu pertama tetapi longgar pada malam-malam seterusnya apatah lagi pada 10 malam terakhir.
  5. Media sosial tetap penuh dengan dosa-dosa mata dan kata-kata nista serta sia-sia seolah-olah Ramadhan dan bukan Ramadhan sama sahaja.

Sedangkan Nabi SAW telah memberi amaran keras :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

"Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya selain lapar dan dahaga, dan berapa ramai orang yang bangun beribadah (qiyam) tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada ibadahnya selain berjaga malam" 

(Riwayat Ibn Majah, Nom 1690)

Lebih tajam lagi, Baginda SAW bersabda ketika Jibril mendoakan kecelakaan dalam sebuah hadis Riwayat al-Bukhari dalam kitab Adab al-Mufrad, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Celakalah bagi seorang hamba yang apabila datang kepadanya Ramadhan, kemudian Ramadhan berlalu daripadanya, tetapi dia tidak mendapat keampunan di dalamnya"

(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini merupakan tamparan paling keras untuk kita yang memandang ringan Ramadhan. Jika seseorang itu gagal mendapatkan keampunan dalam bulan yang penuh rahmat ini itu tanda kelalaian dan kerugian yang amat besar.

Kita semua tahu, usia bukan jaminan. Berapa ramai saudara-saudara kita yang pergi secara mengejut sebelum sempat bertemu Ramadhan. Maka, tanyakan kepada diri kita :

"Adakah Ramadhan ini, mungkin Ramadhan terakhirku?"

Jika ya, kenapa kita masih sambil lewa? Mengapa kita masih menangguhkan taubat? Mengapa kita masih malas membaca Al-Quran? Mengapa kita masih leka dengan dosa-dosa kecil yang merosakkan keberkatan puasa?

Sesungguhnya tujuan dan matlamat berpuasa itu telah disebut secara jelas oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa"

Takwa menuntut perubahan. Ramadhan yang sebenar ialah Ramadhan yang membentuk perubahan dari segi tutur kata yang lebih berhikmah, hati yang lebih lembut, keluarga yang lebih harmoni, jiwa yang lebih disiplin, sedekah yang lebih pemurah dan ibadah yang lebih berkualiti.

Marilah kita memperbaharui tekad Ramadhan pada tahun ini dengan berusaha menghidupkan malam dengan solat tarawih dan berqiyamullail walaupun sekadar dua rakaat secara konsisten. Jadikan Al-Quran sebagai sahabat harian — bukan sekadar hiasan yang tersusun rapi. Sucikan rezeki dengan bersedekah dan melakukan amal kebajikan kerana kepedulian sosial melatih diri simpati sesama insan serta didiklah anak-anak untuk merasai ruh Ramadhan, bukan sekadar mengikutinya sekadar rutin biasa.

Jika kita tidak berubah dalam bulan yang segala pintu kebaikan itu dibuka seluasnya, bererti kita belum lulus dalam madrasah ini, maka di bulan apakah lagi kita berharap untuk berubah?

Maka gunakanlah Ramadhan ini sebaik mungkin. Jangan biarkan ia berlalu sia-sia. Jangan menyesal ketika Syawal tiba, sedangkan peluang sudah tertutup untuk ke sekian kalinya.

Semoga kita dapat menjadi orang yang bertakwa seiring dengan seruan kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadhan. Maka kita juga dituntut untuk menjadi hamba Allah SWT yang terbaik dalam bulan yang penuh kebaikan ini.

google-playkhamsatmostaqltradent