Tauhid yang benar akan membawa kepada satu kepercayaan yang utuh bahawa Allah SWT adalah Maha Pencipta dan Maha Besar. Tiada yang setanding dengan-Nya. Kekuasaan-Nya tiada batasan dan tiada juga yang mampu menandingi-Nya.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 117 yang bermaksud :
"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila ia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya : 'Jadilah engkau' lalu menjadilah ia".
Jika kita merenung alam ini dengan sebaiknya, pasti akan terserlah kehebatan yang Maha Hebat Allah SWT dalam mentadbir segala urusan. Pada penciptaan langit dan bumi itu akan kita perhatikan keteraturan, keharmonian serta keindahannya yang tiada tolok bandingnya. Renungkah ke langit tatkala malam yang dihiasi dengan rembulan dan bintang-bintang. Lihatlah hamparan dataran yang terbentang luas dihiasi dengan gunung-ganang serta sungai dan lautan. Lihatlah juga pada penciptaan manusia itu sendiri. Jelas menunjukkan kebesaran dan kehebatan Allah SWT.
Namun, segala yang ada ini bukanlah hanya untuk direnungkan sahaja. Ianya juga untuk kita sama-sama berfikir dan bertadabbur bagi lebih menambahkan keimanan kita. Disebabkan itu, kita dapat perhatikan bahawa allah SWT telah memuji golongan ulul albab iaitu golongan yang berakal kerana sentiasa mengingati Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran ayat 190-191 yang bermaksud :
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siangterdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keaddan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) : 'Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka'".
Semoga Allah SWT menggolongkan kita di dalam golongan ulul albab yang sentiasa mentadabbur alam ini dengan melihat kehebatan Allah SWT seterusnya menghadirkan rasa keinsafan buat diri kita.
Apa sahaja yang berlaku adalah atas kehendak Allah. Musibah Covid-19 yang sedang melanda kita semua juga adalah atas ketentuan Allah 'Azza wa Jalla. Sebagai hamba-Nya hendaklah kita menerima dengan redha dan menginsafi diri atas segala kealpaan dan kesilapan kita sehingga turunnya musibah ini lalu kita bertaubat dan beristighfar serta berdoa kepada-Nya. Kita juga dituntut untuk berusaha dan berikhtiar. Mematuhi segala SOP dan mengambil vaksin juga adalah merupakan ikhtiar yang dituntut. Semoga Allah SWT mengkabulkan hajat dan permohonan kita semua. Amiin.