recent
Terkini | تركيني

Nabi Muhammad SAW Anugerah Terhebat Buat Kita

Laman utama

Marilah kita sentiasa bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dengan mentaati perintah-perintah-Nya kerana dengan takwa jua kita akan memperolehi keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Serta mensyukuri nikmat menjadi umat Nabi Muhammad SAW.


لَقَدْ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ

Ertinya : "Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata."

(Surah Al-Imran : Ayat 164)


Sempena bulan Rabiul Awal yang bermula pada hari ini, bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, marilah kita merenung dan berfikir sejenak tentang betapa besar, mulia dan agungnya risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW, kerana ia merupakan sebesar-besar nikmat dan anugerah Allah SWT kepada manusia dan seluruh makhluk-Nya. Kenapa tidak? Islam lah satu-satunya agama yang diakui oleh Allah SWT dan datangnya untuk menyelamatkan manusia serta memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat kepada penganutnya.


Allah memilih Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul yang terakhir dan diutuskan kepada semua manusia termasuk jin. Allah sediakan baginda dengan persediaan yang khusus dan istimewa serta menjadikannya manusia yang paling sempurna dan paling utama secara mutlak yang tidak diberi-Nya kepada yang lain. Baginda berada di kemuncak kelebihan dan ketinggian pada semua perkara kerana itu selayaknya baginda dipuji, disanjung dan menjadi panduan ikutan dan pembawa rahmat kepada sekalian alam sebagai hadiah daripada Allah SWT sebagaimana firman Allah :


وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَـٰلَمِينَ

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

(Surah Al-Anbiya : Ayat 107)


Sebagai seorang muslim hendaklah kita benar-benar mengenali peribadi Rasulullah SAW dengan membaca dan menghayati sunnah dan sirah perjalanan hidupnya kerana pada diri Rasulullah SAW penuh dengan teladan dan panduan bagi manusia. Allah SWT menyuruh kita supaya mentaati Rasulullah SAW kerana baginda terpelihara daripada melakukan dosa. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW adalah merupakan wahyu daripada Allah SWT.


Maka sesiapa yang mentaati Rasulullah bererti ia mentaati Allah, sesiapa yang mengikuti ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan menghidupkan sunnahnya maka menjadi bukti dan dalil bahawa dia seorang mukmin yang mencintai Rasulullah SAW dan layaklah dia akan bersama Rasulullah SAW di dalam syurga.

google-playkhamsatmostaqltradent