Berhati-hatilah dengan ancaman penipuan atau scammer dalam talian. Kelicikan penipuan kewangan atau scammer dalam talian semakin menjadi-jadi di Malaysia. Walaupun banyak tangkapan yang telah dibuat, namun kes penipuan begini masih lagi berlaku dengan kerugian yang ditanggung mangsa dengan jumlah kewangan yang begitu besar.
Secara umumnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengelaskan jenayah penipuan kewangan dalam talian ini kepada lima jenis iaitu;
- penipuan atau pinjaman yang tidak wujud
- e-dagang
- Macau Scam
- Love Scam
- tipu SMS
Ketika negara dilanda musibah Covid-19, operasi penipuan sebegini kerap berlaku. Menurut laporan PDRM dalam akhbar Berita Harian bertarikh 10 Mac 2022, sebanyak 98,607 kes penipuan dalam talian dengan kerugian dianggarkan bernilai RM3.3 bilion dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh tahun 2017 hingga 2021.
Teknik-teknik penipuan yang digunakan dalam kegiatan jenayah dalam talian ini termasuklah membuat panggilan dengan menyamar sebagai anggota penguatkuasa atau penjawat awam agensi tertentu, memperdaya untuk mendapatkan data peribadi dan mengguna atau mewujudkan laman sesawang palsu dan lain-lain.
Taktik-taktik keji penipuan kewangan telah menyebabkan mangsa menanggung kerugian yang besar dan mangsa hilang wang simpanan sepanjang hayat.
Pelaku yang melakukan kegiatan jenayah kewangan ini disifatkan sebagai zalim kerana memanipulasi orang lain dan tidak mempedulikan soal haram dan halal. Sedangkan mangsa teranianya dengan kehilangan wang ringgit yang telah dikumpulkannya sepanjang hayatnya.
Allah SWT melarang perbuatan memakan harta orang lain secara batil. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 29 :
...يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ
"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya) ..."
Janganlah kita terlibat dalam penipuan untuk mencari rezeki. Apatah lagi bersubahat dalam mendalangi kegiatan jenayah kewangan dalam talian ini kerana sifat tamak dan bermegah dengan kekayaan secara haram.
Bagi mengelakkan diri menjadi mangsa jenayah kewangan dalam talian seperti ini, kita hendaklah sentiasa berwaspada dan jangan menjawab panggilan daripada orang yang tidak dikenali dan mencurigakan.
Hukuman yang dikenakan juga seharusnya lebih tegas dan menakutkan orang ramai supaya tidak melakukan jenayah tersebut. Masyarakat perlu lebih peka dengan perkembangan semasa berkaitan jenayah kewangan ini, supaya tidak mudah tertipu. Hendaklah sentiasa mendapatkan nasihat dari pihak berkuasa supaya selamat daripada penipuan ini.