Hari ini kita semua meraikan sambutan Hari Malaysia. Hari Malaysia ialah hari memperingati pembentukan Malaysia apabila persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura disatukan. Menerusi pembentukan Malaysia, pemimpin dan rakyat di ketiga-tiga wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersetuju untuk hidup bersama sebagai sebuah negara yang diwakili oleh pelbagai bangsa yang membentuk sebuah masyarakat majmuk. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Dalam sejarah Islam pembentukan masyarakat majmuk bukan perkara asing kerana Rasulullah SAW mendirikan negara Islam di Madinah yang merangkumi orang Yahudi dan Kristian sebagai warganegara. Mereka mendapat perlindungan, layanan baik serta hak untuk mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan sejahtera.
Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana pembentukan negara Malaysia berjalan secara aman dan harmoni. Maka kita umat Islam samada pemimpin atau rakyat hendaklah menyeru dan berdakwah dengan bersungguh-sungguh agar seluruh warganegara ini memahami Islam dan mengajak mereka supaya beriman dan memeluk agama Islam kerana ini adalah perintah Allah dan Rasul-Nya.
Kita semua menghargai perjuangan dan sumbangan besar yang dilakukan oleh para pemimpin kita yang terdiri oleh para perjuang kemerdekaan, Raja-raja Melayu, para alim ulama dan pemimpin-pemimpin politik dalam memastikan keamanan negara kita yang dicintai. Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran dan pahala yang besar atas usaha mereka. Oleh itu, marilah kita berdoa agar negara kita dikurniakan keamanan dan kesejahteraan sebagaimana doa Nabi Ibrahim AS dalam surah al-Baqarah ayat 126 :
وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنًا وَٱرْزُقْ أَهْلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ مَنْ ءَامَنَ مِنْهُم بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُۥ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُۥٓ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ
“Ya Tuhanku jadikanlah negeri Mekkah ini negeri yang aman dan berilah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya iaitu di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari kemudian.”
Marilah kita bersama-sama menyeru kepada semua pihak tidak kira orang Islam atau bukan Islam jangan sama sekali menghina Allah SWT, Nabi Muhammad dan al-Quran. Ingatlah penghinaan seumpama ini tidak dapat diterima oleh umat Islam kerana ini akan mengguris hati mereka dan akan mewujudkan suasana yang tidak harmoni dalam negara kita. Begitu juga, sekali lagi hendaklah kita meningkatkan lagi usaha dakwah supaya seluruh rakyat di negara ini sentiasa memahami dan menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di negara ini.
Semoga Allah SWT mengurniakan keberkatan, keamanan dan kesejahteraan kepada kita semua.