recent
Terkini | تركيني

Palestin Dicengkam, Di Mana Kita?

Laman utama

Sejak sehari dua ini kita telah disogok dan dipaparkan berita yang menyayat serta mengguris hati seluruh umat Islam khususnya di Malaysia dan di dunia amnya. Palestin kembali dihimpit, ditindas dan dicengkam oleh zionis Yahudi. Darah kita telah kembali mendidih semula mendengar berita dan melihat paparan kezaliman Yahudi terhadap rakyat Palestin yang dizalimi dan ditindas semenjak 75 tahun yang lalu. Israel juga telah mengenakan kepungan dan sekatan ekonomi menyeluruh ke atas Gaza dengan menutup semua laluan udara, laut dan jalan darat sejak tahun 2007. Kepungan ini telah menjerumuskan Gaza ke dalam krisis makanan, ubat-ubatan dan lain-lain bahan keperluan asas yang amat parah, bahkan Israel melakukan serangan paling ganas ke atas Gaza pada penghujung tahun 2008 dan awal tahun 2009, 2012 dan 2014.

Sejak itu, Israel tidak pernah menghentikan serangan-serangannya ke atas penduduk Gaza. Ternyata tindakan mengepung Gaza adalah meyalahi Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1860 di mana saluran barangan keperluan dan agihannya di seluruh Gaza mestilah berlaku tanpa sekatan, dan ini termasuk makanan, bahan api dan keperluan perubatan. 

Inilah sebahagian daripada pelanggaran undang-undang dan peraturan antarabangsa yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh Israel. Jelaslah bahawa Israel lah yang sebenarnya menjadi punca kepada konflik di Palestin dan dunia harus sedar bahawa rakyat Palestin hanya mempertahankan hak mereka yang diakui oleh badan dunia PBB.

Sifat kejam dan keji Bani Israel ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Al-Maidah ayat 78 :

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ ٧٨

"Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh"

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita dan masyarakat antarabangsa untuk membela rakyat Palestin di dalam perjuangan mereka yang sah dari sudut undang-undang dan peraturan antarabangsa.

Palestin memiliki sejarah tersendiri yang menjadikannya sebuah Negara yang sentiasa bertapak di hati setiap Mukmin. Ada beberapa alasan kenapa kita perlu mencintai dan membela Palestin.

  1. Di sanalah berdiri megah Masjidi Al-Aqsa, masjid tertua di dunia selepas Masjidil Haram. Dibangunkan pertama kalinya oleh Nabi Allah Adam AS empat puluh tahun setelah Baginda membangunkan Masjidil Haram.
  2. Masjid al-Aqsa yang berada di kota Baitul Maqdis itu, pernah menjadi kiblat umat Islam selama tujuh belas bulan setelah Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah.
  3. Masjid al-Aqsa merupakan titik akhir perjalanan Isra’ dan titik awal perjalanan Mi’raj. Isra’ dan Mi’raj adalah salah satu mukjizat terbesar yang Allah anugerahkan kepada Baginda Rasulullah SAW. Di sanalah Baginda Nabi menjadi Imam solat berjamaah kepada seluruh nabi dan rasul, mulai Nabi Adam AS hingga Nabi ‘Isa AS.
  4. Palestin adalah negeri para nabi dan rasul. Banyak sekali para nabi dan rasul yang pernah tinggal dan berdakwah menyebarkan Islam di sana. Di antaranya adalah Nabi Ibrahim, Nabi Yaakub, Nabi Yusuf, Nabi Luth, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi ‘Isa dan nabi-nabi yang diutus oleh Allah untuk Bani Israil yang jumlahnya sangat banyak.
  5. Palestin adalah sebahagian dari daratan Syam yang didoakan berkah oleh Baginda Rasulullah SAW dalam doanya : "Ya Allah, berkatilah negeri Syam dan Yaman" (HR Bukhari)
  6. Banyak sekali para sahabat yang pernah berdakwah, menyebarkan dan mengajarkan Islam di sana. Di antara mereka adalah ‘Ubadah bin ash Shamit, Syaddad bin Aus, Usamah bin Zaid bin Harithah, Watsilah bin al Asqa’, Dihyah al Kalbiy, Aus bin ash Shamit, Mas’ud bin Aus dan masih banyak lagi yang lain.

Sedarlah kita bahawa hari ini rakyat Palestin sedang diburu dan dibunuh. Mereka terhimpit dan tertekan. Anak-anak kecil terbunuh dipangkuan ibunya, lelaki-lelaki perkasa syahid terkorban demi mempertahankan negara mereka, wanita-wanita menderita diseksa dan diperlakukan seperti binatang. Sifat keji zionis Yahudi ini sudah melebihi batasan kemanusiaan.

Di dalam sebuah Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Dari Ibnu Umar r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda, Seorang Muslim adalah saudara bagi sesama Muslim yang lain; tidak boleh menganiaya atau membiarkan dianiaya. Dan barangsiapa memenuhi hajat saudaranya maka Allah akan melaksanakan hajatnya. Dan barangsiapa membebaskan kesusahan seorang Muslim maka Allah akan membebaskannya di hari kiamat. Dan barangsiapa menutupi aib seorang Muslim maka Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat"

(HR Bukhari & Muslim)

Kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, marilah kita membantu meringankan penderitaan saudara kita di Palestin dengan bersama-sama mengambil beberapa tindakan berikut :

  1. Menyalurkan bantuan kewangan dan material kepada rakyat Palestin yang sedang menderita melalui badan-badan yang diiktiraf oleh kerajaan.
  2. Menginsafi akan bahaya perpecahan dan perlunya tindakan segera dalam menyatupadukan ummah dalam kalangan negara Islam seluruh dunia bermula di negara kita
  3. Memastikan bahawa penjenayah perang terhadap Palestin dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal dengan kezaliman mereka.

Marilah kita membela dan membantu saudara-saudara kita di sana dengan segala kemampuan yang ada. Hendaklah kita sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin khususnya dan umat Islam seluruhnya. Sewajarnya kita semua sedar bahawa tanggungjawab kita terhadap Agama dan umat Islam ialah untuk kita berusaha ke arah apa yang memuliakannya dan memperkasakannya. Sedangkan umat Islam tidak akan menjadi kuat melainkan dengan mereka mengamalkan isi ajaran agama secara betul berasaskan kepada keikhlasan dan mengikuti apa yang ditunjukkan oleh Nabi SAW, di samping merealisasikan makna tauhid, menekankan keutamaannya serta mengajak manusia kepadanya.

google-playkhamsatmostaqltradent