recent
Terkini | تركيني

Perjalanan Hati Menuju Redha Ilahi

Laman utama

Dalam kehidupan dunia ini, kita seharusnya merasa senang dan tenang menerima hukum dan peraturan Ilahi. Sifat redha itu haruslah ditunjukan sama ada ketika menerima nikmat, mahu pun ketika di timpa musibah. Dalam al-Quran telah disebut banyak kali perkataan redha. Pada umumnya ia mempunyai kaitan dengan keimanan, amal soleh dan kebajikan serta nilai-nilai utama yang lain. Allah SWT membenci orang yang tidak redha dengan apa yang telah ditentukan olehnya.

Kehidupan kita tidak selalu indah, kita sentiasa berharap sesuatu yang terbaik dalam kehidupan kita. Namun hakikatnya kehidupan tidak selalu mengikut apa yang kita harapkan. Perjalanan hidup memang tidak selalu indah seperti yang diimpikan oleh sesiapa sahaja. Ia adalah satu fitrah dan lumrah dalam kehidupan seperti siang yang terang bersilih ganti dengan malam yang gelap gelita. Begitulah juga seperti roda yang berpusing sesekali di atas sesekali di bawah.

Kita akan diuji melalui kejayaan, kesenangan dan musibah. Lazimnya setiap insan akan melalui perjalanan ini. Oleh itu Islam mengajar kita untuk membina kehidupan atas tapak keimanan. Apabila kita memperolehi kejayaan atau kesenangan kita wajib bersyukur kepada Allah SWT yang berkuasa. Sebaliknya apabila kita ditimpa musibah kita wajib dan bersabar dan bertawakal. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 139 :

وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ١٣٩

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman"

Kita harus sedar dan yakin bahawa saat kita diuji dengan ujian, sebenarnya Allah mengetahui keadaan kita. Oleh sebab itu Allah SWT tidak akan menguji hambanya di luar batas kemampuan hambanya.  Firman Allah dalam surah al-Baqarah 286 :

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"

Selain itu kita harus ingat bahawa setiap kesulitan itu ada jalan keluarnya. Jalan keluar daripada kesulitan itu jugak bergantung kepada ketaqwaan seseorang. Allah SWT sentiasa memberikan kemudahan dan jalan keluar bagi orang yang bertaqwa. Yang penting ialah kita perlu yakin bahawa pertolongan Allah itu akan tiba juga asal kita jangan berputus asa dari berusaha dan berdoa serta berharaplah yang baik padaNya. Namun apa yang sukarnya adalah sentiasa redha dan bersabar.

Dalam diri kita ada seketul daging namanya hati. Di situlah berpusatnya segala nafsu. Hati kita sentiasa terdedah dengan hasutan iblis dan syaitan. Kadang-kadang membuatkan iman kita menjadi goyah apabila kita berhadapan dengan sesuatu cabaran atau ujian.

Oleh itu jangan kita mempersoal dan mengeluh, apabila diuji oleh Allah SWT dengan suatu ujian dan musibah dalam hidup. Di sinilah bezanya insan yang kukuh dan padu imannya atau sebaliknya. Bagi orang yang benar-benar beriman dan bertawakal pada Allah. Mereka tidak akan mempersoalkan ketentuan ilahi tetapi redha dan pasrah padanya.

Kita tidak bersalah untuk merasa sedih apabila berhadapan dengan ujian dan musibah. Namun apa yang lebih penting ialah pengalaman pahit dan duka yang kita alami itu hendaklah membawa kita lebih dekat dan rapat dengan Allah SWT. Sebenarnya musibah boleh menjadi hikmah yang tersembunyi dan akhirnya akan menjadi rahmat yang besar kepada kita apabila kita hadapinya dengan redha. Ia akan menjadikan iman kita bertambah kental dan sekaligus membentuk insan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Manusia terlalu inginkan ketenangan sehinggakan sanggup memburu kekayaan dan kemasyhuran yang disangkakan boleh memberi ketenangan. Namun kekayaan bukanlah sumber utama kepada ketenangan. Kita mesti yakin bahawa apa sahaja yang Allah timpakan samada baik atau buruk adalah untuk kebaikan kita. Hakikatnya manusia tidak boleh lari dari ujian. Setiap orang inginkan kebahagiaan, namun tidak semua dapat mengecapinya. Tidak ada seorang pun yang mahukan ujian tetapi yang pasti setiap orang akan diuji ilahi. Ketenangan hati dan fikiran bukan dinilai dari banyaknya harta yang dimiliki atau kecantikan dan ketampanan wajah.

Sebenarnya ketenangan yang muncul secara murni dalam hati kita kepada Allah. Kalau sudah kita mengikatkan hati kepada Allah, di saat merasa sakit pun akan terasa redha atau tidak terasa parah. Dengan menyebut dan mengingatkan nama Allah, kita akan menemukan ketenangan hati. Justeru hati yang jauh dari Allah akan membuat hidup kita menjadi susah. Kalau sudah jauh dari Allah SWT, masalah kecil pun akan kesulitan untuk menghadapinya. Sebaliknya hati yang mampu mendekatkan diri kepada Allah, bencana sebesar mana pun akan terasa menjadi ringan.

Islam tidak melarang ummatnya menjadi kaya raya, namun yang harus diingat adalah kekayaan bukan untuk menyuburkan kesombongan. Hakikatnya ialah mencari ketenangan itu bukanlah dengan pergi tetapi dengan kembali iaitu kembali ke dalam diri kita. Carilah Allah di hatimu kerana sesungguhnya ketenangan ada di situ. Keredhaan dan kepuasan yang dinikmati merupakan ganjaran yang paling berharga bagi orang yang ikhlas dan taat kepada Allah SWT. Kepuasan itu akan dirasai apabila dapat mencapai keredhaan Ilahi.

Firman Allah dalam surah Yunus ayat 7 :

إِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَآءَنَا وَرَضُوا۟ بِٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَٱطْمَأَنُّوا۟ بِهَا وَٱلَّذِينَ هُمْ عَنْ ءَايَـٰتِنَا غَـٰفِلُونَ ٧

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan (tidak percaya akan) pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami"

Sebagai seorang mukmin kita hendaklah redha terhdap kepahitan qada’ daripada Allah SWT. Seandainya kita merenung kembali pada hakikatnya yang sebenar. Musibah itu satu tetapi jika kita mengeluh dan mengumpat. Maka musibahnya akan menjadi dua. Pertama adalah musibah itu sendiri. Keduanya ialah musibah hilangnya peluang mendapatkan ganjaran pahala yang tak terhingga banyaknya. Musibah yang kedua inilah yang sebenarnya lebih besar dari yang pertama. Bagi orang yang beriman musibah ini umpama surat cinta daripada Allah SWT untuknya. Bahkan merupakan peluang keemasan mendapatkan khabar gembira iaitu rahmat dan keampunannya.

Terdapat beberapa usaha yang perlu kita cari bagi memperolehi ketenangan dan kedamaian hidup.

Pertama kita hendaklah mempunyai sifat bersangka baik dengan Allah SWT. Hindarilah diri kita berprasangka buruk terhada Allah SWT. Apabila kita bersangka baik akan berkumpulah segala kemuliaan dan perasaan akan menjadi sejuk. Lantas Allah SWT akan menurunkan keberkahan dalam diri kita.

Kedua kita hendaklah mencari ruang dan peluang untuk berkumpul dengan orang-orang yang soleh. Ia akan membuat hati menjadi damai dan Allah SWT akan menjadikan lupa segala keresahan dan kegelisahan dalam hidup.

Dan yang ketiga kita hendaklah berusaha kembalikan hati kita kepada Allah SWT dengan berzikir dan mengingati nasib kita di akhirat kelak.

google-playkhamsatmostaqltradent