recent
Terkini | تركيني

Kembali Merindu

Laman utama

Baki beberapa hari lagi, Insya Allah Ramadan akan tiba. Kerinduan kita terhadap Ramadan yang setelah setahun meninggalkan kita kini terubat. Segala resepi kebaikan akan datang bersamanya jangan dilepaskan begitu sahaja. Di saat Ramadan ini tiba, setelah hampir satu bulan lamanya anak-anak meninggalkan alam persekolahan, kini mereka akan memulakan sesi persekolahan yang baharu pada 10 Mac tahun ini. Sudah pasti dikalangan anak-anak merindukan suasana persekolahan, merindukan saat-saat belajar bersama rakan-rakan dalam bilik darjah dan merindukan untuk mendengar nasihat-nasihat yang sangat berharga daripada para guru yang tidak jemu mendidik dan terus menerus memberikan nasihat yang baik kepada anak-anak pelajar.

Ianya sangat bertepatan dengan firman Allah dalam Surah An-Nahl ayat 125 yang berbunyi :

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ ١٢٥

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk"

Suasana dunia yang bersifat terbuka pada hari ini sangat mencabar bagi guru, ibu bapa dan murid atau pelajar dalam menghadapi arus keterbukaan itu sendiri. Hanya ilmu yang dapat menyokong dan memberi kefahaman untuk membantu kita menghadapai arus keterbukaan tanpa meninggalkan syariat, akhlak dan adab Islam bahkan ia akan mengukuhkan lagi amalan dan pengamalan sebagai seorang hamba Allah yang baik serta memahami tuntutan syariat.

Daripada Mu'awiyah bin Abi Sufyan RA, bahawa Nabi SAW bersabda (yang bermaksud) :

"Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, maka Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama"

(HR Bukhari)

Justeru itu, pihak masjid mahu memberikan beberapa nasihat untuk pihak yang terlibat secara langsung di dalam dunia pendidikan ini iaitu murid atau pelajar itu sendiri, ibu bapa dan juga guru.

Nasihat buat pelajar sama ada di peringkat rendah, menengah atau tinggi. Tuntutlah ilmu pengetahuan dengan penuh kesabaran dan keikhlasan dalam menuntut ilmu. Ilmu dan kefahaman itu datang dengan kesabaran dan keikhlasan yang tinggi. Bersabar dalam usaha mencari ilmu, tidak berputus asa dan bersabar untuk menerima kefahaman ilmu walaupun mungkin panjang masanya. Ayuh kita tekuni secebis ringkasan sejarah kesabaran yang tinggi Imam Ibn Hajar Al-Asqalani dalam menuntut ilmu.

Beliau merupakan seorang remaja yang sangat bersemangat dan bercita-cita tinggi dalam dunia keilmuan, namun sayangnya semangat dan kecintaan kepada ilmu sahaja tidak cukup untuk merealisasikan cita-citanya. Imam Ibn Hajar memiliki kelemahan dalam menghafal dan memahami pengajaran yang diberikan oleh gurunya, sehingga hal yang demikian membuatkan beliau ketinggalan berbanding teman seperguruannya.

Ringkasnya beliau meminta izin gurunya untuk pulang setelah melalui tempoh yang lama, dalam perjalanan pulang itu Allah mentakdirkan hujan turun dengan lebat dan beliau berteduh dari hujan itu di dalam sebuah gua. Beliau melihat titisan air hujan yang lembut itu menitis jatuh di atas batu dan ada kesan lekukan lubang yang membekas kerana titisan air hujan tersebut.

Beliau merenungi fenomena tersebut dan berfikir, bahawa otak dan fikirannya tentu tak sekeras batu tersebut. Batu besar yang keras boleh terlubangi oleh titisan air yang lembut. Maka tak mungkin ilmu yang menerpa otaknya tidak akan membekas di fikiran. Dan hari ini Imam Ibn Hajar dikenali sebagai seorang ulama yang hebat, khazanah ilmunya menjadi rujukan umat.

Imam ibn Qayyim Rh berkata : "Dan di antara hukuman dari perbuatan maksiat itu, ia akan menghilangkan keberkatan rezeki, keberkatan ilmu, keberkatan amal dan keberkatan ketaatan".

Tinggalkan maksiat wahai para penuntut ilmu, antara perkara yang menyukarkan ilmu menerpa masuk ke dalam dada ialah kerana gemar melakukan kemaksiatan. Maksiat yang dilakukan menghilangkan keberkatan ilmu, ia merupakan keburukan yang menjadi halangan jalan masuknya kefahaman ilmu itu. Maksiat menghilangkan rasa malu, hati menjadi gelap, melemahkan perjalanan hati menuju kepada Allah SWT dan juga maksiat ini menjadikan seseorang itu mengabaikan diri sendiri, ini semua kerana maksiat itu menghilangkan segala keberkatan.

Para pelajar juga mestilah menjaga adab dan akhlak sebagai seorang yang menuntut ilmu apabila guru sedang mengajar, tekunilah setiap bicara dan bimbingan daripada guru supaya mudah memahami setiap ilmu pengetahuan yang dititipkan sang guru. Adab dengan guru itu mahal nilainya, disitulah seorang pelajar dapat dinilai akhlaknya dan adabnya, apakah dia seorang yang memiliki kemuliaan akhlak dan kesopanan yang baik terhadap ibu bapa dan guru. Inilah nilai darjat yang tinggi seorang yang berilmu.

Peranan ibu bapa dalam mendidik tidak dapat dinafikan. Sedikit pesanan kepada ibu bapa dalam mendidik. Sebagai ibu bapa mestilah mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak seperti, memberi sokongan pelajaran kepada mereka. Tanpa sokongan, anak-anak akan merasakan mereka keseorangan dan boleh mematahkan semangat untuk belajar. Ibu bapa juga mesti memberikan sokongan moral kepada minat anak-anak yang berfaedah. Ibu bapa juga mesti bertanggugjawab dalam melunaskan sumbangan yuran diperlukan untuk meneruskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.

Hal ini perlu dipertegaskan kerana ada sebahagian ibu bapa dan penjaga mengambil sikap acuh dan tidak acuh dalam menyelesaikan yuran yang dipersetujui ini. Jangan kita biarkan anak-anak di bawah jagaan kita mengambil hak anak-anak yang lain atas sebab kelalaian menjelaskan yuran yang ditetapkan. Ibu bapa juga mestilah berbincang dan mencari jalan penyelesaian bersama guru seandainya ada apa-apa permasalahan yang mengganggu pembelajaran anak-anak. Antara perkara yang penting juga ialah ibu bapa mestilah menjadi contoh dan teladan yang baik buat anak-anak kerana pembelajaran yang pertama itu bermula seawal di rumah lagi bak kata pepatah melayu "mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi".

Berpesan-pesan kepada anak-anak dengan pesanan yang santun lagi baik, mengingatkan mereka akan akhirat dan keutamaan ibadah sebagaimana Lukman Al-Hakim berpesan kepada anak-anaknya.

Firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 17 :

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ ١٧

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya"

Guru sebagai tonggak yang kukuh di dalam memastikan segala keperluan ilmu itu diturunkan kepada murid dan pelajar sama ada ilmu itu bersifat duniawi ataupun ukhrawi. Pesanan buat mereka yang bergelar guru, ikhlaskanlah niat hanya kerana Allah SWT semata-mata dalam mengajari dan mendidik anak-anak murid, pelajar dan siswa. Semailah mereka dengan ilmu yang diredhai Allah SWT. Nasihatilah dan perbaikilah akhlak mereka sentiasa ketika bersama dengan mereka. Dalam masa yang sama guru itu juga perlulah menunjukan akhlak yang baik selaras dengan akhlak Islam, menanggapi segala bentuk kenakalan mereka dengan tindakan hikmah yang mungkin dapat mengubah mereka dengan izin Allah SWT.

Guru juga mesti peka terhadap iklim pemikiran masa kini, seumpama pemikiran Islam liberal yang dikhuatiri meresap masuk merasuk pemahaman anak-anak muda masa kini. Pemikiran ini disebarkan melalui medium penulisan ataupun lakonan. Justeru itu, menjadi tanggungjawab para guru untuk menguasai hujjah dalam membantah serangan-serangan pemikiran ini yang mungkin mempengaruhi anak-anak murid secara tidak sedar.

Ramadan juga akan bertamu kembali setelah setahun ia pergi. Ramadan menjadi sekolah mendidik jiwa, amal dan akhlak. Ramadan juga menjadi menguji kesabaran dan keimanan. Oleh itu, lakukanlah persediaan sebaiknya untuk kita menyambut bulan dirindui ini. Kedatangannya hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Sediakanlah diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan puasa, sediakan jiwa dan mental untuk melipat gandakan ibadah dan amalan mulia.

google-playkhamsatmostaqltradent