Tanggal 16 Mei setiap tahun telah ditetapkan sebagai tarikh Sambutan Hari Guru di seluruh negara. Ia bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan guru sebagai murabbi ummah, sekali gus pewaris tugas para rasul. Ini bertepatan dengan firman Allah surah al-Baqarah ayat 151 :
كَمَآ أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًۭا مِّنكُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا۟ تَعْلَمُونَ ١٥١
"(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui"
Di samping itu, sambutan ini dapat memartabatkan profesion keguruan sebagai pilihan utama kerjaya anak muda yang mampu meningkatkan nilai dan jati diri untuk menghayati serta mencintai profesion keguruan, seterusnya dapat membudayakan kebersamaan guru yang berbilang kaum bagi memupuk semangat perpaduan untuk keharmonian dan kemakmuran Malaysia MADANI seperti yang dihasratkan.
Dalam konteks pendidikan negara kita yang tercinta, Sasterawan Negara al-Marhum Dato' Usman Awang pernah mengungkap bait-bait kalimat melalui sajak beliau yang menyanjung tinggi budi mulia dan khidmat bakti para guru. Ketahuilah, seseorang yang berkerjaya hebat pada hari ini bermula dengan didikan dan asuhan seorang guru biasa sama ada di bandar atau di luar bandar. Sedarlah, tanpa didikan seorang guru kita tidak mungkin mengenali Tuhan dan menjadi hamba yang soleh sebagaimana kata pujangga Arab : "Sekiranya tiada guru yang mendidikku, maka aku tidak mengenali Tuhanku".
Sesungguhnya, medan pendidikan semakin lama semakin teruji di zaman ini. Ledakan teknologi seolah-olah mencabar kepentingan pendidik yang hanya berorientasikan media sosial semata-mata. Apatah lagi, implikasi media ini banyak membawa kepada kesan yang memudharatkan, tanpa pengawasan yang tuntas ia akan mendorong kepada kerosakan akhlak dalam kalangan murid.
Cabaran ini perlu disahut oleh guru dengan hati yang terbuka. Penambahbaikan diri perlu ditingkatkan oleh guru terutamanya dari segi akhlak dan adab, ilmu pengetahuan, sifat ihsan serta integriti dalam setiap tindak tanduk yang dipersembahkan khususnya kepada murid, dan amnya kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, menjadi suri teladan agar dapat dicontohi oleh anak bangsa dalam pelbagai aspek yang menuntut kepada fungsi dan peranan sebagai seorang guru. Setiap tingkah laku guru sentiasa diperhatikan oleh segenap lapisan masyarakat. Oleh itu, guru mestilah menghindarkan diri daripada terlibat dengan anasir-anasir yang boleh mencemarkan imej seorang guru.
Sebenarnya, ruang lingkup sistem pendidikan tidak hanya terhad di sekolah sahaja, namun ia meliputi pelbagai fungsi dan peranan. Sekolah ialah tempat untuk anak-anak menuntut ilmu dan pengalaman yang bermakna, seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, sokongan ibu bapa, penjaga dan masyarakat kepada guru sangatlah diharapkan, bagi memastikan hasil pembelajaran tersebut dapat membentuk ke arah anak yang baik lagi cerdik.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Muliakanlah anak-anakmu, dan perelokkanlah adab mereka"
(Riwayat Ibnu Majah)
Antara adab yang boleh diterapkan dalam diri anak-anak kita, ialah mengajar mereka memberi salam apabila bertemu, menjaga adab semasa bergaul dan membantu mereka yang dalam kesusahan. Biarlah kita bersusah payah di saat ini dalam mendidik anak-anak, agar kita dapat merasai kemanisan di penghujungnya seperti peribahasa Melayu : "Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".
Bagi merealisasikan hasrat kita bersama, sokongan dan dokongan daripada anggota masyarakat terhadap guru menjadi kayu ukur kejayaan sesuatu bangsa dan tamadun. Jatuh bangun sesebuah tamadun itu berpaksikan kepada nilai ilmu pengetahuan dan adab yang ada pada diri insan. Apabila setiap anggota masyarakat mengambil peduli hal ehwal pendidikan anak-anak, maka perkara yang positif jugalah yang akan terhasil. Sebagai contoh, ada pihak-pihak yang berusaha untuk merangka aktiviti-aktiviti bagi memupuk minat dan kemahiran anak-anak, sudah pasti ia akan meningkatkan nilai kematangan dan keyakinan anak-anak untuk menghadapi realiti kehidupan di masa akan datang. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al Maidah, ayat 2 :
ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ٢
"Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya"
Justeru, bagi menghasilkan pendidikan yang berkualiti tinggi, semua pihak seperti Persatuan Alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), agensi-agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat setempat perlu menjalinkan kerjasama yang erat dengan institusi pendidikan serta memberikan sokongan yang padu kepada para guru. Marilah kita mengangkat martabat guru dengan mengamalkan apa yang diajar, memberi kepercayaan yang jitu serta mendoakan kesejahteraan mereka agar keberkatan dan rahmat daripada Allah sentiasa memayungi hidup kita di dunia dan akhirat.
Sebagai penutup, marilah kita hayati beberapa pengajaran sebagai panduan dalam kehidupan seharian :
Pertama : Guru mempunyai peranan yang besar dalam menyampaikan ilmu bagi membentuk murid yang berakhlak mulia, seterusnya menyumbang kepada masyarakat yang bertamadun, beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.
Kedua : Ibu bapa perlu memastikan kesinambungan ilmu yang diajar di sekolah dipraktikkan di rumah atau di mana sahaja bagi memberi nilai tambah kepada proses pembentukan akhlak dan jiwa anak-anak
Ketiga : Masyarakat hendaklah bersedia menyokong dan berganding bahu dengan guru bagi mewujudkan murid yang berpengetahuan, berketerampilan, berdikari dan berupaya menjadi pelapis kepimpinan negara.