Antara tanda kebijaksanaan dan kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan makhlukNya, Dia ciptakan manusia yang terdiri dari lelaki dan wanita agar kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain bagi meneruskan kelangsungan generasi masyarakat. Perkara itu dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya di dalam al-Quran, Surah an-Nisa' ayat 1 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًۭا ١
"Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu"
Allah SWT menciptakan lelaki dengan kelebihan dan keistimewaan tertentu bagi melaksanakan tanggungjawab fitrahnya iaitu sebagai pelindung kepada wanita serta menjadi pemimpin yang berwibawa. Manakala wanita pula disifatkan sebagai sebaik-baik perhiasan dunia yang melengkapkan peranan lelaki dengan syarat mentaati perintah Allah SWT.
Wanita dihina, ditindas dan diperlakukan tanpa nilai kemanusiaan di zaman jahiliah. Islam sebagai agama yang memberi perhatian serius terhadap aspek kemanusiaan, kedamaian, keamanan dan perlindungan yang bertepatan dengan konsep Rahmatan-Lil-Alamin, telah dibuktikan menerusi prinsip yang menjadi tumpuan dalam maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Sejak kedatangan Islam, wanita telah dimuliakan dan darjat mereka diangkat. Pengiktirafan ini telah jelas Allah nyatakan dalam Surah Al-Israk ayat 70 :
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلْنَـٰهُمْ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ وَرَزَقْنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَفَضَّلْنَـٰهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍۢ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًۭا ٧٠
"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan"
Pada zaman Rasulullah SAW, didapati kedudukan wanita sangat terpuji dan berperanan menerusi khidmat sosial mereka kepada masyarakat. Pelbagai bidang lapangan seperti pendidikan, dakwah, sukarelawan, dan melibatkan diri dalam projek kemahiran sesuai dengan kemahuan dan keperluan masyarakat ketika itu. Mereka bergiat tanpa mengabaikan perintah dan larangan dari Rasulullah SAW dan menjadikan ajaran Nabi Muhammad SAW sebagai tatacara kehidupan. Tradisi wanita Islam wajar dicontohi malah sentiasa memberi inspirasi kepada perkembangan dan tamadun ummah.
Mari kita telusuri kisah srikandi syurga Siti Khadijah Binti Khuwailid RAnha. Saidatina Khadijah telah mencetus kepercayaan dan membina keyakinan Nabi Muhammad SAW hingga menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Ketika Baginda menggigil ketakutan, susulan pertemuan kali pertama dengan Malaikat Jibril AS, Beliaulah yang bertanggungjawab memberi Baginda ketenangan sehingga tersebarnya ajaran Islam kepada masyarakat. Di serata dunia, wanita tercatat dalam sejarah berperanan besar membantu pelbagai usaha membangunkan ummah. Universiti pertama dan tertua di dunia iaitu Universiti Al-Qarawiyyin di Morocco telah diasaskan penubuhannya melalui cetusan pemikiran seorang wanita yang berwawasan jauh bernama Fatimah Al-Fihri.
Terpahat di dalam sejarah Islam dua orang srikandi yang tidak akan lekang nama mereka dari lipatan sejarah iaitu :
- Safiyyah binti Abdul Muttalib. Wanita pertama dalam Islam yang menghunuskan senjata, berperang mempertahankan agama Allah SWT di medan peperangan. Safiyyah binti Abdul Muttalib adalah saudara seibu sebapa dengan "Singa Allah" iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Saffiyah dilahirkan pada tahun 569 Masihi, setahun lebih tua daripada Saidina Hamzah melalui isteri keempat Abdul Muttalib iaitu Haalah binti Wahab. Ibu kepada Safiyyah merupakan kakak kepada ibu Rasulullah SAW, Aminah binti Wahab. Ini bermakna beliau adalah ibu saudara kepada Rasulullah SAW. Sewaktu beliau berumur 56 tahun, beliau tidak melepaskan peluang untuk menyertai Rasulullah berjihad di jalan Allah. Safiyyah turut menyertai Perang Khandaq (627 Masihi) dan Perang Khaibar (629 Masihi).
- Nusaybah binti Ka'ab, perisai Nabi SAW. Nusaybah cukup dikenali sebagai salah seorang wanita yang memeluk Islam dengan kekuatan luar biasa. Pertempuran awal Nusaybah adalah ketika Perang Uhud. Sama seperti wanita lain, beliau bertugas membawakan air dan merawat pahlawan-pahlawan yang tercedera. Satu ketika Nusaybah bertindak berdiri teguh bersama-sama Rasulullah SAW dengan pedang dan busur di tangannya. Nusaybah menjadi perisai manusia bagi melindungi baginda daripada terkena tembakan panah orang-orang Quraisy.
Di negara kita, wanita merupakan 47.7 peratus daripada jumlah keseluruhan 32.4 juta orang penduduk Malaysia. Meletakkan nisbah jantina bagi penduduk Malaysia, 110 orang lelaki berbanding 100 wanita. Namun begitu, wanita semakin berpengaruh dan semakin ketara peranannya. Di masa kini, wanita semakin diamanahkan dengan tanggungjawab yang lebih besar dan penting dalam perkhidmatan awam, sektor swasta, dunia akademik, badan beruniform, perkhidmatan guaman kehakiman dan bidang politik begitu juga dalam bidang profesional sebagai saintis, jurutera, jurubina, juruterbang, dan doktor. sehinggakan mencatatkan kejayaan yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Meskipun wanita masa kini mampu memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang penting ke arah usaha membangunkan sebuah negara, mereka tetap memerlukan lelaki untuk membimbing, melindungi dan saling melengkapi. Wanita dimuliakan martabatnya di dalam Islam dengan syarat sentiasa memelihara kehormatan dirinya selaras tuntutan syariat. Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah"
(HR Muslim)
Imam Al-Qurthubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya.
Islam meletakkan wanita sebagai makhluk yang mulia. Allah SWT menciptakan wanita beserta keindahannya dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki. Keindahan itu bukan hanya dinilai secara zahir, tetapi juga secara hati dan fikiran. Selayaknya keindahan itu juga dipelihara dengan baik kerana sosok tubuh seorang wanita ini mempunyai pelbagai keistimewaan. Antara empat keistimewaan wanita :
- Wanita memiliki kudrat untuk mengandung janin dalam rahimnya, mempunyai kekuatan menanggung berat kandungan selama lebih 9 bulan sehingga dilahirkan bayi dan memiliki kecekalan mengalami sakit pada saat melahirkan bayi.
- Sebaik bayi dilahirkan tubuh wanita dilengkapi dengan susu untuk menjadi sumber makanan bayi.
- Sifat keibuan yang tinggi; sesibuk dan sepenat mana seorang wanita, tanggungjawab sebagai ibu tetap diutamakan dan tidak pernah disisihkan, untuk mengasuh dan membesarkan anak-anak dengan limpahan kasih sayang yang tidak mengenal hujung.
- Memiliki sifat sabar yang tinggi dan sedia berkorban untuk kebahagiaan suami, anak-anak dan keluarga.
Oleh itu, para suami perlu menunjukkan sifat empati dan ihsan demi meringankan bebanan kerja isteri di rumah, begitu juga menyeru anak-anak untuk menunjukkan kasih sayang terhadap ibu dengan membantu melakukan kerja rumah. Sikap bantu membantu dan toleransi seperti ini amat diperlukan bagi memberi kekuatan emosi dan fizikal kepada wanita sekali gus dapat memupuk keharmonian dalam rumahtangga.