Panggilan haji telah tiba lagi. Menjelang musim haji yang sudah tiba bagi tahun ini, bakal-bakal jemaah haji yang sudah mendapat tawaran sama ada daripada Tabung Haji atau syarikat swasta sudah pasti sedang giat melakukan persiapan yang sepatutnya untuk ke sana. Persediaan yang rapi dari setiap aspek jasmani dan rohani adalah penting bagi memastikan jemaah haji sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi membolehkan pelaksanaaan ibadah haji dapat dilakukan dengan sempurna.
Sesungguhnya panggilan haji merupakan suatu anugerah yang sangat istimewa dan satu-satunya peluang yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang terpilih sebagai tetamu-Nya untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Setiap kali musim haji tiba, rasa syukur dan terharu pasti menyelubungi hati, kerana bukan semua orang berpeluang untuk menjadi tetamu Allah ke Baitullah. Allah berfirman di dalam surah Ali-Imran ayat 96 :
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍۢ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِى بِبَكَّةَ مُبَارَكًۭا وَهُدًۭى لِّلْعَـٰلَمِينَ ٩٦
"Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula didirikan untuk manusia ialah Baitullah di Makkah yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi sekalian alam"
Dengan berbekalkan rasa syukur, maka menjadi tanggungjawab besar kepada setiap jemaah haji memastikan bahawa perjalanan mereka bukan sahaja bermula dengan niat yang ikhlas, tetapi juga diteruskan dengan penuh rasa kesedaran dan kesungguhan untuk memperoleh haji yang mabrur.
Dari hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda :
وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ
"Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga"
Hanya haji mabrur yang diterima oleh Allah kerana dilaksanakan dengan sempurna bagi segala rukun-rukunnya, malah membawa kepada perubahan positif dalam kehidupan individu tersebut melalui peningkatan dalam amal ibadah, akhlak yang terpuji dan teguh menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang bertaqwa.
Ibadah haji merupakan simbol pengabdian dan pengorbanan mutlak seorang hamba kepada Allah. Perjalanan haji adalah gambaran perjalanan spiritual yang sangat mendalam bagi seorang hamba. Mereka rela meninggalkan segala kemewahan dunia untuk menempuhi perjalanan jauh semata-mata menyahut panggilan Allah Azzawajalla. Justeru, ibadah haji bukan sahaja sekadar perjalanan fizikal ke bumi Makkah semata-mata, tetapi ia adalah penghayatan mendalam tentang hakikat kehidupan insan itu sendiri yang penuh dengan erti pengorbanan dan usahanya mendekatkan diri kepada Allah SWT selaku pencipta.
Imam Al-Nawawi Rahimahullahu Taala dalam kitabnya "Al-Idhoh fi Manasik al-Hajj wal Umrah" memberikan nasihat yang amat bernilai untuk para bakal haji agar perjalanan ibadah haji mereka diterima dengan baik di sisi Allah SWT dan membawa kebaikan dalam hidup mereka selepas kembali semula ke tanah air.
Antara nasihat beliau ialah :
Pertama : Sebelum memulakan perjalanan haji, adalah penting untuk seseorang hamba bertaubat kepada Allah. Menginsafi segala dosa yang telah dilakukan, memohon ampun dengan hati yang penuh penyesalan, dan memaafkan semua orang. Ini adalah kerana, bagi seorang yang berniat menuju ke tanah suci, ia sepatutnya datang dengan hati yang bersih, tanpa dosa dan penuh ketulusan. Maka, taubat menjadikan hati seseorang lebih dekat kepada Allah dan bersedia untuk menerima fadhilat haji yang mabrur. Allah berfirman dalam surah Al-A'raf ayat 153 :
وَٱلَّذِينَ عَمِلُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ثُمَّ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِهَا وَءَامَنُوٓا۟ إِنَّ رَبَّكَ مِنۢ بَعْدِهَا لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٥٣
"Orang-orang yang mengerjakan kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu dan beriman; sesungguhnya Tuhan kamu sesudah itu adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"
Kedua : Menurut Imam Al-Nawawi, adalah sangat penting untuk mempelajari dan memahami ilmu manasik haji sebelum menunaikan ibadah ini. Ibadah yang dilakukan tanpa ilmu boleh menyebabkan kesilapan dan sia-sia. Dalam hadis yang sahih, Nabi SAW bersabda :
خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ
"Ambillah ibadat hajimu daripadaku"
(Hadis Riwayat Muslim, No 1297)
Ini menunjukkan bahawa pengetahuan tentang tatacara pelaksanaan haji yang betul adalah sangat penting agar ibadah tersebut diterima dan tidak sia-sia di sisi Allah.
Ketiga : Ketika melaksanakan ibadah haji, banyak situasi yang mungkin mengelirukan. Oleh itu, disarankan untuk bertanya kepada orang yang berilmu dan berkelayakan, seperti guru-guru yang bertauliah dari Tabung Haji atau organisasi yang diiktiraf. Mengelakkan bertanya sesama jemaah yang tidak mempunyai ilmu yang jelas akan menghindarkan daripada kekeliruan dan kesilapan dalam melaksanakan manasik haji.
Keempat : Haji sering dilakukan bersama-sama jemaah lain. Maka dalam situasi ini, ujian terbesar adalah untuk menjaga keharmonian dan mengelakkan perselisihan. Sikap bertolak ansur, memaafkan, dan mengelakkan pergaduhan sangat penting bagi memastikan ibadah haji berjalan lancar tanpa sebarang gangguan emosi atau ketegangan. Baginda Nabi SAW mengingatkan kita agar bersikap pemaaf walaupun terhadap orang yang melakukan kezaliman terhadap kita sekalipun. Sebagaimana nasihat Baginda SAW kepada seorang sahabat yang bernama Uqbah, sabdanya :
يَا عُقْبَةُ بْنَ عَامِرٍ، صِلْ مَنْ قَطَعَكَ، وَأَعْطِ مَنْ حَرَمَكَ، وَاعْفُ عَمَّنْ ظَلَمَكَ
"Wahai Uqbah bin ‘Amir! Jalinkanlah (silaturrahmi) dengan sesiapa yang memutuskannya, dan tetap memberi jalan kepada sesiapa yang menghalangnya dari kamu. Dan maafkanlah mereka yang menzalimi kamu"
(Riwayat Ahmad, No. 17412; al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, No. 788 – dinilai hasan)
Kelima : Imam Al-Nawawi menasihatkan agar para jemaah untuk meninggalkan perdebatan, caci maki dan percakapan yang tidak bermanfaat, kerana ini boleh mencetuskan fitnah, ghibah (mengumpat) dan kata-kata buruk yang tidak sesuai dengan adab di tanah suci. Sebaliknya mengisi masa ketika di tanah suci dengan zikir, doa dan amalan ibadah yang lebih mendekatkan diri kepada Allah. Dalam surah al-Baqarah ayat 197, Allah berfirman :
ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌۭ مَّعْلُومَـٰتٌۭ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلْحَجِّ
"(Musim) haji adalah beberapa bulan yang diketahui, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, berbuat fasik dan berdebat di dalam masa mengerjakan haji"
Keenam : Di tanah suci, peluang untuk beribadah adalah sangat besar. Oleh itu, jemaah haji disarankan untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, mengerjakan solat-solat sunat dan melakukan tawaf. Ini adalah cara terbaik untuk memanfaatkan masa yang berharga di Makkah dan Madinah untuk memperkukuhkan hubungan dengan Allah.
Ketujuh : Imam Al-Nawawi menekankan pentingnya mengekalkan niat baik sepanjang waktu dan sentiasa memperbaiki hati. Haji adalah kesempatan untuk melakukan pembersihan jiwa. Maka, melalui proses ini diharapkan seseorang hamba dapat memperbaiki akhlaknya dan menjadi insan yang terpuji akhlaknya, sesuai dengan ajaran Nabi SAW untuk memperbaiki dan menyempurnakan akhlak.
Rumusan daripada nasihat Imam Al-Nawawi yang dibicarakan tadi bertujuan memastikan agar ibadah haji yang dilaksanakan tidak hanya sekadar memenuhi kewajiban, tetapi juga membawa kepada perubahan rohani yang berkekalan. Mudah-mudahan dengan petunjuk ini, haji akan menjadi ibadah yang mabrur, penuh berkat dan memberi impak positif dalam kehidupan. Sehubungan itu, jemaah haji yang pulang dari tanah suci seharusnya membawa pulang manfaat dan semangat yang diperoleh hasil daripada ibadah haji mereka. Ibadah haji yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti akan mencorakkan keperibadian insan menjadi lebih baik bagi meraih redha Allah.