Guru adalah penyambung risalah Rasulullah SAW yang bukan hanya sekadar menyampai ilmu, malah merupakan arkitek pembangunan ummah, dalam membentuk akhlak dan sahsiah manusia. Guru juga individu yang tidak pernah mengenal penat lelah berkorban demi masa depan generasi akan datang. Marilah kita merenungi sabda Nabi SAW :
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاقِ
"Sesungguhnya tidak aku diutuskan, melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak"
Islam meletakkan darjat yang tinggi kepada orang yang berilmu, termasuklah guru-guru yang menyampaikan ilmu. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11 :
يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
"Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan"
Guru juga disebut sebagai mu'allim, ustaz atau murabbi, bukan sekadar penyampai ilmu. Mereka adalah penyuluh dalam kegelapan, pembimbing dalam kebuntuan, penggerak perubahan dan pemangkin kemajuan. Tanpa guru, tidak akan lahir para pemimpin, ulama, doktor, jurutera mahupun pendakwah. Malah, tanpa guru, kita sendiri tidak akan mampu membaca ayat-ayat Allah atau memahami asas solat dan ibadah kita hari ini.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-'Alaq ayat 1 hingga 5 :
ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ٢ ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ٣ ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ٥
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya"
Ayat ini mengisyaratkan bahawa pendidikan dan ilmu pengetahuan adalah asas tamadun dan keunggulan manusia. Di sebalik penyampaian ilmu itu, berdirilah seorang guru yang ikhlas menyampaikan apa yang dia tahu kepada yang tidak tahu.
Hari Guru bukanlah sekadar majlis sambutan, nyanyian lagu "Guru Malaysia" atau pemberian hadiah dan bunga. Ia lebih daripada itu. Ia adalah hari muhasabah – sejauh mana kita sebagai masyarakat menghargai peranan guru? Sejauh mana kita sebagai umat Islam menghormati dan menyanjungi mereka yang telah banyak berjasa dalam mendidik anak-anak kita?
Rasulullah SAW sendiri adalah guru yang agung. Baginda mengajarkan manusia akidah yang benar, akhlak yang mulia, cara hidup yang sejahtera. Begitu besar kedudukan guru hingga Rasulullah sendiri mengiktiraf peranan tersebut. Maka tidak hairanlah, para sahabat sangat menghormati Rasulullah, bukan hanya sebagai nabi, tetapi sebagai guru yang mendidik mereka mengenal Tuhan, mengenal diri dan mengenal kehidupan.
Kita berada dalam zaman yang mencabar. Dunia hari ini bukan sekadar memerlukan guru yang mengajar, tetapi guru yang membentuk jiwa dan nilai. Kita berdepan dengan generasi yang terdedah kepada pelbagai pengaruh negatif media sosial, hedonisme, fahaman liberal, kebejatan moral dan keruntuhan akhlak. Justeru, guru hari ini berperanan sebagai benteng terakhir umat. Mereka bukan hanya mengajar sains dan matematik, tetapi juga nilai, akhlak dan jati diri.
Namun, guru hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Sistem pendidikan, kerenah ibu bapa, disiplin pelajar, beban kerja dan kurangnya penghargaan masyarakat. Ada dalam kalangan guru yang mengajar dalam serba kekurangan, namun tetap istiqamah menyampaikan ilmu. Ada guru yang tetap setia ke sekolah walau jauh di pedalaman, hanya kerana ingin anak bangsa celik huruf dan celik agama.
Kita bertanya pada diri: apakah kita sudah cukup menghargai jasa guru? Apakah cukup sekadar ucapan "Terima kasih cikgu" sekali dalam setahun? Atau perlu kita tanamkan budaya menghormati guru sepanjang masa?
Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata : "Aku adalah hamba kepada sesiapa yang mengajarku walau satu huruf."
Kata-kata ini bukan sekadar ungkapan, tetapi mencerminkan betapa tinggi penghormatan generasi terdahulu terhadap guru. Maka, jika hari ini kita lihat budaya mempersoal guru, menyaman guru, memperlekehkan usaha guru. itu tanda hilangnya adab dalam masyarakat. Oleh itu, kita perlu sedar bahawa tanggungjawab mendidik bukan hanya terletak di bahu guru, bahkan setiap daripada kita, sama ada ibu bapa, ahli masyarakat atau pemimpin mempunyai peranan penting dalam menyokong pendidikan dan pembentukan generasi MADANI. Anak adalah amanah Allah kepada kita. Maka, marilah kita bersama-sama memastikan bahawa persekitaran mereka dipenuhi dengan nilai murni yang akan membentuk insan berkarakter mulia.
Sejarah negara ini kaya dengan tokoh-tokoh ulama dan guru yang telah menyumbang kepada pembangunan ilmu Islam. Dari pondok ke madrasah, dari sekolah ke universiti. Semua ini adalah hasil didikan guru yang ikhlas. Marilah kita terus menyokong dan memperkukuh institusi pendidikan di negeri ini, terutamanya pendidikan Islam. Sekolah dan institusi pendidikan harus menjadi tempat yang kondusif, aman dan dihormati. Berikan guru-guru ruang untuk mendidik dan membimbing generasi pewaris ummah.
Marilah kita jadikan Hari Guru ini sebagai titik mula perubahan sikap kita terhadap guru. Marilah kita doakan kesejahteraan mereka, marilah kita hormati dan hargai jasa mereka. Biar jasa mereka tidak dilupakan. Biar jasa jadi kenangan, bukan hanya dalam lipatan sejarah, tetapi dalam hati dan amal kita. Mereka adalah pewaris para nabi. Muliakan mereka, doakan mereka, dan bantu mereka.
Sebagai umat Islam, kita diajar untuk mendoakan orang yang mengajarkan kita ilmu. Sabda Rasulullah SAW :
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يُوَقِّرْ كَبِيرَنَا، وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا، وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا حَقَّهُ
"Tidak termasuk dalam golongan kami, orang yang tidak menghormati orang tua, tidak menyayangi yang muda dan tidak mengetahui hak orang yang mengajarkannya"(Hadis Riwayat Ahmad)
Oleh itu, marilah kita hadiahkan Al-Fatihah kepada guru-guru kita yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mengampuni dosa mereka, melapangkan kubur mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan orang yang beriman. Dan kepada guru-guru yang masih hidup, semoga Allah memberikan kesihatan, kekuatan dan keikhlasan untuk terus menyampaikan ilmu. Jadikanlah jasa mereka sebagai amal jariah yang berpanjangan. Mudah-mudahan kita semua mendapat keberkatan ilmu dan kasih sayang Allah SWT. Semoga ilmu dan didikan mereka menjadi pahala jariah, dan kehidupan mereka sentiasa dirahmati Allah SWT serta dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, Ya Tuhan kami, Ampunilah dosa para guru kami. Engkau tinggikanlah darjat mereka di sisiMu. Berikanlah ganjaran pahala kepada mereka dengan sebaik-baik ganjaran, dan jadikanlah kami para penerima ilmu mereka sebagai insan yang sentiasa menghargai jasa dan bakti mereka, serta peliharalah ketinggian darjat mereka di sisiMu, dan permudahkanlah kehidupan serta dianugerahi kejayaan buat mereka buat selama-lamanya. Aamiiin.