recent
Terkini | تركيني

Takwa Dan Amanah Dalam Bekerja

Laman utama

Hamba yang bertakwa meyakini bahawa ketaatan mereka kepada penciptanya pasti tidak akan disia-siakan oleh Allah SWT. Ketakwaan seorang hamba yang mengaku beriman kepada Allah SWT bukanlah perkara yang bersifat pilihan, sebaliknya takwa kepada-Nya adalah suatu yang mesti diterapkan dalam semua tindakan kita selagi nyawa dikandung badan. Takwa bukanlah sekadar ibadah di masjid, tetapi ia juga harus terserlah dalam urusan kita dalam pekerjaan. Seorang pekerja yang bertakwa akan mendekatkan dirinya dengan Allah SWT dan akan diberikan pelepasan serta jalan keluar bagi mereka jika ditimpa masalah. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah At-Talaq ayat 2-3 :

 وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا ٢ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍۢ قَدْرًۭا ٣

"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya. Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu"

Marilah sama-sama kita menerapkan sifat takwa dengan menjadikan pekerjaan sebagai aktiviti yang mendekatkan diri kepada Allah dan dengan takwa itu akan memastikan seorang pekerja itu melaksanakan tugas dengan semangat yang tinggi, bersikap dengan amanah, jujur, telus, bertanggungjawab dan menjauhi perkara yang mungkar walaupun tidak diawasi oleh manusia.

Bekerja adalah salah satu jalan ke arah mencari sumber rezeki untuk menyara kehidupan bagi maksud mencapai kesempurnaan dan kesejahteraan hidup. Ianya adalah ikhtiar yang dituntut oleh agama ke atas setiap mukmin. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 26 :

قَالَتْ إِحْدَىٰهُمَا يَـٰٓأَبَتِ ٱسْتَـْٔجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ ٱسْتَـْٔجَرْتَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْأَمِينُ ٢٦

"Salah seorang daripada kedua-dua perempuan itu berkata, "wahai ayahku jadikanlah dia (Musa AS) sebagai pekerja (mengembala kambing), sesungguhnya orang yang paling baik yang ayah ambil sebagai pekerja ialah orang yang kuat lagi amanah)""

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita dalam konteks pekerjaan, Islam meletakkan sifat al-qawiy iaitu kekuatan mengurus dan al-amin iaitu amanah adalah nilai yang sangat penting dan wajib ada pada seseorang pekerja. Islam mengiktiraf pekerjaan sebagai ibadah, dengan syarat ianya dilakukan ikhlas kerana Allah serta mengharapkan keredhaan-Nya. Perlulah ia dilakukan dengan kesungguhan dan amanah.

Sebagai seorang mukmin yang patuh dengan Allah dan Rasulnya, sebaiknya kita meneladani akhlak baginda Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW adalah seorang insan yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifatnya yang mulia seperti amanah sehingga digelar Al-Amin lantaran kejujurannya dalam segala hal. Sudah yakin dan pasti bahawa sifat amanah baginda perlulah di idolakan oleh kita sebagai umatnya. Sifat amanah baginda perlu diteladani dalam kehidupan kerana setiap individu perlu mempunyai integriti dalam membuat sebarang pekerjaan walaupun sekecil-kecil pekerjaan yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kita. Satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW telah bersabda :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

"Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan bersungguh-sungguh"

(Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Awsat, no. 8986)

Pada era yang penuh cabaran ini, semua orang terdedah dengan budaya dan cara kehidupan yang datang daripada pelbagai pihak. Baik budaya yang mulia atau budaya yang tercela, semuanya dapat meresap masuk dengan mudah dalam diri orang Islam jika kita tidak mempunyai jatidiri dan ketakwaan yang hakiki.

Bukan mudah untuk memiliki dan kekal istiqamah dalam menerapkan sifat mulia baginda Nabi Muhammad SAW, walaupun baginda sudah wafat 1400 tahun lalu, tetapi tidak mustahil untuk mengembalikan akhlak yang dimiliki baginda pada zaman yang serba moden ini untuk dijadikan pedoman dalam memperjuangkan keadilan, ketegasan dalam menghukum dan bersifat berani. Ianya memerlukan kepada jalan mujahadah, iaitu berusaha untuk melawan menundukkan hawa nafsu dalam diri. Oleh itu sifat amanah ini perlu dijaga dengan baik dan jangan mengkhianati kepercayaan yang diberikan.

Daripada Abu Hurairah (رضي الله عنه), Rasulullah ﷺ bersabda:

أَدِّ الأَمَانَةَ إِلَى مَنِ ائْتَمَنَكَ، وَلَا تَخُنْ مَن خَانَكَ

"Tunaikan amanah kepada siapa yang mengamanahkan kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu"

(Riwayat Abu Dawud, No. 3535; al-Tirmizi, No. 1264)

Perbuatan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa dalam bekerja menjadi punca utama negara mengalami kegagalan dalam pelbagai bidang merangkumi kepimpinan, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan dan kehidupan. Sebagai seorang pekerja tidak kira dalam sektor awam, swasta atau bekerja sendiri kita pasti akan diuji oleh Allah SWT, sama ada dalam bentuk sogokan harta, pangkat dan jawatan yang mengaburi mata, sehingga ada yang sanggup mengorbankan prinsip dan kebenaran, lalu mengkhianati amanah yang diberikan. Kehendak nafsu apabila dibenarkan menguasai diri, sebenarnya telah membuka laluan bisikan syaitan mempengaruhi denyut nadi fikiran insan, lalu mereka menyimpang daripada prinsip kebenaran. Sanggup mengejar keuntungan dunia yang sementara sehingga gagal memikirkan kesan buruk yang menimpa ummah dan negara.

Kesimpulannya, dalam kita melakukan segala apa pekerjaan dalam menyempurnakan kehidupan, hendaklah kita lakukan dengan penuh ketakwaan serta berusaha mencari keredhaan, dan beramanah dalam melaksanakan tugasan yang diberikan, hanya Allah SWT akan membalas kita dengan sebaik ganjaran.

google-playkhamsatmostaqltradent