Akidah, syariah dan akhlak adalah aspek penting dalam agama Islam. Segala kepercayaan, perbuatan dan amalan yang tidak berasaskan Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas adalah tidak boleh diterima. Sihat dan sakit adalah datangnya dari Allah, namun kita disuruh untuk berubat apabila menghadapi sakit. Dalam hal merawat bagi menyembuhkan sesuatu penyakit, harus diingat bahawa hanya Allah SWT mempunyai kuasa mutlak untuk menyembuhkan dan manusia hanya diminta untuk berusaha dan berikhtiar.
Masyarakat kini sering terdedah kepada pelbagai penipuan ketika mendapatkan rawatan daripada bomoh dan dukun seperti rawatan bedah batin, menggunakan perantaraan jin dan sebagainya. Bomoh atau dukun menurut Kamus Dewan bermaksud tabib kampung yang mengubati pesakit dengan menggunakan ubat tradisional atau cara kampung dengan jampi. Selain dukun, kini timbul pula istilah baharu iaitu "UsKun" gabungan Ustaz dan dukun.
Nabi Muhammad SAW dengan tegas melarang kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan syirik kepada Allah SWT. Antaranya mendatangi dukun dan tukang ramal bagi mengubati sihir atau mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai sesuatu urusan daripada tukang ramal kerana perbuatan itu jelas membawa kepada pergantungan selain daripada Allah SWT. Hukumnya adalah haram kerana ia membawa syirik kepada Allah SWT. Larangan itu ada disebutkan secara jelas menerusi sabda Rasulullah SAW :
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
"Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam"
Sesiapa yang pergi berjumpa dan mempercayai apa yang dikatakan oleh tukang ramal, maka dia telah mendustakan wahyu Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW berkaitan perkara-perkara yang ghaib kerana tiada sesiapa pun yang mengetahui perkara-perkara ghaib kecuali Allah SWT.
Antara amalan yang boleh mendatangkan syirik juga adalah perbuatan meminta bantuan dan pertolongan daripada jin. Nabi Muhammad SAW dan sirah para sahabat baginda tidak pernah meminta pertolongan dari kalangan jin. Benar baginda Nabi Muhammad SAW pernah bertemu dengan jin dalam beberapa siri pertemuan, tetapi perlu untuk difahami tujuannya untuk berdakwah dan menyampaikan ilmu, bukan sama sekali bersahabat dengan jin, bahkan baginda memerintahkan kita untuk menghalau jin keluar dari rumah kediaman kita walaupun jin itu beragama Islam.
Daripada Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّ فِي الْمَدِينَةِ جِنًّا قَدْ أَسْلَمُوا، فَإِذَا رَأَيْتُم مِنْهُمْ شَيْئًا فَآذِنُوهُ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ، فَإِن بَدَا لَكُمْ بَعْدَ ذَلِكَ فَاقْتُلُوهُ، فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ
"Sesungguhnya di Madinah ada jin yang memeluk Islam. Sekiranya kamu melihat mereka (di rumah kamu), maka berilah amaran kepadanya selama 3 hari. Sekiranya dia masih berada selepas itu (selepas 3 hari), bunuhlah dia kerana itu adalah syaitan"
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pernah ditanya : "Adakah harus meminta pertolongan dengan jin muslim? Dan apakah hukum meminta pertolongan dengan jin muslim untuk berkhidmat kepada orang Islam?" Maka beliau menjawab : "Haram meminta pertolongan dengan jin walau dalam apa keadaannya sekalipun dan perkara ini adalah tercela secara syarak". Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Jin, ayat 6 :
وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌۭ مِّنَ ٱلْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍۢ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًۭا ٦
"Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat"
Adalah dinasihatkan kepada pesakit yang berhajat mendapatkan rawatan melalui kaedah rawatan alternatif supaya sentiasa berhati-hati dan lebih berwaspada kerana dibimbangi boleh menjejaskan akidah dan mendatangkan syirik disebabkan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan pengamal pengubatan untuk menyembuhkan penyakit melalui kaedah bedah batin. Kaedah rawatan bedah batin ini berisiko tinggi untuk terjebak dengan penipuan melalui caj perkhidmatan yang tidak munasabah. Sungguhpun rawatan berjaya, dikhuatiri ia hasil daripada bantuan jin, berbaloikah sembuh penyakit dengan bayaran puluhan ribu, akhirnya dihumban ke jurang kerak api neraka?
Bermula 1 Mac 2025, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menguatkuasakan Akta 775 iaitu Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016. Akta ini mewajibkan semua pengamal pengubatan 7 bidang amalan diiktiraf termasuk pengamal pengubatan Islam berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dibenarkan menjalankan amalan berasaskan kompetensi dan standard yang ditetapkan. Akta ini antaranya bertujuan mengawal amalan perbomohan agar masyarakat tidak tertipu hingga ada yang kerugian ratusan ribu ringgit.
Jika disabitkan kesalahan kali pertama, pengamal yang tidak berdaftar boleh didenda tidak melebihi RM30,000.00 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
Untuk berdaftar sebagai pengamal berdaftar, pengamal pengubatan Islam ini perlu menjalani Ujian Saringan Standard Pengukuran Pematuhan Syariah Bagi Pengamal Pengubatan Islam atau disebut sebagai Ujian Saringan i-Syifa' yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Para pengamal pengubatan Islam akan diuji bacaan ayat-ayat al-Quran dan ayat ruqyah (jampi), amalan perawat dan kaedah rawatan bagi memastikan kaedah dan bahan rawatan adalah yang dibenarkan oleh syarak.
Kesimpulannya, janganlah kita menghampiri perbuatan yang boleh menyekutukan Allah SWT. Jangan digadai akidah yang menjadi bekalan utama untuk meraih reda Allah. Carilah reda Allah kerana ia adalah syarat dan jaminan untuk kebahagiaan dunia dan akhirat. Alangkah malang dan ruginya andai segala amal kebaikan yang dilakukan sepanjang hayat dibatal dengan dosa syirik. Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata "kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan".