recent
Terkini | تركيني

Korban : Tanda Cinta, Simbol Takwa

Laman utama

Pengorbanan merupakan istilah yang menjelaskan kesediaan dan penyerahan diri seseorang individu tanpa sebarang paksaan. Pengorbanan lahir dari hati yang ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang balasan. Korban itu sendiri adalah simbol kesungguhan dan keikhlasan dalam mengerjakan ibadah.

Allah SWT berfirman Menerusi Surah al-Hajj ayat 37 :

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ ٣٧

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya"

Pengorbanan diumpamakan seperti tenaga nukleus yang mana dari tenaga nukleus itu pula akan berkembang kepada jisim-jisim yang lain. Maka pengorbanan merupakan sumber tenaga yang berkembang dalam keluarga, masyarakat dan lain-lain. Dalam erti kata yang lain, tanpa pengorbanan maka tidak mungkin kita dapat mengecapi hasil dan sukar temui kejayaan. Apatah lagi untuk merasai sesuatu kenikmatan yang diidam-idamkan. Maka sebab itulah kita katakan bahawa pengorbanan itu adalah pintu kepada kejayaan yang hakiki.

Ibadah tahunan ini umpama latihan intensif untuk menguatkan diri dalam menghadapi kehidupan seharian. Kekuatan hubungan hati seseorang dengan Allah menjadikan dirinya yakin dan beriman dengan pertolongan dan lindungan Allah. Dia tidak sekali-kali tunduk pada nafsu dan tipu daya dunia, tidak lokek membelanjakan hartanya untuk keperluan insan yang memerlukan dan tidak juga lemah tersungkur apabila ditimpa kesusahan. Ini kerana dia tahu hidupnya hanya untuk Allah, harta, masa dan dirinya adalah pinjaman daripada Allah serta hanya pada Tuhan sahajalah tempat dia bergantung.

Begitulah kaitan antara pengorbanan dan ketakwaan sehingga disebutkan dalam Surah al-Baqarah ayat 197 bahawa takwa itu merupakan sebaik-baik bekalan di akhirat kelak.

Pengorbanan yang hakiki ialah apabila seseorang itu meletakkan keredaan Allah mengatasi kepentingan diri. Justeru untuk kita memahami konsep pengorbanan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, merupakan model terbaik untuk kita contohi dengan mengambil pengajaran daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim yang diuji oleh Allah SWT, dengan satu ujian yang maha berat, iaitu diperintahkan untuk melakukan korban dan penyembelihan ke atas putera kesayangannya baginda Nabi Ismail AS.

Walaupun berat hati Nabi Ibrahim untuk melakukannya, namun atas dasar ketaatan kepada Allah SWT, maka dengan penuh ketakwaan Nabi Ibrahim AS melakukan korban tersebut. Kisah ini menjadi satu manifestasi ketakwaan seisi keluarga yang mempamerkan ketabahan seorang ayah, kepatuhan seorang anak dan redanya seorang isteri serta ibu dalam mentaati perintah Allah SWT.

Selepas Allah memberi jalan untuk melatih diri meningkatkan ketakwaan melalui pelbagai cara termasuk berkorban, Allah datangkan ujian untuk mengenal pasti tahap keimanan dan ketakwaan. Maka di sinilah ruang dan peluang yang perlu kita gunakan untuk menunjukkan ketakwaan kita kepada Allah.

Kita harus mengambil inti pati daripada ayat terakhir Surah Ali Imran :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ٢٠٠

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)"

Ayat ini memberikan ciri penting kawalan diri untuk berjaya menghadapi dugaan iaitu bersabar, memperkukuhkan kesabaran, membuat persediaan dan bertakwa kepada Allah SWT. Ia meliputi sabar menghadapi dugaan dan juga sabar dalam terus-menerus membuat kebaikan. Jangan sesekali berputus asa. Namun kesabaran sahaja tidak mencukupi tanpa persediaan.

Kita perlu melihat bahawa perlunya kepada pengorbanan kerana itulah permulaan dan pra-syarat kepada kejayaan hidup seseorang dalam apa jua bidang dan aspek kehidupan. Hal ini kerana pengorbanan walaupun sedikit sesungguhnya memberi kesan kepada kehidupan serta membuka ruang dan hikmah yang tidak mampu difikir oleh manusia. Semua bentuk pengorbanan ini adalah suci dan bersih kerana tanpa pengorbanan maka cita-cita yang diimpikan hanya tinggal angan-angan.

Sirah membuktikan bahawa para rasul dan nabi telah banyak melahirkan pengorbanan bagi seluruh kehidupan mereka demi mencari redha Allah SWT dan demi kecintaan mereka kepada Islam. Allah SWT rakamkan di dalam al-Quran (Surah Ali Imran ayat 104) yang bermaksud : 

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung"

Kesempurnaan hidup yang tidak pernah dijangka, kejayaan demi kejayaan diperolehi merupakan suatu pencapaian yang lahir dari pengorbanan. Semua itu merupakan nikmat yang tidak mungkin dibeli walaupun memiliki harta yang banyak, segunung emas atau dunia seluruhnya.

Segalanya bermula pada diri. Ada yang berkorban masa, wang, harta demi perolehi ilmu yang dihajati. Contohnya apabila kita lihat para ulama' dahulu yang sanggup berkorban masa, tenaga dan harta sehingga memberikan natijah yang baik kepada masyarakat. Mereka telah keluar menjadi ulama' besar. Pengorbanan para sahabat dari sudut harta, masa dan tenaga memungkinkan Islam tersebar ke seluruh dunia. Pengorbanan seorang ibu yang menjaga dan mendidik sehingga lahirlah seorang anak yang berjaya. Pengorbanan seorang ayah yang membanting tulang sehingga memampukan keluarga untuk terus kekal bahagia. Pengorbanan seorang pemimpin demi masa depan rakyatnya. Pengorbanan seorang guru demi kejayaan para pelajar dan anak muridnya. Pengorbanan jiwa yang dilakukan oleh rakyat Palestin demi mempertahankan agama dan tanah airnya.

Dalam mengemudi kehidupan, setiap dari kita perlulah menghayati konsep pengorbanan dalam perkara-perkara berikut :

  1. Melakukan pengorbanan dengan melakukan sesuatu amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.
  2. Melakukan pengorbanan dengan melaksanakan kewajipan terhadap kerjaya serta tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara, selagi ianya tidak menyalahi hukum Allah dan undang-undang.
  3. Melakukan pengorbanan dengan mengenepikan kepentingan peribadi untuk memberi ruang dan peluang kepada yang lebih berhak. Kerana konsep agama adalah jelas, jika seseorang memberikan kebahagiaan kepada orang lain, maka Allah akan menggandakan kebahagiaan untuk dirinya, dan jika seseorang itu mengaibkan orang lain, maka Allah akan menggandakan keaiban ke atas dirinya.


Natijah di sebalik pengorbanan adalah tidak lain dan tidak bukan dapat memurnikan kehidupan yang lain berbanding dengan diri sendiri walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan dan keperluan diri dari sudut jiwa, harta, tenaga dan masa. Dalam kita mengorbankan segalanya adakala sehingga mengakibatkan kehabisan harta, kesuntukan masa untuk diri, tenaga menjadi lemah dan berkurangan dan lain-lain lagi.

Namun bagi insan yang benar-benar memahami akan erti pengorbanan yang hakiki, maka baginya kebahagiaan dan keindahan yang tidak terhingga jika dapat melakukan pengorbanan demi kepentingan agama, umat Islam, bangsa dan negara tercinta, malah segala pengorbanan itu bakal menjadi aset dan jariah sehingga ke hari akhirat kelak.

google-playkhamsatmostaqltradent