recent
Terkini | تركيني

Di Sebalik Peperangan Israel - Iran

Laman utama

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 251 :

فَهَزَمُوهُم بِإِذْنِ ٱللَّهِ وَقَتَلَ دَاوُۥدُ جَالُوتَ وَءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلْمُلْكَ وَٱلْحِكْمَةَ وَعَلَّمَهُۥ مِمَّا يَشَآءُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍۢ لَّفَسَدَتِ ٱلْأَرْضُ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ ٢٥١

"Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam"

Dalam Surah Al-Hajj ayat 40

ٱلَّذِينَ أُخْرِجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍۢ لَّهُدِّمَتْ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٌۭ وَصَلَوَٰتٌۭ وَمَسَـٰجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا ٱسْمُ ٱللَّهِ كَثِيرًۭا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ ٤٠

"Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa"

Peperangan yang berterusan antara Israel dan Iran mengingatkan kita kepada dua ayat al-Quran di atas.

Ayat pertama (al-Baqarah : 251) menyebut bahawa Allah akan menghentikan keganasan sebahagian manusia dengan sebahagian manusia lain melalui peperangan. Kerana di awal ayat ini Allah menyebut bahawa Daud berjaya membunuh Jalut dalam satu peperangan, kemudian selepas itu Allah menyebut sunnatullah dalam menolak keganasan sebahagian manusia dengan sebahagian manusia yang lain.

Zionis Israel jelas melakukan keganasan dalam bentuk pembunuhan beramai-ramai, penjajahan, penindasan, rampasan, penganiayaan dan pelbagai lagi jenayah terhadap rakyat Palestin khususnya penduduk Gaza dan Tebing Barat, tanpa tentangan daripada negara-negara dunia khususnya negara Arab dan Islam.

Iran mungkin dipaksa atau terpaksa untuk melawan serangan Israel dan mengerahkan segala kemampuan perang untuk mempertahankan kedaulatannya. Walau apa pun alasan dan motif Iran memasuki perang kejam ini, kita harap perang ini mampu menghentikan keganasan Zionis yang tidak dihentikan sehingga kini.

Tidak salah jika kita berasa gembira jika Iran mampu menghentikan keganasan malah menghancurkan kuasa Zionis. Sebagaimana para sahabat Nabi SAW bergembira atas kemenangan Rom ke atas Parsi bukan bermakna menyokong akidah Kristian, begitu juga kegembiraan seorang Muslim atas kemusnahan Zionis melalui serangan Iran tidak bermakna menyokong aqidah Rafidhah.

Lebih-lebih lagi Allah menyebut dengan kalimat, "mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain". Sesiapa yang dapat menghentikan kezaliman rakyat yang zalim, tidak ada larangan untuk bergembira di atas terhentinya kezaliman itu. Firman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 45 :

فَقُطِعَ دَابِرُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ۚ وَٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٤٥

"Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): "Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam"

Ayat kedua (al-Hajj : 40) menunjukkan bahawa pengusiran orang-orang beriman dari tanah air mereka yang sah adalah satu kezaliman, jenayah dan ketidakadilan yang Allah akan hentikan melalui sunnatullah yang sama. Dengan menggerakkan umat manusia untuk bersama-sama menghentikan kekejaman ini.

Dalam konteks ini, kita telah menyaksikan penolakan umat manusia, baik di dunia Islam mahu pun di Eropah dan Amerika, terhadap rancangan untuk mengusir umat Islam Gaza dari tanah air mereka yang sah.

Semoga peristiwa yang semakin meruncing di rantau Timur Tengah kini menjadi sebahagian daripada proses menghentikan kekejaman Zionis terhadap saudara Islam kita di Palestin khususnya di al-Quds, Gaza dan Tebing Barat.

google-playkhamsatmostaqltradent