recent
Terkini | تركيني

Air Mata Taubat

Laman utama

Setiap insan yang lahir ke dunia ini bersih daripada sebarang dosa dan kekotoran. Sudahlah bersih dan suci daripada dosa, bayi yang lahir pula mendatangkan kesyukuran dan kegembiraan kepada orang di sekelilingnya. Namun, semakin meningkat usia, kita kadangkala tergelincir daripada melakukan ketaatan dan ada ketika terjerumus dalam melakukan dosa. Apabila terjatuh ke lembah maksiat dan dosa, seruan untuk kembali bertaubat sentiasa terbuka kepada orang-orang yang beriman.

Firman Allah SWT menerusi Surah An-Nur, ayat 31 :

 وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"

Sedar atau tidak, Allah SWT seringkali memanggil kita hambaNya untuk terus kembali ke jalanNya. Di dalam Al-Quran, kalimah taubat berasal daripada kalimah تاب membawa erti penyesalan dan kembali daripada perbuatan maksiat. Kalimah ini dalam pelbagai sighah (lafaz) diulang sebanyak 87 kali di dalam Al-Quran. Taubat dapat diertikan sebagai proses kembali kepada Allah SWT dengan meninggalkan dosa, menyesali perbuatan yang lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Ia melibatkan perubahan pada hati, tindakan, dan niat yang ikhlas, serta dapat memenuhi atau memulangkan hak-hak manusia jika dosa tersebut melibatkan orang lain.

Taubat bukan sahaja dapat menginsafi diri atas segala kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan, malah taubat juga menjadikan kita dapat berazam agar terus istiqamah dan menghindari perbuatan dosa dan maksiat yang sama pada masa akan datang. Allah SWT menggunakan kalimah taubat dalam menyeru hamba-hambaNya untuk kembali kepadaNya dan Allah jua menggunakan kalimah taubat dalam memberi keampunan kepada hamba-hambaNya di dalam Al-Quran. Benarlah, sifat kasih dan belasnya Allah SWT melebihi kasih makhluk sesama makhluk. Walau terjatuh ke lembah yang sama berkali-kali, tetap rahmat Allah SWT sentiasa ada bagi insan yang melakukan dosa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah SWT menerima taubatnya"

(Hadith Riwayat Al-Bukhari)

Apakah yang menyebabkan hati kita keras untuk bertaubat? Sedangkan Allah SWT menciptakan kita daripada air yang lemah sifatnya.

Apakah yang menjadikan kita ego untuk bertaubat? Sedangkan lahir kita tiada apa-apa dan disambut oleh manusia, kelak mati meninggalkan semuanya dan dibantu urus juga oleh manusia.

Hakikat kejadian kita penuh kelemahan dan kekurangan, maka sambutlah seruan Allah SWT untuk kembali bertaubat kepadaNya. Sedarlah kita bahawa dunia yang kita diami hari ini tidak akan kekal lama. Jika kita ingin berubah dan tidak tahu caranya maka mulakanlah dengan bertaubat. Jika pegangan agama semakin tersasar dan anak-anak semakin sukar dibentuk, muhasabahlah semula dengan bertaubat. Jadikan taubat sebagai satu permulaan semula atas segala perkara yang berlaku kerana Dialah Allah yang memegang segala hati dan jiwa dan Dialah Allah yang akan kembali membimbing diri kita dalam setiap perkara.

Di penghujung tahun ini, marilah sama-sama kita mensyukuri nikmat Allah dan menginsafi kelemahan akibat dosa-dosa kita. Ambillah iktibar atas segala peringatan dan musibah yang berlaku di sekeliling kita sepanjang keberlangsungan kehidupan dengan memperbanyakkan ketaatan dan memperbaharui taubat pada setiap masa. Sedarilah, taubat bukan semata pada waktu yang tertentu dan sempena hari tertentu, namun perlu sentiasa dituturkan di lisan dan disematkan melalui perbuatan.

Ambillah pedoman daripada nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau menunda untuk bertaubat, kerana kematian ada ketikanya datang tiba-tiba dan tidak ada sebarang isyarat".

Imam Al-Nawawi rahimahullah menyebut di dalam kitab Riyadu As-Salihin, kaedah untuk bertaubat itu mestilah menepati syarat-syarat berikut :

  1. Menjauhi dan meninggalkan maksiat.
  2. Menyesali maksiat yang telah dilakukan.
  3. Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi maksiat tersebut selama-lamanya.
  4. Jika berkait dengan hak manusia, hendaklah meminta agar dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya, maka perlulah dikembalikan (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ianya berbentuk ghibah (bercakap tentang keburukan orang), maka perlulah minta dihalalkan.

Wahai Allah, Engkau menyeru kami berterusan untuk kembali bertaubat, ampunkan kami kerana jarang membaca kalamMu untuk menyahut seruan. Engkau berikan kami kesihatan, namun jarang kami membalas semula dengan ketaatan. Engkau berikan kami pendengaran dan seringkali kami mendengar seruan azan, namun seruanMu itu sering kami remehkan dan abaikan. Engkau kurniakan kami penglihatan, namun ada ketika kami memandang kepada yang haram dan gagal menundukkan pandangan. Engkau kurniakan kami anak-anak, pasangan dan harta, namun kami hanyut dalam kenikmatan sehingga peringatan azabMu kami abaikan. Ya Allah, terkadang kami terlupa ajal boleh menerpa pada bila-bila masa, namun taubat kepadaMu seringkali kami tunda.

Wahai Kaum Muslimin, janganlah kita berputus asa dengan rahmat Allah. Tidak pernah dianggap terlambat untuk bertaubat, selagi hayat masih di kandung badan. Ingatlah, walau dosa sudah berbukit, rahmat Allah tetap melangit. Usah menunda untuk bertaubat, kerana mati tidak terlambat walau sesaat.

google-playkhamsatmostaqltradent