Kamus Pelajar Edisi Kedua, mendefinisikan sedekah sebagai "apa-apa yang diberikan kepada orang (biasanya kepada orang miskin) dengan hati yang tulus ikhlas". Sedekah juga dapat difahami dengan makna sumbangan, derma, bantuan, pemberian atau khairat. Islam amat menganjurkan amalan memberi atau bersedekah. Ia amalan mulia, mudah dilakukan dan diganjarkan pahala yang berganda. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadiid ayat 18 :
إِنَّ ٱلْمُصَّدِّقِينَ وَٱلْمُصَّدِّقَـٰتِ وَأَقْرَضُوا۟ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًۭا يُضَـٰعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌۭ كَرِيمٌۭ ١٨
"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia"
Bersedekah mempunyai kelebihan yang sangat banyak. Antaranya menenang jiwa, menghapus dosa, mengelak musibah, mengangkat bala dan memperbanyakkan rezeki. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 :
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١
"Perumpamaan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, adalah sama seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya"
Begitu besar balasan dan ganjaran pahala dari amalan bersedekah. Oleh itu, sama-samalah kita berlumba-lumba mengejar pahala dan kelebihan bersedekah yang Allah janjikan dengan ganjaran berlipat kali ganda ini. Amatlah rugi jika kita tidak berebut melakukannya. Selain itu, kepada pemberi sedekah turut didoakan oleh para malaikat sebagaimana Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Tidaklah seorang hamba memasuki waktu pagi pada setiap harinya kecuali ada dua malaikat turun. Salah satunya memohon, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi dermawan yang menyedekahkan hartanya.’ Dan satu lagi memohon, ‘Ya Allah, musnahkanlah harta si bakhil."
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Masyarakat kita dikenali sebagai masyarakat yang bersifat pemurah. Masyarakat yang suka membantu serta mudah bersimpati kepada mereka yang memerlukan. Ia suatu sikap yang terpuji. Namun begitu, ada juga yang menangguk di air keruh. Mereka mencari peluang dan mengambil kesempatan atas kebaikan tersebut. Mereka menyalahgunakan kepercayaan masyarakat demi untung peribadi atau organisasi. Imej Islam diguna sesuka hati. Mereka memungut derma atas nama Islam, atas nama maahad tahfiz, atas nama sekolah, pondok, surau, masjid, pusat jagaan, rumah anak yatim, pertubuhan kebajikan dan atas pelbagai nama lain lagi.
Mereka menunggu di hadapan bank, berada di pasar pagi, pasar tani dan pasar malam, meletak tabung di kedai runcit dan kedai makan, bahkan juga di masjid-masjid. Mereka bergerak dari rumah ke rumah, malah dari kenderaan ke kenderaan di atas jalan raya serta pelbagai cara lain yang berbeza. Oleh itu, kita semua perlu berhati-hati dan berusaha memastikan pemberian diberi kepada pihak yang betul serta diyakini akan sampai kepada tujuan sumbangan diberikan.
Bagi menangani isu ini, dicadangkan beberapa perkara :
- Kepada yang ingin memberi. Semak sebelum memberi. Pastikan pemungut derma mempunyai Kebenaran Pungutan Khairat yang sah dari pihak yang berautoriti
- Kepada pemungut derma. Pastikan anda mendapatkan Kebenaran Pungutan Khairat yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti dan masih dalam tempoh masa yang dibenarkan.
- Kepada pemilik premis. Pastikan tabung yang diletakkan di premis anda mempunyai pemilik yang diketahui serta memiliki Kebenaran Pungutan Khairat yang sah dan tidak tamat tempoh.
Memberi tidak akan pernah rugi andai ikhlas sentiasa di hati. Namun, mari kita berfikir sejenak dan bertanya pada diri. Apa erti memberi jika pemberian itu tidak bererti? Apa erti memberi jika tidak sampai kepada yang sepatutnya memiliki? Apa erti memberi jika tujuan kita diketepi? Apa erti memberi jika pemberian disalah guna pemungut untuk keuntungan duniawi dan hanya untuk kepentingan peribadi atau organisasi.
Justeru, marilah kita lebih berhati-hati saat ingin memberi, biar pasti pemberian sampai kepada yang sepatutnya memiliki, agar mengalir pahala pada yang memberi, manfaatnya pula penerima rasai.
Kesimpulannya, beberapa perkara yang perlu diberi perhatian
- Kebenaran Pungutan Khairat. Pihak yang sedang atau berhasrat untuk melakukan pungutan khairat atau pungutan derma. Pastikan anda terlebih dahulu mendapatkan Kebenaran Pungutan Khairat daripada pihak berkuasa agama sebelum melakukan sebarang aktiviti pungutan. Anda boleh menghubungi Pejabat Agama Daerah untuk tujuan tersebut. Suka diingatkan, pungutan khairat tanpa kebenaran boleh menyebabkan tindakan undang-undang dikenakan kepada pemilik organisasi yang terlibat dan pemungut.
- Memberi pada tempat yang betul. Pembaca yang pemurah, semaklah sebelum memberi dan berikan kepada mereka yang sepatutnya. Lapor kepada pihak berkuasa agama jika anda dapati pemungut derma tidak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
- Manfaatkan peluang yang masih ada. Kita akan kembali kepada Yang Maha Esa. Cepat atau lambat kematian pasti tiba. Maka manfaatkan peluang selagi masih bernyawa. Bersedekahlah semasa berharta, hapus dosa semasa di dunia, kumpul pahala bekalan ke sana, agar bahagia kita di syurga. Bersedekah pada masa kini cukup mudah, kita tidak lagi hanya bergantung kepada cara lama yang memerlukan wang dan tabung secara fizikal. Perubahan zaman menjadikan bersedekah boleh dilakukan dengan lebih cepat dan mudah. Cukup hanya dengan mengimbas Kod Respon Pantas (QR Code) sahaja. Maka bersedekahlah.
