recent
Terkini | تركيني

Akhlak Rasulullah SAW Ikutan Terbaik

Laman utama

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًا

"Sesungguhnya pada Rasulullah itu terdapat contoh tauladan yang baik bagi kamu iaitu bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan keselamatan pada hari qiamat dan banyak mengingati Allah"

Surah Al Ahzab : 21


Marilah kita sama-sama mengingati Allah dan bertakwa kepada-Nya. Mudah-mudahan dengan bertakwa kepada Allah akan membuahkan akhlak yang sangat mulia di sisi Allah. Bersempena dengan bulan kelahiran Rasulullah ini, post kali ini akan membicarakan tentang akhlak Rasulullah SAW. Akhlak Rasulullah SAW adalah Al-Quran. Maka sebab itulah Rasulullah SAW amat mengambil berat tentang akhlak. Daripada Abu Hurairah RA, nabi SAW bersabda yang bermaksud :


"Sesungguhnya aku diutuskan semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"

Hadis Riwayat Ahmad


Ingatlah, dakwah sejati adalah menunjukkan akhlak yang baik, menjadi bukti yang dapat dilihat, ditiru dan dicontohi oleh orang lain. Akhlak yang baik ini akan mewujudkan suasana kasih sayang dalam hubungan manusia.


Apabila kita mengakui sebagai orang Islam, maka kita wajib berusaha mengikut ajaran Islam. Allah SWT memberi perintah yang tegas kepada kita, ikutlah petunjuk Allah sepenuhnya dan jangan ikut jalan-jalan syaitan. Allah berfirman :


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Ertinya : "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu"

Surah Al-Baqarah : 208


Syariat Islam mengandungi peraturan hukum halal dan haram. Peraturan ini akan menentukan hubungan manusia dengan penciptanya yakni Allah dibuat dengan sempurna, hubungan manusia dengan manusia dibuat dengan sempurna dan hubungan manusia dengan alam sekitar dibuat dengan selamat. 


Sebagai contoh, kita hidup di dalam masyarakat sekampung. Alangkah baiknya kita menjaga hubungan silaturrahim dengan jiran kita yang terdiri daripada ibu bapa, adik beradik, sanak saudara, jiran tetangga yang terdiri dari rakan sekampung.


Orang yang memelihara binatang ternakan tidak melepaskan binatang ternakannya dan membiarkan memakan tanaman jiran sekampung yang tentu sekali akan menyakitkan hati sesama kita.


Marilah kita menjaga akhlak kita sebagaimana yang diajaroleh Rasulullah SAW dengan sama-sama menyayangi sesama insan apatah lagi sesama Islam dan mempunyai hubungan yang rapat dengan kita. Ibnu Umar meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :


"Sayangilah kepada penduduk bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh penduduk langit (para malaikat)"

Hadis Riwayat Bukhari dan Ahmad


Kesimpulannya, amat jelas kepada kita bahawa Rasulullah SAW diutuskan untuk mengajar akhlak yang baik kepada seluruh alam. Bagaimanapun ingatlah, menjadi tabiat musuh Islam dan sebahagian orang bukan Islam yang sengaja ingin mengalih cara hidup kita dengan akhlak yang terbaik ini melalui media sosial dan sebagainya.


Sedarlah, satu ikutan icon ataupun role model yang sepatutnya ditiru oleh kita semua umat Islam ialah diri Rasulullah SAW itu sendiri.


وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَـٰلَمِينَ

Ertinya : "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam"

Surah Al-Anbiya : 107




google-playkhamsatmostaqltradent