recent
Terkini | تركيني

Noktah Penting Tentang Hijrah

Laman utama

Peristiwa hijrah Nabi SAW dari Makkah Al-Mukarramah ke Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Al-Madinah Al-Munawwarah, merupakan suatu peristiwa penting dan agung dalam sejarah Islam dan demikian juga dengan kehidupan Rasulullah SAW. Melalui hijrah ini, terdapat beberapa garisan dan pengajaran yang melambangkan semangat kecintaan, pengorbanan dan kesetiaan terhadap agama Islam yang suci ini.

Hijrah Nabi SAW adalah suatu peristiwa musim di antara peristiwa-peristiwa yang penuh ibrah ketaatan. Ia juga salah satu daripada kemuliaan agama dan merupakan satu marhalah di antara marhalah penting dalam perkembangan Islam. Peristiwa ini harus hidup subur dalam jiwa setiap Muslim dan Mukmin iaitu dengan sentiasa mengambil pengajaran dan ibrah bagi tujuan membina perubahan tingkah laku dan mengaplikasikannya dalam setiap ruang kehidupan.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 218 :

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٢١٨

Maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

Ayat ini dan juga ayat-ayat lain yang diturunkan dengan perintah hijrah, telah menjelaskan kepada kita tentang keutamaan hijrah yang bermula dari tahun ia berlaku, sehingga tahun 8 Hijrah. Sehinggalah hijrah itu berhenti. Berhenti dalam erti kata, tiada lagi hijrah dari Mekah ke Madinah setelah berlakunya Pembukaan Kota Makkah Al-Mukarramah, selaras dengan sabda Nabi SAW yang mafhumnya :

"Tidak ada hijrah setelah penaklukan (Mekah), melainkan jihad dan niat yang ikhlas. Apabila kamu diminta untuk berangkat (untuk agama Islam), hendaklah kamu berangkat"

(HR Muslim)

Penegasan Nabi SAW ini secara jelasnya menyatakan bahawa, tidak adanya hijrah setelah pembukaan Kota Mekah itu bersifat adalah khusus. Akan tetapi, secara umumnya hijrah itu akan berterusan sebagai satu usaha bagi umat ini untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

Sabda Nabi SAW yang mafhumnya :

"Hijrah tidak akan berakhir sehinggalah taubat itu berakhir dan taubat tidak akan berakhir sehinggalah matahari itu terbit di barat"

(HR Abu Dawud)

Kita sama-sama mengucapkan tahniah kepada semua umat di dunia Islam atas sambutan Tahun Baru Hijriah ini. Hijrah adalah permulaan bagi satu peringkat dalam sejarah Islam dan ia memberi nilai serta maknanya yang tersendiri kepada umat ini dalam kontek tarbiyah dan ruhiyyah.

Atas semangat ini, umat Islam telah memilih untuk memulakan catatan sejarah Islam itu dengan hijrah dan tidak harus berhenti sekadar itu sahaja. Ia harus menjadi suatu kepentingan kepada umat ini melakukan muhasabah dan menilai diri untuk melihat di mana kedudukan kita pada hari ini. Apakah pendirian dan pegangan kita hari ini?! Di manakah kita hari ini?! Adakah kita berada di jalan yang benar sebagaimana yang telah ditunjukkan kepada kita oleh Islam?

Hijrah Nabi dan juga para sahabat bukanlah semata-mata perjalanan ziarah yang biasa. Ia bukanlah sekadar suatu usaha untuk menyelamatkan diri dari siksaan berat yang dihadapi mereka akibat tekanan dan penindasan musyrikin Mekah pada ketika itu. Hijrah juga bukanlah bertujuan mengutamakan keselesaan berbanding penderitaan yang dirasai. Hijrah pada hakikatnya, merupakan suatu marhalah yang sangat penting dan sangat diperlukan, untuk keselamatan dan kelangsungan dakwah Islam yang dibawa oleh Nabi SAW.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 100 :

وَمَن يُهَاجِرْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يَجِدْ فِى ٱلْأَرْضِ مُرَٰغَمًۭا كَثِيرًۭا وَسَعَةًۭ ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِنۢ بَيْتِهِۦ مُهَاجِرًا إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ يُدْرِكْهُ ٱلْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا ١٠٠

Maksudnya : "Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

Sebagai kesimpulannya, beberapa noktah penting berkaitan hijrah adalah :

  1. Penghijrahan Nabi SAW ke Madinah merupakan hijrah yang tersusun dan ia berlaku dengan perancangan yang amat kemas dan teliti. Ia dipersiapkan dengan sabar, bijaksana, penuh siyasah dan dengan persediaan ilmu yang cukup. Ini memberi makna bahawa, sikap sambil lewa atau bersikap acuh tidak acuh dalam membuat sesuatu pekerjaan, bukanlah satu di antara kunci yang akan membawa perubahan atau taghyir dalam Islam.
  2. Penghijrahan Nabi adalah satu peristiwa yang penting dan serius. Ia menjadi titik permulaan kepada suatu perubahan, anjakan dan transformasi, yang mengejutkan Quraisy dan semua bangsa Arab.
  3. Penghijrahan ini memberi ruang kepada setiap insan untuk merenung keagungan dan kehebatan Nabi SAW dan risalah yang dibawanya. Melalui hijrah ini, Nabi SAW telah menunjukkan satu teladan yang paling indah kepada kita dalam menegakkan semangat, keadilan, persaudaraan, membina tamadun ke arah cahaya dan hidayah Allah SWT.
  4. Kita adalah umat yang telah menetapkan hari-hari dan seluruh perjalanan hidup dengan menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai permulaannya.
  5. Penghijrahan Rasulullah SAW menjadi sumber pengajaran yang tidak pernah terhenti. Bahkan ia semakin berkembang seiring dengan peredaran zaman. Hijrah itu sendiri, menjawab segala persoalan dan menghilangkan segala keraguan yang berbangkit. Sehinggakan umat ini mampu bergerak, memperbaharui tekad dan azam bagi mencapai matlamat yang agung sekalipun berdepan dengan jalan yang sukar, penuh liku dan halangan dari musuh.
  6. Memperingati peristiwa Hijrah al-Rasul, umpama menyambut hari kelahiran Baginda SAW. Bahkan, ia lebih utama. Kerana melalui peristiwa hijrah ini, Allah SWT telah menyelamatkan Rasul-Nya dan memberi kesejahteraan kepada Baginda dari segala tipu daya orang-orang kafir.

google-playkhamsatmostaqltradent