Bersempena dengan Hari Kemerdekaan yang bakal tiba, kami ingin mengingatkan bahawa tanggal 31 Ogos 2025 bukan sekadar tarikh dalam kalendar, tetapi ia adalah detik yang seharusnya menyentuh jiwa kita semua. Malaysia telah melangkah ke usia 68 tahun sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Kemerdekaan yang sebenarnya merangkumi kebebasan menyeluruh daripada penjajahan fizikal, politik, ekonomi dan minda, serta kebebasan dalaman daripada hawa nafsu, kebergantungan duniawi dan pengaruh jahat. Ia adalah keadaan di mana individu dan negara bebas beroperasi mengikut prinsip dan tanggungjawab, menjaga kedaulatan dan maruah diri tanpa kehilangan nilai-nilai murni. Islam mengajarkan bahawa kemerdekaan yang hakiki terletak pada pembebasan diri dari segala bentuk penghambaan kepada selain Allah. Ini melibatkan pembebasan dari penguasaan hawa nafsu, godaan syaitan dan kebergantungan duniawi yang sering kali mengaburkan tujuan hidup seorang Muslim.
Firman Allah SWT menerusi Surah an Naazia’t ayat 40-41 :
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفْسَ عَنِ ٱلْهَوَىٰ ٤٠ فَإِنَّ ٱلْجَنَّةَ هِىَ ٱلْمَأْوَىٰ ٤١
"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, - Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya"
Kemerdekaan sejati adalah ketika seorang hamba mencapai tingkat kebebasan hakiki yang memungkinkan dirinya untuk sepenuhnya tunduk kepada kehendak Allah, menjalankan amanah dengan tanggungjawab dan memperjuangkan keadilan sosial. Dalam perspektif Islam, kemerdekaan bukanlah kebebasan tanpa batas, melainkan kebebasan yang disertai dengan ketundukan mutlak kepada Sang Pencipta yang membawa manusia menuju puncak ketenangan jiwa dan kebahagiaan abadi. Melalui pemahaman yang mendalam tentang konsep ini, seorang Muslim dapat menemukan jalan menuju kemerdekaan yang benar-benar memerdekakan serta membebaskan jiwa dari segala belenggu duniawi dan menuju puncak pengabdian kepada Ilahi.
Namun, persoalannya apakah kita benar-benar merdeka atau hanya sekadar merdeka secara lahiriah namun masih terikat dengan bentuk penjajahan baharu yang lebih licik? Seperti serangan pemikiran dan budaya, kegilaan teknologi serta kejahilan dalam penggunaan media sosial. Merdekakah kita jika budaya kesantunan saling menghormati sesama manusia semakin terhakis? Merdekakah kita bila mana budaya buli di sekolah semakin berleluasa dan mengotori akhlak para pelajar kita?
Sejarah membuktikan bahawa penjajah datang ke tanah air kita bukan sahaja untuk merampas hasil bumi, tetapi juga untuk menguasai pemikiran dan budaya bangsa. Mereka tahu bahawa jika fikiran kita dikuasai, jiwa kita akan lemah dan akhirnya umat Islam akan mudah dipengaruhi. Hari ini, bentuk penjajahan itu masih wujud, hanya wajahnya sahaja yang berubah. Kalau dahulu kita dijajah dengan senjata dan kuasa tentera, kini kita dijajah melalui ekonomi, hiburan, teknologi, media sosial dan gaya hidup. Lihat sahaja bagaimana anak muda kita pada hari ini sehingga mengutamakan gaya hidup hedonisme berbanding dengan mengamalkan gaya hidup secara Islamik.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah memberi peringatan dalam hadis sahih riwayat Muslim :
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لاَتَّبَعْتُمُوهُمْ " . قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ " فَمَنْ "
Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya"
Kami (para sahabat) berkata, "Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nashrani?" Beliau menjawab, "Lantas siapa lagi?"
Umat Islam hari ini terlalu banyak meniru budaya asing – dalam berpakaian, berhibur, berpolitik, bahkan dalam cara hidup seharian. Kita menyangka ia tanda kemajuan padahal ia adalah bentuk penjajahan yang diserap halus dalam kehidupan.
Kemerdekaan yang sebenar ialah apabila kita membebaskan diri daripada belenggu hawa nafsu, syaitan serta pengaruh budaya songsang. Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda dalam hadis riwayat Ahmad :
الْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ فِي اللَّهِ
"Pejuang sebenar ialah orang yang berjihad melawan dirinya kerana Allah"
(Musnad Ahmad, no. 23408)
Justeru, jihad terbesar selepas kita mengecap nikmat kemerdekaan adalah jihad memerdekakan minda dan jiwa. Kita mesti kembali kepada al-Quran dan Sunnah sebagai panduan. Kita mesti mendidik generasi muda supaya bangga dengan agama, bangsa dan negara. Kita mesti memastikan kemerdekaan ini terisi dengan pembangunan rohani selain pembangunan fizikal. Serapkan jiwa anak dengan jati diri yang merdeka. Perlunya anak muda memahami erti jati diri bangsa melayu yang penuh hikmah dan kepelbagaian warna budaya yang memberi keharmonian dalam masyarakat kita.
Hari ini kita berdepan dengan penjajahan teknologi. Media sosial telah menjadi senjata paling halus yang mampu merosakkan akidah dan akhlak jika tidak dikawal. Anak-anak kita terdedah dengan budaya luar yang tidak sesuai dengan nilai Islam. Inilah cabaran besar bagi sebuah negara merdeka.
Selain penjajahan budaya dan minda, kita juga berdepan dengan penjajahan ekonomi. Umat Islam sering menjadi pengguna, bukan pengeluar. Kita bergantung pada kuasa besar dalam banyak aspek, dari makanan, teknologi sehinggalah kepada kewangan. Kebergantungan ini melemahkan kita sebagai bangsa merdeka.
Sesungguhnya kemerdekaan itu adalah amanah. Jika kita gagal mengisi kemerdekaan dengan nilai iman, maka kita hanya merdeka pada nama tetapi hakikatnya masih dijajah.
Oleh itu, marilah kita sama-sama memerdekakan jiwa dengan iman, akal dengan ilmu dan masyarakat dengan akhlak Islamiah. Hanya dengan itu barulah kemerdekaan yang kita kecapi selama 68 tahun ini benar-benar bermakna.
Marilah kita tanamkan dalam hati bahawa kemerdekaan bukan hanya sekadar sambutan perayaan dengan bunga api dan laungan merdeka tetapi ia adalah tanggungjawab besar untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Tanamkanlah rasa syukur kepada Allah atas nikmat kemerdekaan ini. Gunakanlah ia untuk mendekatkan diri kepada Allah, menegakkan agama serta membina bangsa yang beriman dan bertaqwa.
Inilah kemerdekaan sebenar – kehidupan yang baik di bawah naungan iman dan Islam. Marilah kita memerdekakan jiwa, memerdekakan akal dan memerdekakan budaya kita daripada belenggu asing. Tanamkan dalam hati anak-anak kita nilai agama, cintakan bangsa dan tanah air serta istiqamah dengan Islam. Kemerdekaan adalah amanah Allah. Ia bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi tanggungjawab untuk mengisi kebebasan itu dengan iman, akhlak dan ketakwaan. Jika tidak, kita akan kembali dijajah dalam bentuk yang lebih dahsyat.
Kesimpulannya, marilah kita renungi kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Bapa Kemerdekaan Malaysia : "Kemerdekaan itu ibarat obor yang menyala, marilah kita julang obor ini setinggi-tingginya dengan penuh bangga, supaya cahayanya dapat menerangi sekitar alam".
Anak nelayan menjala ikan, Di tepi pantai ombak berdebur;
Merdeka sebenar lahir di iman, Bangsa sejahtera akhlak teratur.
Sinar mentari membawa harapan, Cahaya pagi menyeri dunia;
Bersatu hati seluruh insan, Menjaga merdeka warisan kita.