Firman Allah :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Berdasarkan kepada fitrah kejadian manusia bahawa kehidupan di dunia merupakan satu ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Ujian ini dalam pelbagai bentuk sama ada kesenangan, kebahagiaan, kesedihan, malapetaka yang menimpa diri sendiri, kaum keluarga, masyarakat ataupun negara.
Firman Allah SWT :
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar
Sejarah menunjukkan bahawa Nabi Ayub AS adalah salah seorang nabi yang paling banyak menerima ujian dalam hidupnya. Baginda berhadapan dengan ujian kehilangan kesemua anak kesayangannya, kehabisan harta kekayaannya, menghidapi penyakit, kaum kerabat dan isterinya menjauhi Nabi Ayub AS. Namun, Nabi Ayub AS menghadapi segala ujian ini dengan penuh kesabaran dan berkeyakinan bahawa semua ketentuan Allah SWT ini mengandungni pelbagai hikmah disebaliknya.
Sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT dan beriman dengan qada' dan qadar-Nya, kita mestilah yakin bahawa setiap ketentuan dan takdir Allah SWT itu ada hikmah disebaliknya dan tidak berlaku sesuatu dengan sia-sia. Oleh itu, kita berkewajipan untuk menerima apa jua yang terjadi dalam persekitaran hidup kita dengan penuh kesabaran dan keimanan agar dengan cara ini ia akan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Ketahuilah bahawa setiap ujian yang menimpa manusia mempunyai beberapa pengajaran yang berbeza. Bagi mereka yang beriman, maka ujian yang ditimpa merupakan satu iktibar dan merupakan satu peringatan dalam bentuk kesih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya, yang penting kita harus sabar menghadapinya. Ujian yang diturunkan Allah SWT kepada kita, pasti sudah ditetapkan dengan penuh keadilan. Tidak mungkin ujian yang menimpa itu, melampaui batas kemampuan kita. Kerana Allah tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya.
Negara kita, tanah air yang kita cintai ini telah mengalami pelbagai situasi kesulitan seperti banjir yang melanda beberapa negeri yang lain baru-baru ini dalam masa yang sama negeri-negeri yang masih berdepan dengan wabak COVID-19 yang masih lagi belum berakhir. Sebelum daripada itu, negara juga telah mengalami wabak denggi, jerebu, kemarau panjang dan lain-lain. Peristiwa tersebut telah memberi kesan kepada keamanan dan keharmonian hidup kita akibat daripada kehilangan nyawa, kemusnahan tempat tinggal dan harta benda.
Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar akibat dan kesan buruk daripada wabak COVID-19 dan banjir yang sedang dialami oleh mangsa-mangsa akan menjadi pulih seperti biasa. Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Agong dan Maha Berkuasa mengubah segala-galanya.
Marilah sama-sama kita mengambil iktibar seperti berikut :
- Yakinlah ujian itu merupakan tanda kasih Allah SWT pada hamba-Nya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa yang dikehendaki Allah menjadi orang yang baik maka dia akan diberinya cubaan" (Hadis Riwayat Bukhari)
- Yakinlah semakin besar dan banyak cubaan yang Allah turunkan kepada kita, makin besar pula pahala dan sayang Allah yang akan dilimpahkan kepada kita.
- Sentiasa percaya bahawa kita boleh menyelesaikan setiap ujian hidup yang Allah berikan, kerana Allah tidak akan memberikan ujian hidup di luar kemampuan hamba-Nya.
- Menghadapi ujian hidup dengan usaha dan doa apa-apa pun perkara yang menimpa kita, Insha Allah ia akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap positif, penuh kesabaran, ikhtiar yang maksimum dan diikuti dengan doa.