Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 103 :
خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Zakat merupakan satu tanggungjawab di dalam Islam. Sebagaimana solat yang kita dirikan, sebagaimana puasa yang telah kita tunaikan, zakat juga merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Syahadah, solat, puasa dan haji merupakan rukun Islam berbentuk ibadat atau amalan pengabdian, menjamin perhubungan di antara manusia sebagai makhluk dengan Allah sebagai Khaliq atau pencipta. Berbeza dengan zakat, ianya disyariatkan dan dijadikan salah satu rukun Islam secara langsung melibatkan hubungan antara manusia sesama manusia.
Zakat adalah satu-satunya rukun Islam yang disyariatkan bagi menangani isu sosio ekonomi manusia, di mana mereka yang kaya dikehendaki membantu yang miskin, yang berada membantu mereka yang tidak berada atau kurang berada, yang berkemampuan membantu mereka yang kedhaifan, dengan tujuan membantu ummah, suatu bangsa dan suatu negara sejahtera dan mendapat keampunan Allah.
Islam semenjak dari awal diturunkan telah menyediakan saluran khas bagi mengumpul dana yang amat diperlukan. Zakat yang dinobatkan sebagai salah satu rukun dari lima rukun Islam, merupakan tonggak dan kaedah sistematik yang disyariatkan dengan membawa hikmah dan falsafah yang amat besar. Islam mahu mengajar umatnya supaya berbudi bersih dan luhur, menjadi orang dermawan, suka dan sentiasa bersedia untuk memberi pertolongan walaupun dengan jumlah yang kecil dan sedikit.
Islam telah mensyariatkan pengeluaran zakat, khusus bagi mereka yang berada dan berharta hasil kurniaan Allah dari usaha mereka sama ada di bidang pertanian, penternakan, perlombongan dan perniagaan.
Di samping zakat yang hukumnya wajib, Islam menggalakkan umatnya melakukan ibadat sunat melalui amalan bersedekah dan mewakafkan harta yang boleh diberikan dalam jumlah tanpa had dan tanpa batas. Ibadah sunat ini disyariatkan bagi membolehkan dana yang lebih besar dapat dikumpulkan dan bagi memberi peluang kepada mereka yang kaya dan berada membuat sumbangan yang lebih baik bagi memperoleh ganjaran pahala yang lebih besar.
Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 34 :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّ كَثِيرًا مِّنَ ٱلْأَحْبَارِ وَٱلرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَٰلَ ٱلنَّاسِ بِٱلْبَـٰطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۗ وَٱلَّذِينَ يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
Akhirnya, sebagai umat Islam yang cukup syarat berzakat dan belum lagi menunaikannya, marilah kita menunaikan zakat seperti lazim sebelum berakhirnya tahun ini di kaunter zakat MAIK, di masjid-masjid negeri, bandar dan jajahan seluruh negeri Kelantan. Ingatlah di dalam harta kita ada hak orang lain, oleh itu sucikanlah harta kita melalui infak sedekah dan zakat.