recent
Terkini | تركيني

Iktibar Kembara Israk Mikraj

Laman utama

Peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada bulan Rejab adalah mukjizat yang dianugerahkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Pada malam tersebut, telah diperlihatkan kepada Nabi SAW bukti kekuasaan Allah SWT. Peristiwa besar yang mempunyai banyak pengajaran dan iktibar ini dirakamkan dalam ayat pertama Surah Al-Isra.

 سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Manakala peristiwa Mikraj pula telah dikisahkan oleh Allah SWT di dalam Surah An-Najm ayat 13 dan 14.

وَلَقَدْ رَءَاهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ

عِندَ سِدْرَةِ ٱلْمُنتَهَىٰ

"Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi [13] Di sisi "Sidratul-Muntaha" (yakni langit tertinggi)" [14]

Antara hikmah Allah SWT memperjalankan Nabi Muhammad SAW melalui peristiwa ini adalah sebagai ketenangan jiwa setelah Baginda SAW  mengalami pelbagai halangan dan rintangan dalam perjuangan dakwah termasuk kehilangan dua insan tersayang iaitu isterinya, Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Allah SWT juga menunjukkan kebesaran Nya bahawa Dia Maha Berkuasa melakukan segala sesuatu di samping menguatkan keimanan dan keyakinan Nabi SAW dalam menyampaikan risalah Islam sebagai cara hidup yang diredhai. Peristiwa besar ini juga menunjukkan kedudukan tertinggi Nabi Muhammad SAW apabila dimikrajkan sehingga bertemu Allah SWT sebagai penghormatan di samping menerima perintah yang agung.

Kemuncak daripada kembara Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj ialah pengurniaan perintah solat secara khusus. Kisah ini diceritakan dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik RA. Pada mulanya Baginda SAW menerima kewajipan untuk solat 50 kali sehari semalam. Namun apabila Baginda bertemu Nabi Musa AS, Baginda dinasihatkan agar memohon kepada Allah SWT untuk dikurangkan perintah solat itu sehinggalah akhirnya berbaki 5 kali solat sehari semalam. Walaupun begitu, Nabi Musa AS terus menasihati Baginda SAW supaya meminta dikurangkan lagi, dengan katanya yang bermaksud :

"Sesungguhnya umatmu tidak akan mampu untuk melakukan 5 kali solat setiap hari. Aku telah mencubanya pada orang sebelum kamu dan aku telah cuba bersungguh-sungguh melakukannya pada Bani Israil. Kembalilah kepada Allah dan mintalah keringanan daripada Nya untuk umatmu"

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Aku telah meminta sehingga aku menjadi malu untuk meminta lagi. Akan tetapi aku redha dan aku berserah kepada Allah"

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Solat 5 waktu yang kita tunaikan sehari semalam menjadi amalan pertama yang akan dihitung oleh Allah SWT. Solat diibaratkan sebagai tiang agama. Kewajipan solat mestilah difahami dan dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin oleh setiap umat Islam baik lelaki atau perempuan yang telah baligh dan cukup syaratnya.

Dalam keadaan negara kita dan seluruh dunia masih berdepan dengan pandemik COVID 19, pihak berwajib telah berusaha memberi kebenaran seluas-luasnya untuk masyarakat Islam menunaikan ibadah solat di masjid mengikut kapasiti dengan penjarakkan dan pematuhan SOP tertentu. Orang yang bijaksana akan berusaha mengambil peluang untuk sentiasa hadir solat secara berjemaah di masjid atau surau pada setiap waktu, lebih-lebih lagi kepada kaum adam. Bahkan di dalam peristiwa agung Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW sendiri telah menjadi imam solat bersama para rasul AS.

Sayang sekali jika orang kita mengetahui kelebihan solat berjemaah tetapi masih menolak untuk melakukannya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat"

(Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama beriman dan mengambil iktibar daripada peristiwa agung Israk dan Mikraj yang berlaku kepada nabi kita Muhammad SAW. Bahawa apa juga bentuk urusan manusiawi di muka bumi ini pasti tidak terlepas kaitannya dengan Yang Maha Kuasa. Hubungan kita sesama manusia hendaklah sentiasa dijaga dengan rapi, apatah lagi hubungan kita sebagai makhluk dengan Allah Al-Khalid (Yang Maha Pencipta) mestilah dipelihara sepanjang masa.

Oleh itu, kita perlulah sentiasa memberi keutamaan kepada ibadah solat dengan melakukannya sebaik yang mungkin. Berusahalah untuk tunaikan solat secara berjemaah dan istiqamah. Mudah-mudahan kita dan semua ahli keluarga serta masyarakat akan beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia ini dan lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱرْكَعُوا۟ وَٱسْجُدُوا۟ وَٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمْ وَٱفْعَلُوا۟ ٱلْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ۩

"Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)".

(Surah Al-Haj : Ayat 77)

google-playkhamsatmostaqltradent