Tarikh 14 Jun setiap tahun disambut sebagai Hari Derma Darah Sedunia bagi meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan menderma darah dan manfaat terutama kepada para pesakit yang memerlukan. Atas dasar itu, tema bagi tahun ini ialah “Derma Darah: Kukuhkan Perpaduan” disambut dengan harapan agar masyarakat mempunyai semangat keterbukaan menerima kempen ini, sekali gus bersedia mendermakan darah.
Darah ialah ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Darah ialah cecair yang mengalir dalam tubuh badan makhluk, terdiri daripada beberapa komponen yang berperanan untuk membawa oksigen dan karbon dioksida, melawan virus dan jangkitan, memberi keseimbangan badan dan fungsi-fungsi lain yang membawa kesejahteraan tubuh badan makhluk. Allah menciptakan kehidupan manusia bergantung kepada darah, tanpanya manusia tidak boleh hidup, kekurangan darah dalam badan juga boleh menjejaskan kesihatan tubuh. Ciri-ciri mereka yang layak menderma darah adalah sihat tubuh badan, berat badan sekurang-kurangnya empat puluh lima kilogram, berumur antara 18 tahun hingga 60 tahun, dan tidak terlibat dengan kegiatan berisiko tinggi seperti berhubungan sesama jenis, mengambil suntikan dadah dan sebagainya.
Syariat Islam amat menjaga nyawa umatnya bertepatan dengan maqasid Syariah iaitu ‘Hifz al-Nafsi’. Menderma darah ialah amalan terpuji, merupakan satu ikhtiar yang berupaya menyelamatkan nyawa manusia dan memberikan kehidupan baru kepada mereka. Ramai pesakit yang dapat diselamatkan melalui darah yang dipindahkan ke tubuh badan mereka, antaranya ialah mangsa kemalangan, wanita yang tumpah darah ketika bersalin, pesakit demam denggi, pesakit talasemia; iaitu mereka yang mempunyai masalah genetik sel darah merah, pesakit anemia; iaitu mereka yang mempunyai kekurangan sel darah merah dalam badan, pesakit leukemia; iaitu mereka yang menghidapi barah dalam sel darah putih dan banyak lagi kategori pesakit yang amat memerlukan darah untuk rawatan termasuk juga bayi yang perlu menjalani pertukaran darah.
Melalui darah yang didermakan, pesakit-pesakit dengan izin Allah berpeluang sembuh dan meneruskan kehidupan. Lazimnya mereka akan merasa terhutang budi kepada penderma, sekalipun mereka tidak mengenali pendermanya. Dengan penentuan Ilahi, melalui darah yang didermakan, kita mungkin dapat membantu menyelamatkan seorang bapa yang menjadi tempat pergantungan ahli keluarganya, seorang murid yang bijak, guru yang berkemahiran tinggi, insan-insan baik yang menabur bakti kepada ummah. Oleh sebab nyawa begitu bermakna, al-Quran menggambarkan betapa bernilainya nyawa manusia dan mereka yang memeliharanya. Firman Allah SWT:
... مَن قَتَلَ نَفْسًۢا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِى ٱلْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحْيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعًا ..."...Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan bunuh orang itu, atau (kerana) membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya, dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, Maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya..."
Menurut Fiqh perubatan Islam, hukum asal darah adalah haram kerana ia merupakan najis. Namun, dalam beberapa keadaan yang memerlukan penggunaannya, seperti tujuan perubatan seperti melakukan perpindahan darah kepada pesakit yang memerlukan; bertujuan menyelamatkan nyawa manusia, Islam memberikan keharusan untuk diambil manfaat darah tersebut di bawah kendalian ahli dalam bidang perubatan. Hukum keharusan penggunaan darah ini adalah berdasarkan kaedah Fiqh iaitu “Perkara darurat dalam beberapa keadaan boleh mengharuskan apa yang telah diharamkan”. Kelebihan bagi mereka yang menderma darah, turut dijamin oleh Baginda SAW sebagai orang yang berhati mulia bermanfaat kepada manusia dengan menghulurkan bantuan kepada saudaranya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesiapa yang membantu mencukupkan keperluan saudaranya, maka Allah pula membantu mencukupkan keperluannya. Sesiapa yang melepaskan kesulitan seorang Muslim, maka Allah melepaskan pula kesusahannya kelak pada hari kiamat"
(Riwayat Muslim)
"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain"
(Riwayat At Thabrani & Daruquthni)
Menderma darah memberikan banyak manfaat kepada penerimanya. Antaranya membantu merangsang pembentukan sel-sel darah baru menggantikan sel-sel darah lama yang berupaya membekalkan oksigen dengan lebih baik berbanding sel lama. Seorang penderma darah diibaratkan membantu 3 nyawa kerana darah mempunyai tiga komponen utama yang boleh dimanfaatkan kepada tiga pengguna yang berbeza. Manfaat terbesar juga ialah membantu memenuhi permintaan bekalan darah di hospital-hospital melalui tabung darah yang mencukupi.
Selain kebaikan dan manfaat yang diterima oleh penerima darah, menderma darah juga turut memberikan banyak kelebihan kepada pendermanya dari sudut kesihatan. Antaranya penderma merasakan badan lebih sihat dan bertenaga, serta dapat mengenal pasti masalah kesihatan ketika membuat ujian darah dan pemeriksaan fizikal sebelum menderma darah. Kajian menunjukkan menderma darah dapat menurunkan tekanan darah dan penderma dapat mengetahui kadar tekanan darah serta mengawalnya agar tekanan darah sentiasa berada dalam keadaan normal. Selain itu, penderma dapat mengetahui kadar degupan jantung sekali gus memberikan manfaat pada kesihatan jantung. Kajian turut membuktikan amalan menderma darah dapat memberikan perlindungan jangka panjang kepada jantung. Ini menunjukkan amalan derma darah secara tidak langsung memberikan rawatan kesihatan kepada tubuh badan.
Kesimpulannya yang boleh kita hayati bersama,
Pertama : Derma darah merupakan amalan terpuji yang dengan izin Allah SWT dapat membantu mereka yang memerlukan dan menyelamatkan nyawa.
Kedua : Bagi mereka yang berupaya menderma darah, bolehlah melakukannya secara berkala agar masalah kekurangan bekalan tabung darah di hospital dapat ditangani.
Ketiga : Amalan derma darah memberikan dua manfaat besar kepada jasmani dan rohani. Pendermanya InsyaAllah mendapat ganjaran dan rahmat Allah SWT kerana telah memberi bantuan serta bermanfaat kepada kesihatan tubuh badan.