recent
Terkini | تركيني

Kewajipan Membayar Hutang Dan Tanggungjawab Mengurus Hutang Dengan Baik

Laman utama


Berhutang kini menjadi suatu keperluan dalam sebahagian urusan hidup manusia untuk membiayai pembelian rumah, tanah, kenderaan, membiayai yuran pengajian, menjalankan perniagaan dan pelbagai keperluan lain. Islam tidak melarang umatnya berhutang untuk tujuan-tujuan yang memberikan manfaat dengan syarat hutang dijalankan mengikut syariat, bahkan dianjurkan perbuatan memberi hutang untuk membantu orang yang berada dalam kesulitan.

Hutang merupakan salah satu bentuk muamalah Islam; daripada segi bahasa hutang bermaksud tanggungan masa hadapan yang dipertanggungjawabkan ke atas seseorang. Islam telah menggariskan peraturan yang sempurna dalam menguruskan hutang sebagaimana firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَٱكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌۢ بِٱلْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ ٱللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ ٱلَّذِى عَلَيْهِ ٱلْحَقُّ وَلْيَتَّقِ ٱللَّهَ رَبَّهُۥ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْـًٔا 

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu melakukan muamalat secara
hutang piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. Dan
hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah
penulis menolak untuk menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkan
kepadanya, maka hendaklah dia menuliskan. Dan hendaklah orang yang berhutang itu
merencanakan dengan jelas dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan
janganlah dia mengurangi sedikit pun daripada hutangnya...”
(Surah al-Baqarah ayat 282)

Laporan kaji selidik Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya pada tahun 2019, sebelum negara dilanda pandemik COVID-19; mencatatkan, majoriti rakyat Malaysia dibebani hutang, disebabkan perbelanjaan yang tidak terkawal dan melebihi pendapatan. Apa yang lebih membimbangkan, keadaan ini telah menyebabkan peningkatan orang yang diisytiharkan muflis; mendukacitakan sebahagian besar yang diisytihar muflis ialah golongan muda berumur di antara 25 hingga 44 tahun. Dilaporkan mereka yang muflis ini pada umumnya ialah orang-orang yang gagal mengawal perbelanjaan dan lemah menguruskan hutang. Pinjaman peribadi dan penggunaan kad kredit dibuat kerana mahu memperagakan gaya hidup mewah walaupun memiliki pendapatan yang kecil dan terbatas. Dilaporkan juga, ada dalam kalangan mereka yang memiliki lebih daripada satu kad kredit dan berbelanja dengan wang hutang.

Hutang adalah suatu janji yang telah dimeterai; menjadi kewajipan kepada orang yang berhutang untuk membayar atau memulangkan semula harta tersebut, dan haram hukumnya sekiranya orang yang berhutang ingkar untuk melunaskannya. Menjadi tanggungjawab orang yang ingin berhutang untuk memastikan bahawa dia berhutang bagi memenuhi sesuatu keperluan, dan bukannya untuk memenuhi selera dan hawa nafsu. Orang yang berhutang juga perlu menetapkan niat dan berikhtiar dengan
bersungguh-sungguh untuk segera membayar hutangnya mengikut perjanjian.

Sesungguhnya setiap niat dan usaha yang baik akan dipermudahkan oleh Allah SWT. Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلََفَ هَا أَتْ لَفَهُ اللهُ

“Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya.”
(Riwayat Bukhari, no 2387)

Terdapat dalam kalangan orang yang berhutang, ingkar, melengah atau meremeh temehkan kewajipan melunaskan hutang. Sikap ini menggambarkan peribadi dan akhlak ciri-ciri orang munafik seperti tidak amanah, khianati janji, menipu dan melakukan kezaliman terhadap orang lain. Orang-orang yang lalai melunaskan hutang diberikan peringatan-peringatan berikut oleh Nabi SAW:

  1. Roh orang yang berhutang akan tergantung sehingga hutang itu diselesaikan.
  2. Orang yang tidak berniat melunasi hutang akan bertemu Allah sebagai seorang pencuri.
  3. Orang yang berhutang akan rugi sekiranya dia berhutang dengan niat untuk merugikan orang lain.
  4. Baginda tidak melakukan solat terhadap orang yang didapati mati dalam keadaan masih mempunyai hutang.
  5. Orang yang sengaja menangguhkan bayaran hutang ketika dia mampu, dianggap telah melakukan kezaliman.
Orang yang berhutang perlu menguatkan azam dan usaha untuk memastikan hutang dapat dibayar mengikut waktu yang ditetapkan. Orang yang berhutang wajib memaklumkan kepada ahli waris agar hutangnya dibayar sekiranya dia meninggal dunia; kerana sesungguhnya dosa hutang tidak akan diampunkan Allah selagi tidak dijelaskan sekalipun dia mati syahid. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)"
(Riwayat Muslim)

Oleh itu orang Islam perlu mengambil berat dalam hal-hal berkaitan hutang. Bagi para peminjam tabung pendidikan seperti PTPTN, yayasan, MARA dan lain-lain, mereka hendaklah berikhtiar sedaya mungkin membayar semula pinjaman pelajaran mereka, agar rezeki mereka diberkati. Insaflah, adik-adik kita yang telah mendapat tempat untuk menyambung pengajian, pada hari ini sangat memerlukan pinjaman dari tabung-tabung pinjaman pendidikan. Pelajar-pelajar selepas kita, akan menjadi mangsa, jika dana tabung-tabung pendidikan pelajaran telah kering, kerana peminjam terdahulu mengambil sikap tidak mahu membayar pinjaman. Sentiasa beringat dan berwaspada ketika berbelanja, dan jauhi diri daripada terperangkap dengan beban hutang yang melampau. Beban hutang yang melampau akan mendorong kepada kerosakan akhlak, menjerumus manusia bersifat menipu, mencuri, menyeleweng, pecah amanah dan mengambil rasuah. Ambillah langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri terjebak terpaksa menggalas beban hutang yang berat, berpandukan peringatan-peringatan berikut:

  1. Berhutang hanya untuk membiayai perkara-perkara yang sangat diperlukan dan memberikan manfaat, seperti hartanah, rumah, kenderaan, pengajian dan modal perniagaan.
  2. Jumlah hutang hendaklah bersandarkan kemampuan untuk membayar semula.
  3. Jangan berhutang untuk memenuhi kehendak hawa nafsu, seperti membeli benda-benda baru dalam keadaan barang sedia ada masih elok.
  4. Membuat pinjaman secara patuh syariah dan jauhi pinjaman yang mengandungi unsur riba dan gharar.
  5. Elakkan pembelian dengan menggunakan kad kredit, sebaliknya amalkan pembelian secara tunai.
  6. Mengutamakan pembayaran hutang dalam menguruskan perbelanjaan bulanan.
google-playkhamsatmostaqltradent