Muamalat bermaksud perhubungan secara aktif sesama manusia dalam urusan berkaitan harta. Muamalat patuh syariah pula bermaksud kegiatan ekonomi dan pengurusan harta yang selaras atau tidak bercanggah dengan hukum Islam. Setiap hari kita menjalankan pelbagai kegiatan muamalat melibatkan jual beli, berhutang, bekerja untuk mendapat gaji, menyimpan serta melaburkan wang dan pelbagai kegiatan lagi bagi memenuhi keperluan hidup.
Persoalannya, adakah kita mengambil berat tentang halal dan haram kegiatan-kegiatan muamalat yang kita lakukan?
Rasulullah SAW memberikan peringatan melalui sabda baginda yang bermaksud :
“Akan datang suatu zaman nanti di mana seseorang sudah tidak lagi mengambil peduli apa (pendapatan) yang diperolehnya, sama ada daripada sumber yang halal ataupun haram”.
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Terdapat satu kaedah yang menyatakan: “Hukum asal dalam bidang muamalat adalah harus”. Kaedah ini memberi ruang yang luas kepada manusia untuk mengembangkan kegiatan muamalat dan ekonomi, selaras dengan kemajuan tamadun manusia. Contoh yang paling mudah diambil ialah keharusan jual beli secara atas talian yang berlaku secara meluas pada masa ini, sedangkan urus niaga sedemikian tidak pernah diamalkan sebelum zaman Internet.
Namun, Islam juga menentukan terdapat larangan-larangan dalam bidang muamalat. Antara perkara utama yang diharamkan dalam muamalat ialah
- riba, iaitu lebihan nilai yang disyaratkan dalam akad hutang
- gharar, iaitu ketidakpastian yang nyata dalam akad jual beli
- maysir, iaitu unsur perjudian atau pertaruhan dalam memperoleh harta yang bergantung pada nasib
- memiliki harta secara batil meliputi penipuan, rasuah dan menzalimi hak orang lain.
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَذَرُوا۟ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا۟ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ٢٧٨
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ فَأْذَنُوا۟ بِحَرْبٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَٰلِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ ٢٧٩"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukan demikian (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul Nya akan memerangi mu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagi mu modal kamu dan kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya".
Antara keperluan utama dalam hidup manusia ialah rumah dan kenderaan. Bagi mereka yang tidak mampu memilikinya secara tunai, mereka wajib melanggan pembiayaan perumahan dan kenderaan patuh syariah yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam. Begitu juga dengan perlindungan diri dan harta, kita wajib mengambil produk-produk takaful yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat takaful, bukannya insurans konvensional yang terlibat dengan elemen riba dan gharar yang diharamkan.
Dalam bidang pelaburan, elakkan daripada menyertai skim-skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap yang ditawarkan oleh pihak-pihak yang tidak mempunyai penasihat syariah. Begitu juga dengan perdagangan mata wang secara atas talian (online forex trading) yang diputuskan haram oleh sebahagian besar sarjana Islam, kerana melibatkan unsur-unsur perjudian, gharar dan riba.
Kini, telah ada dalam pasaran untuk membolehkan umat Islam mengembangkan harta mereka melalui pelbagai bentuk pelaburan yang patuh syariah. Umat Islam perlu berhati-hati dengan sebarang peraduan, pertandingan, cabutan bertuah dan permainan yang berkemungkinan mengandungi unsur-unsur perjudian atau pertaruhan, jika tidak mematuhi hukum-hakam muamalat. Umat Islam yang bekerja baik di sektor awam, begitu juga di sektor swasta wajib menjalankan kerja dengan penuh amanah. Pastikan gaji yang diterima adalah halal dan suci daripada sebarang unsur penipuan seperti culas pada waktu bekerja, membuat tuntutan palsu, menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi dan melakukan rasuah, perbuatan-perbuatan sedemikian merupakan contoh-contoh memperoleh pendapatan secara batil yang diharamkan dalam muamalat Islam.
Umat Islam secara umumnya mengambil berat dan begitu berhati-hati mengambil makanan yang halal. Namun, kesedaran tentang aktiviti halal dan haram dalam bidang muamalat masih rendah. Sebagai contoh, ramai yang dilapur tidak malu meminta dan menerima rasuah, sedangkan rasuah tanpa ragu, hukumnya haram.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyediakan akaun yang diuruskan mengikut prinsip syariah mulai 1 Januari 2017. Namun, setelah lima tahun akaun simpanan syariah diperkenalkan, hanya lima belas peratus ahli KWSP beragama Islam yang memilih bertukar ke akaun patuh syariah. Bermakna, dividen yang diterima setiap tahun oleh ahli KWSP beragama Islam yang belum bertukar ke simpanan patuh syariah adalah hasil daripada pelaburan bercampur antara yang halal dengan yang haram. Demi membersihkan pendapatan tersebut, mereka perlu menyalurkan peratusan dividen yang tidak patuh syariah kepada Baitulmal untuk kemaslahatan umum atau kepada golongan fakir dan miskin.
Secara ringkasnya, beberapa perkara yang perlu dititik beratkan oleh setiap orang Islam :
- Setiap Muslim wajib memahami hukum-hakam muamalat berkaitan kegiatan ekonomi yang dirinya terlibat secara langsung.
- Masyarakat Islam wajib memilih pembiayaan yang patuh syariah untuk memiliki rumah, kenderaan atau memperoleh modal perniagaan serta perlindungan takaful.
- Pencarum KWSP Muslim wajib memilih akaun simpanan syariah yang telah ditawarkan. Jika masih menggunakan akaun konvensional, maka penyucian pendapatan perlu dilakukan.
Kesimpulannya, bidang muamalat mempunyai hukum-hakam yang wajib dipatuhi oleh setiap Muslim. Muamalat adalah sebahagian daripada komponen syariat Islam yang syumul, khususnya melibatkan hubungan manusia sesama manusia.