Pada malam ini kita akan diperlihatkan dengan kuasa Allah yang Maha Agung iaitu kejadian gerhana Bulan. Bulan yang bercahaya di malam hari penuh purnama secara tiba-tiba hilang cahayanya sedikit demi sedikit sehinggalah tiada lagi cahaya yang kelihatan. Begitulah kehebatan kekuasaan Allah yang mampu mengubah segalanya di langit dan bumi pada bila-bila masa yang tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat Qada' dan Qadar-Nya.
Allah SWT berfirman di dalam al-Qur'an menjelaskan bahawa perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan itu adalah di bawah tadbir dan pengawasan Allah SWT. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit dan terbenam matahari serta bulan sebagaimana terdapat pada surah al-Fussilat ayat 37:
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِ ٱلَّيْلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمْسُ وَٱلْقَمَرُ ۚ لَا تَسْجُدُوا۟ لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُوا۟ لِلَّهِ ٱلَّذِى خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ ٣٧
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah."
Dalam peredaran Matahari dan Bulan ini, Allah dengan kekuasaan Nya mentakdirkan kedua-duanya berhimpun dan bersatu, lalu menjadi Gerhana. Ahli-ahli falak telah menghitungkan bahawa Gerhana Bulan Penuh akan berlaku pada hari ini 8 November 2022 ini bersamaan 13 Rabi'ul Awwal 1444H. Gerhana bulan yang berlaku ini adalah suatu peristiwa yang menakjubkan kepada seluruh umat manusia. Gerhana bulan berlaku apabila sebahagian jasad bulan atau keseluruhan bulan memasuki kawasan bayang-bayang gelap bumi yang menyebabkan bulan tidak dapat menerima cahaya matahari untuk dipantulkan kepada penduduk bumi. Gerhana Bulan pada kali ini bermula dengan fasa gerhana separa pada jam 5:09 petang.
Di negeri Kelantan, fenomena kemuncak Gerhana Bulan Penuh ini dapat disaksikan dengan terbitnya bulan di sebelah timur pada jam 6:59 petang dan dijangka berakhir pada jam 8:49 malam. Selama hampir 1 jam lebih kita berpeluang menyaksikan Bulan yang telah berada pada fasa Gerhana Penuh, berwama kemerahan-merahan, mula bercahaya sedikit demi sedikit sehingga ia kembali menjadi pumama. Begitulah, tanda-tanda kekuasaan Allah SWT yang Maha Agung mengatur perjalanan dan pergerakan setiap makhluknya di langit dan di bumi.
Setiap perubahan yang berlaku terhadap cakerawala dan alam semesta ini mengandungi hikmah yang tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, sudah pastinya mengandungi hikmat yang tertentu, antaranya memberi peringatan agar hamba-Nya tidak melampaui batas.
Rasulullah SAW pun bersabda yang mafhumnya:
"Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah SWT. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dari kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu"
(Riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari)
Gerhana bulan merupakan amaran Allah SWT untuk seluruh manusia agar patuh dan setia di atas titah perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNYA. Gerhana bulan adalah suatu peristiwa yang menakjubkan kepada seluruh umat manusia kerana secara tiba-tiba bulan kehilangan cahayanya. Sesungguhnya gerhana bulan akan sentiasa berlaku tahun demi tahun sebagai peringatan Allah SWT di atas segala ketelanjuran dasar yang dilakukan sama ada disukai atau tidak, kerana sampai satu ketika gerhana bulan yang tidak pulih dari gerhana dan bumi jua gerhana Yakni Qiamat. Firman Allah dalam surah al-Qiyamah ayat 7-9:
فَإِذَا بَرِقَ ٱلْبَصَرُ ٧
وَخَسَفَ ٱلْقَمَرُ ٨
وَجُمِعَ ٱلشَّمْسُ وَٱلْقَمَرُ ٩
"Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayanya, Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,"
Mengikut cacatan sejarah, gerhana bulan berlaku beberapa kali pada hayat baginda Rasulullah SAW. Manakala gerhana matahari terjadi di zaman Rasulullah SAW pada tanggal 10 Rabiul Awal tahun ke-8 hijrah. Gerhana matahari kebetulan berlaku sewaktu kematian putera baginda Rasulullah SAW iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari. Gerhana matahari terjadi sekali lagi pada 10 Muharram 61 hijrah sewaktu Saidina Hazim bin Ali dibunuh.
Ahli falak Islam yang masyhur di zaman silam, Imam al-Khawarizmi berpendapat setiap dua (2) jisim yang berdekatan itu mewujudkan kesan tarik menarik di antara satu sama lain, samada kuat atau pun lemah tarikan tersebut. Oleh kerana sewaktu berlakunya gerhana matahari, matahari berada hampir dengan bumi. Pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan angin dan pasang surut air laut yang memberi kesan kepada cuaca dan musim. Hal ini juga boleh membawa perubahan dan kesan yang baik kepada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia.
Ummul mukminin Saidatina Aishah R.HA berkata Riwayat al-Nasai mafhumnya:
"Dan sesungguhnya telah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah SWT dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat terjadi gerhana matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW, Wahai umat Muhammad, jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis"
Tinggalkanlah maksiat sekiranya kita telah terlanjur dan jauhi maksiat sekiranya belum terjebak. Ahmad dan Salamah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:
"Apabila berleluasa maksiat di kalangan umatku, nescaya Allah limpahkan azab di sisinya. Aku bertanya: Ya Rasulullah, sekiranya di kalangan mereka itu terdapatnya orang-orang soleh? Rasulullah SAW menjawab: Benar! Ummu Salamah bertanya: Kenapa orang yang soleh juga ditimpakan azab? Rasulullah SAW menjawab: Mereka ditimpakan azab bersama manusia yang lain kemudian mendapat keampunan Allah dan mendapat keredhaan-Nya"
Marilah kita berdoa kepada Allah semoga gerhana yang berlaku ketika ini tidak mengakibatkan berlakunya perubahan angin yang memungkinkan kesan kepada cuaca dan musim yang memberi kesan kepada perubahan tabii tumbuh-tumbuhan dan tanam tanaman serta kehidupan di dunia.
ٱللَّهُ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَـٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابًۭا فَيَبْسُطُهُۥ فِى ٱلسَّمَآءِ كَيْفَ يَشَآءُ وَيَجْعَلُهُۥ كِسَفًۭا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَـٰلِهِۦ ۖ فَإِذَآ أَصَابَ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦٓ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ ٤٨
Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;
Kesimpulannya :
- Umat Islam hendaklah sentiasa tunduk dan patuh melaksanakan segala perintah Allah SWT serta mempertingkatkan iman dengan memperbanyakkan amal soleh pada setiap masa.
- Umat Islam juga hendaklah meyakini bahawa segala fenomena alam yang berlaku termasuk gerhana bulan & matahari merupakan bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT.
- Umat Islam hendaklah menjauhi segala perbuatan, bentuk kepercayaan dan perkara khurafat khususnya yang berkaitan dengan fenomena Gerhana.
- Umat Islam hendaklah mengambil peluang meningkatkan amalan daripada peristiwa gerhana ini dengan memperbanyakan takbir, tasbih dan tahmid serta melaksanakan tuntutan syariat dalam Islam.
إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ١٩٠ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًۭا سُبْحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ١٩١Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.