recent
Terkini | تركيني

Kepimpinan Dalam Islam

Laman utama
Malaysia Mengundi

Umat Islam di Malaysia berada di ambang Pilihan Raya Umum (PRU). Sesungguhnya, pilihan raya merupakan salah satu daripada wasilah untuk memastikan kepimpinan negara dipilih secara sah dan berperlembagaan. Hakikatnya, kewujudan mana-mana kerajaan di dunia ini adalah ditentukan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 26:

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلْمُلْكِ تُؤْتِى ٱلْمُلْكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلْمُلْكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ ۖ بِيَدِكَ ٱلْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ٢٦

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja terdapat segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu."

Sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW membuktikan pentingnya mengambil berat isu kerajaan yang mendaulatkan agama. Berhijrahnya Baginda dari Kota Makkah ke Kota Madinah, antara lain bertujuan untuk memastikan agama itu boleh ditegakkan menerusi kerajaan yang kuat dan berdaulat.

Kefahaman ini diteruskan oleh generasi para sahabat, yang sejurus selepas kewafatan Baginda SAW, mereka tidak membiarkan umat hidup tanpa kepimpinan yang memartabatkan agama. Terus sahaja diadakan perbincangan di Saqifah Bani Sa’idah yang membawa kepada pelantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama. Sejak itu, agama dan umatnya sentiasa berdaulat apabila diterajui oleh kepimpinan yang memartabatkan agama.

Dalam Kitab Ihya’, Imam al-Ghazali berpesan : "Pemerintahan dan agama ibarat dua saudara kembar. Agama merupakan asas, pemerintah adalah pengawalnya. Sesuatu yang tiada asas maka akan hancur. Sesuatu yang tiada pengawal, akan hilang".

Menurut statistik, terdapat 7.8 juta pengundi baru yang akan terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15.  3.8 juta pengundi terdiri daripada golongan muda berusia 18 tahun. Ini bermakna, 3 daripada setiap 10 orang pengundi adalah pengundi baharu.

Ingatlah, bahawa tanggungjawab mengundi merupakan salah satu daripada kewajipan beragama. Orang Islam yang tidak peduli dengan politik dan kepentingan memilih pemimpin menerusi pilihan raya, hakikatnya merintis jalan kepada kerosakan agama dan negara. Sekiranya sikap tidak ambil peduli dan sambil lewa terhadap tanggung jawab memilih pemimpin ini dibiarkan, ingatlah, negara kita bakal diurus oleh orang yang tidak beriman kepada Allah SWT, tidak membela agama dan umat Islam khususnya bangsa Melayu, tidak menghormati kepada institusi beraja yang Tuanku adalah ketua agama. Ingatlah amaran Nabi SAW seperti dalam Riwayat Ibnu Majah yang bermaksud :

"Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang jujur didustakan, pengkhianat dipercayai sedangkan orang amanah dianggap pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidah akan menyampuk." Sahabat bertanya, "Siapakah Ruwaibidah?". Baginda menjawab, "Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat umum".

Ingatlah, bahawa musuh sebenar kita, bukanlah saudara seakidah yang duduk bersama-sama kita dalam rumah Allah SWT ini. Tetapi musuh sebenar kita, adalah mereka di luar sana yang sentiasa bekerja keras untuk menukar jati diri negara Malaysia ini, yang ingin menegakkan Islam sebagai agama persekutuan dan mewujudkan keharmonian masyarakat majmuk secara harmoni kepada negara sekular dan liberal, yang hidup di bawah telunjuk penjajahan baru. Janganlah kita menyokong dan menjadi tali barut mereka. Maka marilah kita bersama-sama mengambil berat tanggungjawab untuk mengundi, dengan memilih calon yang bertakwa, berwibawa, beramanah, menegakkan agama dalam kehidupan, menolak amalan rasuah, dan sentiasa dinamik dalam membangunkan masyarakat majmuk dalam suasana aman dan harmoni.

وَإِذَآ أَرَدْنَآ أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا۟ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا ٱلْقَوْلُ فَدَمَّرْنَـٰهَا تَدْمِيرًۭا ١٦

"Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya."

(Surah Al-Isra : 16)

google-playkhamsatmostaqltradent