recent
Terkini | تركيني

Berkorbankah Kita?

Laman utama

Hari ini 10 Zulhijjah 1444H adalah hari besar anugerah Allah SWT kepada umat Islam. Aidil Adha diambil dengan perkataan ‘Udhiyah' (أضحية) yang bermaksud kurban. la juga disebut sebagai "Yaumun Nahar" iaitu hari di mana ibadah qurban dilaksanakan. Sudah tentu kehadiran 'Aidil Adha amat dinanti-nantikan buat sesetengah umat Islam yang benar-benar menghayati serta mengetahui pahalanya yang besar. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada al-Barra' bin 'Azib RA yang mafhumnya :

"Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (Aidil Adha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka sesiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnah kami. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban"

Ketika ini, di bumi penuh barakah Makkatul Mukarramah, para tetamu Allah SWT sedang melaksanakan ibadah haji demi menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Ibadah haji telah menghimpunkan dan menyatukan umat Islam dari semua bangsa dan pelbagai warna kulit dari seluruh pelusuk dunia tanpa mengira darjat dan kedudukan.

Mereka telah menyatukan hati dan jiwa dalam satu ibadah, satu amalan, satu bentuk pakaian dan satu warna yang sama, serta berada di hadapan kaabah yang satu. Pada tahun ini rakyat Malaysia berpeluang menunaikan ibadah haji dengan jumlah kuota yang ditetapkan seramai 32 ribu orang seperti tahun-tahun sebelum berlakunya wabak Covid-19. Berbanding tahun lalu, hanya 15 ribu orang sahaja yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi. Tahniah diucapkan kepada mereka yang terpilih sebagai Duyufurrahman ke Tanah Suci. Mereka menyahut seruan Allah SWT walaupun perlu membelanjakan harta benda yang banyak dan menempuh perjalanan yang jauh serta meninggalkan keluarga tercinta dengan penuh keimanan dan ketaatan kepada Tuhan yang Maha Esa.

Bagi umat Islam yang lainnya, pada ketika ini kita sama-sama berhimpun dan berkumpul, bertakbir membesarkan Allah Maha Pencipta, bertahmid mensucikanNva dan menunaikan solat sunat Aidil Adha. Bahkan, tidak sekadar itu, pada hari yang berkat ini, umat Islam adalah disunatkan untuk melaksanakan ibadah korban binatang ternakan, serta mengagihkan daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin yang tidak berkemampuan semata-mata untuk meraih rahmat dan reda Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Kauthar, ayat 1-3 :

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ٢ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ ٣

Maksudnya : "Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang dingininya)"

Ibadah korban yang disyariatkan pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari tasyriq berikutnya haruslah difahami dengan sebaiknya oleh umat Islam yang mengaku tunduk dan patuh kepada Allah SWT. la merupakan satu tuntutan yang jelas daripada Allah SWT akan keperluan pengorbanan dalam aspek harta benda, tenaga, masa dan mahupun nyawa demi mengangkat dan meninggikan agama Allah SWT di atas muka bumi ini. Mana mungkin agama Islam dan syiarnya akan terus berkembang tanpa ada pengorbanan yang tulus ikhlas daripada kita selaku umat Islam sendiri.

Renungkanlah dengan hati yang terbuka sejarah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anak yang amat disayanginya Nabi Ismail AS, demikian juga pengorbanan Nabi Ismail AS yang sanggup disembelih oleh bapanya, serta pengorbanan isteri Nabi Ibrahim, Siti Hajar yang reda dengan perintah penyembelihan ini demi kepatuhan terhadap titah perintah Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah as-Saffat, ayat 102:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٠٢

Maksudnya : "Maka ketika anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insha Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar"

Nilai pengorbanan seperti inilah yang seharusnya dicontohi oleh umat Islam di zaman yang semakin mencabar ini, sebagai landasan untuk melahirkan umat Islam yang berilmu, berketerampilan, berkarisma, dan berkeperibadian tinggi. Percayalah, tiada jalan singkat untuk memastikan tertegaknya agama Allah serta terlaksananya syariat Allah SWT di atas muka bumi melainkan ia pasti akan didahului dengan sebuah pengorbanan.

Kedua-dua ibadah ini mengajar kita untuk terus mengukuhkan persaudaraan dalam kalangan umat Islam. Ibadah haji menuntut umat Islam dari pelbagai negara, bangsa dan warna kulit berkumpul bersama-sama sebagai satu jamaah dengan satu tujuan, iaitu semata-mata mahu mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Begitu juga dengan ibadah korban. Hukum melaksanakannya adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah ini mengajar kita untuk saling bermuafakat, bantu-membantu antara satu dengan yang lain dan sekaligus dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan Islam. Allah SWT berfirman menerusi surah al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ١٠

Maksudnya : "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat"

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA yang mafhumnya :

"Janganlah kamu saling membenci, saling mendengki dan saling bermusuhan. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur saudaranya lebih daripada tiga hari"

(Hadis Riwayat Muslim)

Sebagai umat Islam yang bersaudara, marilah kita mengambil pengajaran daripada pengalaman ibadah haji dan korban ini. Elakkan persengketaan, jauhi fitnah memfitnah dan berburuk sangka sesama kita. Semoga kita sentiasa berada dalam ikatan persaudaraan yang kukuh, hidup dengan aman damai dan harmoni agar dapat menjadi benteng daripada serangan musuh-musuh Islam. Bak kata pepatah "Bersatu Teguh, Bercerai Roboh".

Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa RA yang mafhumnya :

"Seorang mukmin bagi mukmin yang lain seperti bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain"

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai kesimpulannya, pada hari yang berbahagia ini sebagai tanda kesyukuran, teruskanlah bertakbir sepanjang hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah sehingga waktu Asar. Umat Islam sewajarnya mencontohi pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mendahulukan perintah Allah daripada kepentingan peribadinya. Dengan itu, kita juga hendaklah berani berkorban meninggalkan kepentingan peribadi, politik dan lain-lain demi menjaga agama dan membela umat Islam khususnya bangsa Melayu. Hentikanlah perbalahan dan persengketaan politik yang sedang berlaku sekarang ini yang boleh merugikan umat Islam di negara ini yang serba ketinggalan dalam semua aspek kehidupan. Bersatulah atas kepentingan menyebar dan mempertahankan agama Allah SWT di negeri dan negara ini. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 105 :

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُوا۟ وَٱخْتَلَفُوا۟ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ ١٠٥

Maksudnya : "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi danNasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah) dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar"

google-playkhamsatmostaqltradent