Istilah "Qana'ah" berasal dari bahasa Arab yang bermaksud merasa cukup, merasa puas dan redha terhadap apa yang diberikan, serta tidak meminta-minta. Orang yang memiliki sifat Qana'ah akan merasa cukup dengan apa yang diperolehi meskipun ia sedikit. Maka hati pun akan menjadi tenang dan jauh dari sifat tamak. Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam menjelaskan bahawa seseorang yang hidup secara Qana'ah, maka dia telah termasuk dalam kalangan orang yang beruntung. Seperti mana tersebut dalam sebuah hadis, dari Abdullah ibn Amru ibn Al-Ash, Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam bersabda yang mafhumnya :
"Sesungguhnya beruntunglah orang yang masuk Islam yang mendapat rezeki secukupnya dan dia pula merasa cukup dengan apa yang telah Allah berikan kepadanya"
(Hadis Riwayat Muslim)
Allah subhanahu wa ta'ala telah berfirman dalam surah An-Nahl ayat 97 :
مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ٩٧
Maksudnya : "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan"
Kebanyakan ahli tafsir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan "kehidupan yang baik di dunia" itulah yang dikenali sebagai Qana'ah.
Kehidupan Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa salam adalah amat sederhana sekali. Pada satu hari Rasulullah sedang berehat di rumahnya sambil berbaring di atas tikar yang diperbuat daripada daun-daun tamar. Tiba-tiba, seorang sahabat yang bernama Ibn Mas'ud datang menziarahi Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam. Oleh kerana pada masa itu Rasulullah tidak memakai baju, maka Ibn Mas'ud melihat bekas anyaman tikar itu melekat di tubuh Rasulullah. Melihat keadaan yang demikian, maka Ibn Mas'ud rasa sedih dan menitiskan air mata. Beliau berkata di dalam hatinya : "Adalah tidak patut bagi seorang kekasih Allah dan seorang pemimpin negara hidup dengan cara demikian"
Lalu Ibn Mas'ud pun berkata : "Ya Rasulullah, bolehkah saya membawakan tilam ke sini untuk Tuan?"
Rasulullah menjawab, "Wahai Ibn Mas'ud, apalah erti kesenangan hidup di dunia ini bagiku. Hidup di dunia ini bagiku bagaikan seorang musafir dalam perjalanan jauh, lalu dia singgah sebentar berteduh di bawah pohon kayu yang rendang untuk berehat. Setelah itu aku harus berangkat meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanan yang sangat jauh dan tidak berpenghujung"
Dalam suatu peristiwa lain pula ketika Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam menikahkan puterinya, Fatimah dengan Ali ibn Abi Talib. Pada masa itu Rasulullah menjemput Abu Bakar, Umar dan Usamah untuk membawakan "persiapan kahwin" bagi Fatimah. Mereka tertanya-tanya apakah yang disiapkan oleh Rasulullah untuk puteri tercinta dan menantunya yang tersayang itu? Ternyata, Rasulullah hanya menyiapkan gandum yang telah digiling, kulit binatang yang sudah disamak, sebuah cerek dan sebiji pinggan. Setelah mengetahui hal itu, maka Abu Bakar pun menangis.
"Ya, Rasulullah, hanya inikah persiapan untuk Fatimah?" tanya Abu Bakar dalam tersedu-sedan.
"Ini sudah cukup bagi orang yang berada di dunia", jawab Rasulullah sambil menenangkannya.
Kemudian Fatimah keluar dari rumah dengan memakai pakaian pengantin yang sederhana, tetapi dalam keadaan baju yang mempunyai 12 tempat tampalan! Tiada pula padanya perhiasan yang mahal-mahal.
Walimah pernikahan puteri Rasulullah itu amat sederhana sekali kerana kesederhanaan adalah sebahagian kehidupan Rasulullah sendiri. Sebenarnya, Rasulullah mampu untuk mengadakan walimah puterinya secara besar-besaran dengan meminta bantuan dari para sahabat yang kaya. Tetapi, sebagai manusia yang terpuji, Rasulullah ingin menampilkan sifat kesederhanaan sifat Qana'ah serta bersikap iffah dari segala kekurangan untuk tidak meminta-minta kepada insan lain.
Sifat Qana'ah dapat membersihkan hati manusia daripada penyakit tamakkan harta dan tidak pernah merasa puas dengan apa yang dimiliki. Seseorang yang dikurniakan kekayaan duniawi perlulah menyedari bahawa kita tidak akan hidup selama-lamanya dan seluruh harta yang dimiliki pasti akan ditinggalkan dan yang tersisa hanyalah kain kafan yang akan dibawa bersama ke dalam liang lahad.
Qarun adalah antara contoh manusia terkaya yang dikurniakan Allah. Qarun telah diberi nasihat berkali-kali oleh Nabi Musa untuk kembali kepada Allah sebagaimana yang dirakamkan dalam surah Al-Qhasas ayat 77 :
وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ ٧٧
Maksudnya : "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan"
Lalu Qarun menjawab dengan sombong melalui kata-katanya,
قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِىٓ
Maksudnya : "Qarun berkata : 'Sesungguhnya aku dikurniakan akan harta itu, semata-mata kerana ilmu dan kepandaian yang ada padaku"
Maka tatkala Qarun berada di atas puncak kesombongannya, lalu Allah telah membenamkannya ke dasar bumi yang dinyatakan dalam surah Al-Qasas ayat 81 :
فَخَسَفْنَا بِهِۦ وَبِدَارِهِ ٱلْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُۥ مِن فِئَةٍۢ يَنصُرُونَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُنتَصِرِينَ ٨١
Maksudnya : "Maka Kami benamkan Qarun beserta rumah dan pengikutnya ke dalam perut bumi. Maka tidak ada sesiapa pun yang mampu menolongnya daripada azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk dalam golongan orang yang dapat menyelamatkan dirinya)"
Sebagai kesimpulannya, marilah kita bersyukur di atas nikmat nafas yang masih kita miliki. Bersyukurlah atas keluarga yang kita miliki. Bersyukurlah atas pekerjaan yang kita miliki. Bersyukurlah atas kesihatan yang kita miliki. Bersyukurlah atas rahmat dan nikmat yang kita miliki. Bersyukurlah dan sentiasa bersyukur di dalam segala perkara yang kita miliki daripada Allah subhanahu wa ta'ala. Jauhilah sifat sombong dengan apa yang kita miliki kerana ia bukanlah milik kita, tetapi ia adalah milik mutlak bagi Allah subhanahu wa ta'ala.