recent
Terkini | تركيني

Munajat Seorang Hamba

Laman utama

Maksiat dan dosa merupakan kesalahan yang sinonim bagi manusia. Ingatkah kita, sebab apakah Iblis Laknatullah dijauhkan daripada rahmat Allah SWT? Bagaimana ia berubah daripada hamba yang sangat dekat kepada Allah menjadi hamba yang sangat jauh daripada rahmatNya. 

Dan bagaimana pula dengan satu kaum yang ditenggelamkan kesemua mereka sehinggakan paras air menenggelamkan puncak gunung yang tinggi? Begitu juga Firaun dan pengikut-pengikutnya yang ditenggelamkan di dasar lautan? Lihat pula Qarun, istana dan hartanya yang ditelan bumi? Begitulah juga keadaannya kepada orang-orang yang melakukan kerosakan pada setiap zaman dan tempat?

Jawapan kepada semua persoalan di atas hanyalah satu iaitu mereka telah melakukan maksiat kepada Allah SWT dengan bermacam-macam bentuk dan cara yang berbeza. Jelaslah bahawa amalan maksiat merupakan penyebab kepada kecelakaan, kebinasaan dan kesempitan hidup di dalam kehidupan seseorang.

Allah SWT telah menjelaskan perkara ini di dalam Surah Al-An’am, Ayat 6 :

أَلَمْ يَرَوْا۟ كَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَبْلِهِم مِّن قَرْنٍۢ مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّن لَّكُمْ وَأَرْسَلْنَا ٱلسَّمَآءَ عَلَيْهِم مِّدْرَارًۭا وَجَعَلْنَا ٱلْأَنْهَـٰرَ تَجْرِى مِن تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَـٰهُم بِذُنُوبِهِمْ وَأَنشَأْنَا مِنۢ بَعْدِهِمْ قَرْنًا ءَاخَرِينَ ٦

Maksudnya : "Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?"

Mereka akan merasa sempit, tidak rasa tenang bahkan rasa gelisah sepanjang hidup di dunia kerana maksiat yang dilakukan, rasa sempit disebabkan anak-anak, pasangan hidup, harta dan wang ringgit yang mereka usahakan dengan jalan yang batil.

Sesungguhnya rahmat Allah SWT itu adalah sangat luas. Pintu taubat di hadapan seorang hamba terbuka luas malah tidak pernah tutup sehinggalah terbitnya matahari dari sebelah barat. Allah SWT telah menjelaskan perkara ini melalui firmanNya di dalam Surah An-Nisa’: Ayat 17 :

إِنَّمَا ٱلتَّوْبَةُ عَلَى ٱللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلسُّوٓءَ بِجَهَـٰلَةٍۢ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍۢ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَتُوبُ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًۭا ١٧

Maksudnya : "Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana"

Islam membuka pintu harapan kepada orang-orang yang telah melakukan maksiat. Agama Islam ini menyeru kepada orang yang telah melakukan dosa supaya tidak berputus harap dengan rahmat Allah SWT. Nabi SAW bersabda :

Diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT sentiasa membuka lebar-lebar tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada siang hari dan Allah SWT sentiasa membuka tanganNya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada malam hari dan demikian terus berlaku sehingga matahari terbit dari barat"

(HR Bukhari)

Sangat berbahaya mereka tidak segera bertaubat dan kembali kepada Allah SWT malah kekal lalai dibuai dosa dan maksiat yang dilakukan. Dia masih kekal berada di landasan yang sesat dan mengikut petunjuk syaitan sehinggakan tanpa di sedari dia sedang berada di lembah dosa dan maksiat. Inilah perkara bahaya yang sangat ditakuti.

Golongan ini berangan-angan ingin hidup lama, kata mereka umur masih lagi panjang. Lalu mereka menangguh-nangguhkan untuk mengerjakan amal soleh.

Begitulah jawapan mereka apabila disuruh bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Sedarkah kita bahawa mati itu sangat dekat bahkah lebih dekat daripada kerdipan mata? Apabila tiba waktu pagi adakah kita yakin akan bertemu waktu petang ataupun tidak? Disaat kita tidur yakinkah kita bahawa esoknya kita akan bangun lagi. Ketika kita melangkah keluar dari rumah, kita tidak tahu ke mana langkah seterusnya, adakah ke tempat tujuan atau langkah itu adalah langkah terakhir sebelum kita ke kubur.

Maka hendaklah kita bersegera untuk bertaubat sebelum datangnya Malaikat Maut. Semua insan mengharapkan supaya ajalnya tidaklah datang segera malah lebih baik jika ajalnya dilewatkan tetapi adalah kita mampu menunda dan menahannya apabila tiba masanya.

Agama Islam sangat menitikberatkan ummatnya tentang munajat dan taubat. Setiap muslim hendaklah sentiasa bermunajat kepada Allah SWT supaya mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Apakah ganjaran yang lebih bermakna bagi seorang hamba melainkan dimakbulkan permintaannya malah taubatnya diterima Allah SWT Sesungguhnya Allah Taala sangat kasihkan hamba-hambanya yang sentiasa menadah tangan meminta daripadaNya dengan sepenuh pengharapan.

Berdoalah kepadaNya walau di mana sahaja kita berada. Berdoalah kepadanya setiap waktu. Ketika kita ditimpa kesusahan dan kesulitan, mohonlah supaya dipermudahkan urusan dan tetap sabar menempuh dugaan yang dihadapi. Ketika kita dikurniakan nikmat dan kebaikan, mohonlah supaya ditambah keberkatan dan campakkan rasa syukur atas nikmat dan kebaikan yang dikurniakan.

Ketahuilah bahawa Agama Islam telah menggariskan adab-adab dalam berdoa dan bermunajat yang mesti kita raikan.

Antara adab-adab berdoa ialah :

  1. Ikhlaskan niat kerana Allah Taala. Berdoalah dengan khusyuk, bulatkan azam dan tekad hanya kepada Allah kerana Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Maha Berkehendak ke atas setiap perkara.
  2. Hendaklah berdoa dengan merendah diri, tawahuk dan penuh keyakinan bahawa Allah SWT akan memakbulkan permintaan kita.
  3. Menghadap Kiblat dengan penuh khusyuk dan beradab.
  4. Menghadirkan kebesaran Allah SWT semasa berdoa.

Dikesempatan ini, kita sebagai umat Islam tanpa mengira pangkat, kedudukan dan usia, marilah kita memperbanyakkan doa dan munajat memohon keampunan daripada Allah SWT atas segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan.

Di samping itu, marilah kita bertawakkal kepada Allah SWT yang menguasai segala-galanya.

Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kepada kita kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat serta keselamatan dan perlindungan daripada musibah, bala bencana dan wabak penyakit yang berbahaya.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Al-Mukminun, ayat 99-100 :

حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ ٱلْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ٱرْجِعُونِ ٩٩ لَعَلِّىٓ أَعْمَلُ صَـٰلِحًۭا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّآ ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَا ۖ وَمِن وَرَآئِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ١٠٠

Maksudnya : "Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)."
google-playkhamsatmostaqltradent