Beberapa hari lagi kita akan bertemu dengan bulan Zulhijjah. Sebahagian besar umat Islam memahami bulan Zulhijjah berkait dengan ibadat haji dan hari raya korban sahaja. Namun kita semua hendaklah menyedari bahawa bulan Zulhijjah juga mempunyai banyak kebaikan untuk umat Islam terutamanya pada 10 hari awal padanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Fajr ayat 1 hingga 2:
وَٱلْفَجْرِ ١ وَلَيَالٍ عَشْرٍۢ ٢
Maksudnya : "Demi waktu fajar. Dan demi malam yang sepuluh"
Ulama salaf seperti Ibnu Abbas menyatakan ayat ini bermaksud sepuluh hari yang awal dalam bulan Zulhijjah. Oleh itu, apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala bersumpah dengan sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah, ia mengambarkan kepentingan dan kedudukannya yang besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Marilah kita semua berazam untuk membanyakkan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan membaca al-Quran, berzikir dan juga amalan-amalan sunat yang lain. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam hadis riwayat oleh Imam Abu Daud yang bermaksud :
"Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari 10 terawal bulan Zulhijjah". Para sahabat bertanya: "Sekalipun pula jihad di jalan Allah?" Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, "Ya, Sekalipun pula jihad di jalan Allah, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak ada yang kembali satu pun"
Selain itu, ibadat puasa juga digalakkan untuk diamalkan pada hari-hari tersebut. Namun jika kita tiada kesempatan untuk berpuasa sembilan hari pada bulan Zulhijjah maka jangan kita abaikan untuk berpuasa pada sebahagian daripadanya lebih-lebih lagi puasa hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Kelebihan puasa hari Arafah ini dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud :
"Puasa hari ‘Arafah yang mengharapkan pahala dari Allah dapat menghapus dosa-dosa satu tahun sebelum dan satu tahun selepasnya."
Marilah kita bersama-sama menghidupkan bulan Zulhijjah ini dengan amalan korban. Bagi mereka yang hendak berkorban disunatkan tidak memotong kukunya, mencukur rambut, janggut dan bulu-bulu dibadannya sehingga dia selesai menyembelih korbannya. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda dalam hadis riwayat Muslim yang bermaksud :
"Barangsiapa yang ada sembelihan korban yang hendak disembelihnya, apabila nampak anak bulan Zulhijjah, janganlah dia memotong rambutnya dan kukunya, sehingga dia selesai berkorban"
Oleh itu, rebutlah peluang besar pada bulan Zulhijjah ini. Ibnu Rejab al-Hanbali menyatakan, "Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi pahala amalan ibadah yang berlipat kali ganda pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah berbanding hari-hari lain".