Ilmu perwarisan harta pusaka dikenali juga dengan nama ilmu faraid dan ilmu mawarith. Dari segi istilah syarak bermaksud ilmu pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak.
Ilmu faraid harta ataupun ilmu perwarisan ini ialah tentang pembahagian harta pusaka yang dinyatakan jelas di dalam Al-Quran dengan menetapkan siapakah yang berhak terhadap harta peninggalan tersebut dan kadar bahagian yang ditetapkan bagi setiap waris yang menerima sesudah kematian pemilik harta. Firman Allah subhanahu wa ta'ala dalam surah An-Nisa' ayat 7 :
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌۭ مِّمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌۭ مِّمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًۭا مَّفْرُوضًۭا ٧
Maksudnya: "Bagi laki-laki ada hak bagian dari harta peninggalan kedua orang tua dan kerabatnya, dan bagi perempuan ada hak bagian (pula) dari harta peninggalan kedua orang tua dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bagian yang telah ditetapkan"
Ayat ini menunjukan berkenaan satu hukum yang Allah subhanahu wa ta'ala tetapkan kepada hambanya yang beriman sama ada lelaki atau wanita tentang pembahagian harta pusaka yang ditinggalkan. Merenung Kembali sejarah lampau di zaman jahiliah, hanya lelaki sahaja yang diberikan hak untuk mewarisi harta pusaka, kedudukan wanita dan kanak-kanak tidak langsung dipedulikan nasib dan keadaan mereka untuk mewarisi harta pusaka. Ini kerana harta pusaka pada zaman jahiliah hanya diberikan kepada lelaki dewasa sahaja yang mahir bermain pedang dan mampu mempertahankan suku kaum dalam peperangan. Selepas kedatangan Islam, wanita dan kanak-kanak juga turut diberikan hak untuk mewarisi harta pusaka.
Kedangkalan sebahagian umat Islam dalam memahami ilmu faraid ini menyebabkan berlakunya pertelingkahan kekeluargaan yang sangat merugikan. Apabila kecenderungan kepada kebendaan dan harta merajai jiwa maka timbulah perasaan dengki dan iri hati sesama sendiri walaupun mempunyai pertalian darah. Cinta terhadap harta benda menjadi ukuran tanpa berpandukan hukum yang telah ditetapkan Allah subhanahu wa ta'ala meyebabkan manusia hilang pertimbangan dan berbalah hingga memutuskan tali persaudaraan hanya kerana harta yang ditinggalkan itu gagal diurus dengan sebaiknya.
Krisis ini bertambah parah lagi apabila masyarakat kita tidak memahami dan tidak mempedulikan ilmu faraid ini atau ilmu perwarisan harta pusaka dalam Islam. Sabda Nabi shollallahu 'alaihi wa salam yang bermaksud :
Daripada Abdullah ibn Masud RA. bahawa Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam bersabda: "Pelajarilah ilmu Faraidh dan ajarkannya kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati dan ilmu ini akan diangkat dan akan berlakulah fitnah-fitnah sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak akan dapat menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan masalah mereka."
(Hadis Riwayat An-Nasai)
Berdasarkan hadis yang dibaca sebentar tadi, Nabi shollallahu 'alaihi wa salam memberi perangsang kepada umat Baginda supaya mempelajari dan mengajari ilmu faraid ini, bahkan Baginda shollallahu 'alahi wa salam memberi peringatan bahawa ilmu ini akan dicabut dari kalangan manusia. Masyarakat akan kehilangan kefahaman ilmu ini dengan Allah subhanahu wa ta'ala mematikan para ulama yang faqih di dalam ilmu faraid ini. Dengan itu, tiada lagi ilmu faraid dapat disampaikan kepada masyarakat dan juga tiada lagi tempat rujukan apabila melibatkan masalah harta pusaka, yang akhirnya akan membawa kepada pertikaian dan pertelingkahan di antara pihak-pihak yang berkaitan di dalam masalah ini.
Justeru itu, ayuhlah kita tambahkan pengetahuan di dalam memahami ilmu faraid ini, di samping kita tidak meninggalkan ilmu-ilmu kefahaman agama yang lain. Pengetahuan mendalam serta memahami hikmah mengapa ilmu faraid ini disyariatkan di dalam Islam akan menjadikan seseorang individu itu terselamat daripada 2 perkara yang merosakan.
Pertama: Selamat daripada memakan harta pusaka secara batil. Apabila masyarakat memahami dan mengetahui hak-hak yang hanya berhak dimakan dan diterima, maka isu permasalahan yang sering berlaku ketika pembahagian harta pusaka seumpama menyembunyikan waris yang berhak tidak akan berlaku lagi.
Firman Allah subhanahu wa ta'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 :
وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ١٨٨
Maksudnya : "Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui"
Perbuatan menyembunyikan waris ini juga menunjukan barahnya sifat amanah yang semakin hilang dalam kalangan masyarakat. Sedangkan apabila amanah itu diberikan hendaklah pulangkan ia kepada orang yang berhak.
Sabda Nabi shollallahu 'alahi wa salam yang mafhumnya :
Abu Hurairah radhiallahu anhu meriwayatkan, Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam bersabda: "Setiap orang Muslim ke atas Muslim lain itu adalah haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya."
(Riwayat Muslim)
Menyembunyikan waris menyebabkan waris tersebut tidak mendapat hak ke atas hartanya maka ia termasuk di dalam larangan hadis ini. Ingatlah hukum menyembunyikan waris adalah haram dan dilarang didalam agama islam.
Kedua: Selamat daripada bersangka buruk terhadap Allah subhanahu wa ta'ala dengan mengangap pembahagian harta pusaka secara ilmu faraid ini tidak adil. Anggapan sedemikian rupa adalah tidak wajar dan dakwaan tersebut datang kerana kurangnya kefahaman terhadap syariat islam secara menyeluruh yang melibatkan hak dan tanggugjawab. Bahagian lebih banyak yang diberikan kepada lelaki datang dengan tanggungjawab yang besar. Ini adalah kerana, lelaki perlu menanggung nafkah untuk isteri, anak-anak dan kaum kerabat yang lain. Oleh itu, adalah wajar dan adil untuk mereka mendapat bahagian yang lebih banyak berasaskan tanggungjawab tersebut.
Selain itu, terdapat pelbagai hikmah syariah membezakan kadar bahagian antara lelaki dan perempuan dalam hukum pusaka. Antaranya adalah:
- Keperluan dan hajat seorang wanita sebenarnya mencukupi. Ini adalah kerana nafkah mereka ditanggung oleh suami, ayah, adik beradik lelaki dan kaum kerabat yang lain.
- Wanita tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada sesiapa pun. Berbeza dengan lelaki, mereka perlu menanggung nafkah bagi ahli keluarga dan kaum kerabat. Tanggungjawab kewangan lelaki lebih banyak, maka mereka lebih memerlukan duit untuk memenuhi tanggungjawab tersebut.
Melihat kepada hikmah ini, terserlahlah kewajaran mengapa bahagian lelaki lebih besar berbanding wanita.
Dalam masa yang sama, seorang lelaki perlulah bersikap amanah tanggungjawab yang perlu dipikulnya. Adalah salah sekiranya seorang lelaki menyalahguna atau mengabaikan tanggungjawab mereka setelah mendapat bahagian mereka.
Oleh yang demikian, perkasakanlah diri dengan memahami ilmu faraid, betapa pentingnya ilmu ini hinggakan Allah swt menerangkan secara lengkap pembahagian harta pusaka di dalam Al-Quran agar manusia mengambil pedoman dan mengelakan diri daripada terjerumus ke dalam lembah dosa memakan harta pusaka secara batil. Kejahilan pada Ilmu Faraid boleh membawa risiko waris-waris terdekat simati memakan hak waris lain yang sudah tentu hukumnya adalah HARAM. Allah subhanahu wa ta'ala berfirman dalam Surah Al-Fajr ayat 19:
وَتَأْكُلُونَ ٱلتُّرَاثَ أَكْلًۭا لَّمًّۭا ١٩
Maksudnya: "Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan antara halam dan haram)"
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita merenung firman Allah subhanahu wa ta'ala dalam surah An-Nisa' ayat 13:
تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدْخِلْهُ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ ١٣
Maksudnya: "Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar"