recent
Terkini | تركيني

Air Mata Seorang Hamba

Laman utama

Menangis adalah fitrah bagi seorang manusia. Bukan hanya apabila ditimpa kesusahan atau kesedihan sahaja, bahkan manusia mudah mengalirkan air mata apabila bergembira akan sesuatu perkara. Menjadi nikmat yang tidak terhingga buat seorang hamba apabila menitiskan air mata kerana takutkan Allah subhanahu wa ta'al serta mengenangkan kembali dosa yang pernah dilakukan dahulu.

Sepanjang usia kita ini, tanyalah diri sendiri, pernahkan kita menangis kerana mengenangkan dosa serta takutkan kepada sang Maha Pencipta? Seandainya tidak pernah atau terlalu sukar untuk melakukannya, ketahuilah bahawa hati sudah terlalu kotor dan keras untuk tunduk kembali kepada Allah subhanahu wa ta'ala. Bahagian ini yang paling ditakuti, iaitu ketika hati sudah MATI, maka sudah pasti tidak akan menerima nasihat serta diketuk keinsafan lagi apatah lagi sifat takutkan kepada Allah sedangkan hati penuh kekotoran. Segala perbuatan yang haram dan maksiat akan dipandang sebagai kebaikan bukannya sebagai kemudharatan.

Allah subhanahu wa ta'ala berfirman di dalam surah Al-Isra’, ayat 107 - 109 :

قُلْ ءَامِنُوا۟ بِهِۦٓ أَوْ لَا تُؤْمِنُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ مِن قَبْلِهِۦٓ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًۭا ١٠٧ وَيَقُولُونَ سُبْحَـٰنَ رَبِّنَآ إِن كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًۭا ١٠٨ وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًۭا ۩ ١٠٩

Maksudnya : "Katakanlah wahai Muhammad kepada orang yang ingkar kepada Allah : "Samada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tidak beriman kepadanya (tidaklah menjadi hal). Kerana Sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan kepadanya sebelum itu apabila dibacakan kepada mereka akan ayat suci Al-Quran ini, mereka menyungkur atas muka mereka sendiri sambil bersujud". Dan mereka berkata di dalam sujud mereka : "Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi dan tetap dilaksanakan”. Dan mereka segera menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk"

Berdasarkan kepada ayat tersebut, Al-Imam mufassirin Al-Ustaz Dr Wahbah Az-Zuhaili dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa para golongan as-solihin yang berpegang teguh kepada Al-Quran apabila diperdengarkan kepada mereka akan bacaan ayat-ayat suci kalamullah ini akan bersujud kepada Allah sebagai tanda mengagungkan Allah subhanahu wa ta'ala dan sebagai tanda syukur atas segala kurniaan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah subhanahu wa ta'ala kepada mereka.

Para As-Solihin sujud kepada Allah subhanahu wa ta'ala sambil menangis apatah lagi apabila mereka dalam keadaan beribadat kepada Allah subhanahu wa ta'ala. Mereka menangis menitikkan air mata mereka bukanlah lakonan semata-mata, akan tetapi itulah air mata yang takutkan kepada Allah subhanahu wa ta'ala, penyesalan atas kemaksiatan yang telah dilakukan. Itulah air mata yang berharga mendambakan rahmat dan kasih sayang daripada Allah subhanahu wa ta'ala.

Rasulullah shollallahu 'alahi wa salam pernah menitiskan air matanya ketika diperdengarkan bacaan ayat Al-Quran oleh salah seorang sahabat baginda. Daripada Abdullah Ibn Mas’ud rodhiallahu 'anhu ketika mana Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam memohon beliau membacakan ayat Al-Quran kepada baginda yang mafhumnya :

Rasulullah berkata "Bacalah kepadaku". Maka berkata Abdulah Ibn Mas’ud : "Aku membaca kepadamu ya Rasulullah sedangkan Al-Quran ini diturunkan kepadamu?" Rasullullah berkata "Sesungguhnya aku amat menyukai untuk mendengar ayat Al-Quran ini selain diriku". Maka aku (Abdullah Ibn Mas’ud) membaca surah An-Nisa' ayat 41 yang bermaksud "Maka bagaimanakah hal keadaan orang yang kafir nanti, apabila Kami (Allah) datangkan seseorang saksi (Rasul) daripada tiap-tiap umat dan Kami (Allah) datangkan kamu (wahai Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu sebagai umatmu". Rasulullah berkata "cukup, berhentilah" Maka aku (Abdullah Ibn Mas’ud) menoleh kepada baginda Rasulullah ternyata kedua mata baginda dalam keadaan bercucuran air mata.

(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Persoalannya kini, bagaimana pula keadaan kita pada ketika ini? Yang masih lagi diberikan nyawa kesempatan menikmati setiap inci kehidupan ini? Nikmat Allah diberikan percuma kepada kita? Adakah kita hargainya dengan melakukan ketaatan atau dibalas dengan kemaksiatan kepada Allah subhanahu wa ta'ala?

Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam bersabda daripada Abdullah Ibn Abbas rodhiallahu 'anhu yang mafhumnya :

"Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka : Mata yang sering menangis takutkan kepada Allah subhanahu wa ta'ala dan mata yang sering berjaga malam di jalan Allah"

(Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Ternyata air mata yang mengalir itu bukanlah perkara yang sia-sia. Didikan diri perlu supaya menangis takutkan Allah subhanahu wa ta'ala.

Para ulama' mengatakan bahawa zikir atau mengingati Allah itu adalah dengan cara bersendirian, apatah lagi sekiranya perbuatan zikir ini dilakukan jauh daripada perkara-perkara yang meragukan (syubhah), riya', sum'ah dan sebagainya. Pada masa yang sama tidak memikirkan apa-apa selain daripada kebesaran Allah subhanahu wa ta'ala. Tidak akan mampu untuk mengalirkan air mata keinsafan bagi seorang hamba itu apabila hatinya terganggu dengan perkara lain. Selain mengingati berzikir kepada Allah juga, membaca Al-Quran, bertasbih, bertahmid dan juga berdoa kepada Allah subhanahu wa ta'ala di samping mengingati dosa dan bertaubat kepada Allah subhanahu wa ta'ala boleh dilakukan dan termasuk juga dalam mengingati Allah subhanahu wa ta'ala.

Manusia sering leka, lalai dan terperangkap dalam kesilapan, dosa dan kemungkaran yang dilakukan sendiri. Allah subhanahu wa ta'ala sering memberikan peringatan kepada hamba-hambaNya mengenai kelemahan diri sebagai seorang manusia supaya menjadi seorag hamba yang terbaik di sisiNya.

Marilah kita mengambil peduli beberapa perkara yang boleh kita amalkan sebagai tanda kehambaan kita terhadap Allah subhanahu wa ta'ala :

  1. Tanamkanlah sikap takutkan kepada Allah subhanahu wa ta'ala ketika bersendirian mahupun berjemaah. Ayuhlah kepada ketaatan kepada-Nya bukannya mengundang kemurkaan-Nya
  2. Hayatilah setiap kalimah kalamullah agar hati kita terjentik tersentuh dengan mukjizat Al-Quran itu sendiri dengan mempelajari ilmu-ilmu berkaitan dengannya
  3. Perbanyakkanlah membaca Al-Quran dengan sebaik yang mungkin
  4. Lakukanlah ibadah hanya semata-mata kerana Allah bukan selain daripadaNya
  5. Perbanyakkanlah berzikir mengingati Allah subhanahu wa ta'ala samada bertahmid, bertasbih, bertahlil dan sebagainya.

Imam Al-Hasan Al-Bashri berkata : "Jika mata seseorang itu mengalirkan air mata karana takut kepada Allah, maka Allah mengharamkan neraka menyentuh tubuhnya. Jika air mata mengalir ke pipinya, maka wajahnya tidak akan hitam dan hina pada hari Kiamat nanti. Tidak ada amal perbuatan yang lebih berat dan diberi pahala, kecuali air mata yang keluar kerana takutkan Allah. Air mata seperti itu dapat memadamkan panasnya api neraka".

google-playkhamsatmostaqltradent