recent
Terkini | تركيني

Hari Malaysia

Laman utama

Tanggal 16 September 1963 merupakan satu tarikh keramat yang menyaksikan penubuhan Persekutuan Malaysia membabitkan gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Pada tarikh inilah jua nama "Malaysia" telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, sekali gus menamatkan penjajahan dan ancaman komunis khasnya di negeri Sabah dan Sarawak.

Maka sebagai umat Islam, marilah kita bersama-sama bersyukur atas nikmat menjadi warga sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, serta kaya dengan hasil mahsul negara. Kita bebas untuk mentadbir tanpa perlu lagi tunduk kepada telunjuk negara asing. Hidup dalam keadaan aman dan harmoni, menjadi teduhan kepada segenap lapisan masyarakat, walaupun berlatar belakang masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama.

Sejak awal kejadian Nabi Adam 'alaihissalam, Allah subhanahu wa ta'ala telah menetapkan bahawa tanggungjawab manusia adalah sebagai khalifah untuk mengajak manusia beriman kepada Allah subhanahu wa ta'ala serta memakmurkan bumi ini. Lihatlah sirah Rasulullah shollallahu 'alaihi wa salam selaku Rasul dan pemimpin berjaya mengislamkan masyarakat Mekah dan Madinah serta mengembangkannya ke serata dunia. Inilah gaya kepimpinan yang perlu menjadi ikutan kepada pemimpin semua peringkat di negara ini.

Semasa zaman Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa salam, Baginda berusaha mendaulatkan Islam sebagai tunjang pemerintahan. Inilah rahsia kejayaan pemerintahan Islam yang adil, apabila kepimpinan sentiasa peduli dan saksama terhadap masyarakat pelbagai agama dan bangsa, tetapi dalam masa yang sama, tidak pernah meminggirkan kedaulatan agama Islam. Firman Allah subhanahu wa ta'ala dalam Surah al-Haj ayat 41:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ ٤١

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan"

Bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia ini, marilah sama-sama kita bersyukur dengan nikmat memiliki sebuah negara yang merdeka. Umat Islam perlu menyedari betapa kemerdekaan ini adalah hasil keringat daripada pejuang-pejuang Melayu yang diterajui oleh para ulamak, guru-guru pondok dan pemimpin masyarakat. Maka bersesuaian dengan agama Islam sebagai agama persekutuan, umat Islam khasnya orang Melayu sebagai bangsa majoriti, perlu mengelakkan diri daripada menjadi petualang yang meminggirkan agama sebagai jati diri negara tercinta ini.

Umat Islam perlu bersatu padu, agar nikmat hidup dalam negara yang merdeka secara aman dan harmoni ini dapat dipelihara. Jika ada sengketa yang masih membengkak, jika ada dendam yang masih disimpan, demi agama dan negara, berdamailah. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 10 :

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ١٠

"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat"

google-playkhamsatmostaqltradent