recent
Terkini | تركيني

Perpaduan Ummah Teras Keunikkan Masyarakat Majmuk

Laman utama

Perpaduan ummah merujuk kepada konsep persatuan, kesatuan dan keharmonian antara anggota masyarakat atau umat dalam suatu komuniti, negara atau kelompok. Ini adalah prinsip penting dalam Islam yang menekankan pentingnya kerjasama, toleransi dan solidariti di antara individu-individu yang berbeza latar belakang, pegangan agama atau kaum.

Dalam Islam, terdapat banyak ayat-ayat yang berkaitan dengan perpaduan ummah. Ayat-ayat ini menekankan pentingnya perpaduan, toleransi dan persaudaraan di antara anggota masyarakat dalam sesebuah negara.

Firman Allah SWT dalam surah Ali 'Imran ayat 103 :

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍۢ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ١٠٣

Maksudnya : "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya"

Ayat ini menegaskan pentingnya untuk masyarakat ini bersatu padu dan tidak memecah-belah atau berselisih di antara sesama Muslim.

Dalam konteks perhubungan antara Muslim dengan bukan Islam, Allah SWT menjelaskan melalui firmanNya dalam Surah al-Mumtahanah, ayat ke 8 :

لَّا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمْ يُقَـٰتِلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوٓا۟ إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ ٨

Maksudnya : "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil"

Ayat ini menegaskan bahawa, setiap Muslim dianjurkan untuk berlaku adil dan berbuat baik terhadap bukan Islam yang tidak mengancam atau memerangi Muslim itu kerana agama.

Dalam Islam, nilai-nilai seperti toleransi, keadilan, dan perlakuan yang adil adalah prinsip-prinsip penting dalam hubungan antara Muslim dengan bukan Islam. Meskipun ada perbezaan keyakinan, Islam menekankan pentingnya hidup berdampingan dengan damai dan menghormati hak asasi manusia bagi semua individu, termasuk mereka yang bukan Muslim.

Maka, dengan berpegang kepada dalil-dalil yang dinyatakan ini, umat Islam dianjurkan untuk menjaga kesatuan, solidariti dan toleransi di antara mereka serta berusaha untuk menciptakan masyarakat yang bersatu, damai dan harmoni.

Masyarakat bukan Islam di bawah pemerintahan Islam dikenali sebagai Ahlu Dzimmah. Maksudnya ialah orang yang dijamin oleh Islam akan keselamatan, harta benda dan jiwa mereka. Jaminan ini termasuklah keselamatan dan keamanan kepada mereka semasa berada di bawah pemerintahan Islam. Ahlu Dzimmah dalam konteks hari ini boleh diertikan dengan istilah rakyat atau warganegara. Sebagai rakyat dan warganegara pastinya mereka mempunyai hak dan kewajipan tertentu sebagai warga dalam sesebuah kerajaan Islam, sebagaimana yang disyariatkan atau ditetapkan oleh Islam melalui al-Quran dan Sunnah. Inilah keunikan masyarakat majmuk yang sedang dinikmati oleh rakyat negara ini.

Sesungguhnya pembentukan masyarakat majmuk ini adalah manifestasi kebijaksanaan dan keadilan Allah dalam mencipta manusia di muka bumi ini. Oleh itu, manusialah yang harus memainkan peranan menggunakan kebolehan dan kelebihan yang dikurniakan Tuhan untuk membentuk tamadun manusia yang cemerlang berlandaskan asal usul al-Quran dan al-Sunnah.

Perpaduan ummah mencakupi beberapa aspek penting, antaranya :

  1. Toleransi : Kesediaan untuk menerima perbezaan dalam pegangan, budaya, dan pandangan politik tanpa diskriminasi atau konflik.
  2. Solidariti : Kecenderungan untuk mendukung dan membantu sesama anggota masyarakat dalam waktu sukar atau bagi mencapai tujuan bersama.
  3. Keadilan : Memastikan bahawa semua individu memiliki hak dan tanggungjawab yang sama di sisi undang-undang dan hak dalam bermasyarakat.
  4. Komunikasi yang baik : Berkomunikasi dengan baik dan terbuka dengan anggota masyarakat dan komuniti sehingga dapat mengatasi perbezaan dan mampu menyelesaikan sebarang permasalahan dengan damai dan harmoni.
  5. Pendidikan : Pendidikan berperanan untuk mempromosikan pemahaman dan pendidikan yang baik tentang nilai-nilai perpaduan, toleransi dan keharmonian kepada generasi muda.
  6. Kepemimpinan yang bijaksana : Kepemimpinan yang mendorong dan mempraktikkan nilai-nilai perpaduan ummah dalam tindakan mereka.

Perpaduan ummah adalah prinsip penting dalam menjaga stabiliti sosial, mencegah konflik dan menciptakan masyarakat yang damai dan produktif dalam pelbagai peringkat sama ada peringkat tempatan, nasional maupun antarabangsa. Dalam konteks Islam, perpaduan ummah juga sering dihubungkan dengan konsep ummah Islamiyyah, yang merujuk pada persatuan umat Muslim di seluruh dunia.

Perpaduan adalah fitrah bagi manusia. Perpaduan sangatlah mahal harganya kerana perpaduan adalah anugerah dari Allah. Aspek keadilan dan perpaduan adalah dua unsur terpenting dalam membina umat yang satu. Di dalam Al-Quran, wujud banyak suruhan supaya kita berlaku adil. Dalam konteks kepelbagaian bangsa ini, agama menganjurkan umatnya agar sentiasa hidup tolong menolong dalam melakukan kerja-kerja kebaikan dan sentiasa bertaqwa kepada Allah.

Apabila berlakunya perbezaan, maka ingatlah bahawa persamaan kita lebih banyak daripada perbezaannya. Mengingati hal ini dapatlah mencegah pertentangan diantara ummah, terutama umat islam.

Sebagai penutup, hayatilah firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ ١٣

Maksudnya : "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)"

google-playkhamsatmostaqltradent