Firman Allah SWT menerusi surah Al-Qasas ayat yang ke 76 :
إِنَّ قَـٰرُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ ۖ وَءَاتَيْنَـٰهُ مِنَ ٱلْكُنُوزِ مَآ إِنَّ مَفَاتِحَهُۥ لَتَنُوٓأُ بِٱلْعُصْبَةِ أُو۟لِى ٱلْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُۥ قَوْمُهُۥ لَا تَفْرَحْ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْفَرِحِينَ ٧٦
"Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya : Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu wahai Qarun), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu)"
Ayat di atas membicarakan berkenaan dengan sifat-sifat Qarun yang patut direnungi untuk kita teladani dan jadikan sempadan dalam kehidupan kita. Sifat-sifat mazmumah Qarun, yang Allah SWT rakamkan di dalam Surah Al-Qasas, ayat 76 sehingga 81 di mana akhirnya penghujung kepada pelaku sifat ini akan dibinasakan oleh Allah SWT seperti mana Qarun dibinasakan oleh Allah SWT (wal iyazu billaahi min zaalik).
Pertama : Zalim Terhadap Orang Bawahan
Sifat pertama yang diceritakan di dalam Al-Quran, adalah Qarun itu, setelah dia mencapai kekayaan yang melimpah ruah, dengan jawatan yang tinggi dalam kerajaan, dia menzalimi orang-orang di bawahnya, orang-orang yang lemah, orang-orang yang miskin, dengan merampas harta-harta mereka dengan cara yang licik dan zalim.
Justeru, janganlah ada dikalangan kita yang bersifat sedemikian, di kala kita mempunyai harta dan pangkat serta kedudukan, dek kerana amarah dan dendam barangkali, tidak puas hati atau benci dengan seseorang itu, akhirnya kita sanggup menzaliminya dengan pelbagai perbuatan yang menyusahkan diri bahkan boleh jadi seluruh keluarga orang yang kita zalimi itu. Syeikh Daud bin Abdullah Al Fathani Rahmatullahi alaih ada menyebutkan di dalam kitabnya Muniyyatul Musolli akan nasihat para ulamak yang berbunyi : "Janganlah kamu berlaku zalim di saat kamu kamu mempunyai kekuasaan, maka kezaliman itu jalan keluarnya adalah penyesalan semata-semata".
Wahai si penzalim, barangkali kamu boleh lelapkan matamu di malam hari, namun orang-orang yang kamu zalimi, mereka berjaga malam bermunajat berdoa kepada Allah SWT.
Ketahuilah wahai si penzalim, bahawa sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengawasi akan setiap kezaliman yang kamu lakukan.
Kedua : Sombong dan Bermegah-Megah
Sifat Qarun yang kedua, dia adalah seorang manusia yang sombong dan bermegah-megah dengan kekayaan yang dimilikinya sebagaimana dengan firman Allah SWT dalam ayat di atas yang maksudnya :
"(Ia yakni Qarun berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya : Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu wahai karun), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah sombong (seperti lagakmu itu)"
Justeru hendaklah kita mengamalkan sifat tawadhu’ atau merasakan diri kita punyai banyak kelemahan, dan merasakan orang lain lebih baik daripada kita. Nabi Muhammad SAW juga, adalah seorang yang amat tinggi tawadhunya, sehinggakan Baginda SAW berjalan dengan keadaan pandangan Baginda SAW sentiasa tertunduk, apabila bercakap dengan orang yang lain, Baginda SAW sentiasa bertentangan mata, dan Baginda SAW sentiasa bermanis muka apabila bersua muka dengan sesiapa sahaja yang baginda temui.
Ketiga : Degil dan Sukar Menerima Teguran
Sifat Qarun yang ketiga adalah dia seorang yang degil dan sukar menerima teguran daripada orang yang lain. Sekiranya kita merasakan, bahawa diri kita sahaja adalah betul, dan orang lain semuanya salah, ketahuilah bahawa, kita sebenarnya telah mewarisi salah satu sifat Qarun, yang pengakhirannya dimusnahkan oleh Allah SWT.
Nabi SAW bersabda di dalam hadis yang dikeluarkan periwayatannya oleh Al Imam Muslim di dalam Sahihnya yang bermaksud :
"Agama itu adalah nasihat. Maka sahabat bertanya, wahai Rasulullah SAW, nasihat itu untuk siapa? Jawab Rasulullah SAW : nasihat itu untuk Allah yakni benar akidahnya dengan mengesakan Allah, dan beribadat kepadaNya. Nasihat itu untuk Al-Quran, yakni menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan pedoman hidup, membaca serta bertadabbur, akan kehendak Al-Quran dalam kehidupan. Nasihat itu Rasul, yakni menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dan ikutan, serta nasihat itu adalah, untuk pemimpin-pemimpin Islam dan seluruh umat manusia"
Keempat : Sombong Dengan Tutur Bicara
Sifat Qarun yang keempat, yang disebut oleh Allah SWT di dalam surah Al-Qasas di atas adalah Qarun seorang yang sangat sombong dengan tutur bicaranya di mana Allah SWT berfirman dalam surah al-Qasas ayat 78 :
قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِىٓ ۚ
"Qarun menjawab (dengan sombongnya) : Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku"
Di sinilah kemuncak kemurkaan Allah SWT, di mana Qarun dengan sombongnya mengatakan bahawa, semua yang dia miliki daripada kepandaian ilmu pengetahuan dan harta yang melimpah ruah itu, segalanya adalah dengan sebab dirinya sendiri, dan kata-kata pujangga melayu juga pernah menyebutkan : "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa".
Berwaspadalah dengan tutur bicaramu wahai kaum muslimin, kerana sesungguhnya umat-umat yang terdahulu, dibinasakan oleh Allah SWT dengan sebab keangkuhan tutur bicara mereka dengan para rasul, seolah-olah mencabar Allah SWT. Kaum Nabi Nuh, dimusnahkan Allah SWT setelah mencabar Nabi Nuh AS. Firaun, dibinasakan Allah SWT dengan kata-kata cabarannya kepada Nabi Musa AS, dan begitu juga iblis yang dilaknat oleh Allah SWT, dihukum menjadi penghuni neraka buat selamanya dengan sebab keingkaran dan tutur bicara sombongnya dengan Allah SWT.
Kemuncak keangkuhan Qarun itu, akhirnya Allah SWT perintahkan bumi, untuk menelan Qarun dan semua hartanya dengan firmanNya menerusi ayat ke 81 :
فَخَسَفْنَا بِهِۦ وَبِدَارِهِ ٱلْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُۥ مِن فِئَةٍۢ يَنصُرُونَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُنتَصِرِينَ ٨١
"Lalu Kami timbuskan Qarun, bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri"
Sebagai kesimpulannya, ambillah pengajaran daripada kisah Qarun ini, dengan kita menjauhkan diri dengan perbuatannya kerana sesungguhnya, sifat-sifat seperti itu tidak akan membawa kebaikan kepada diri kita, bahkan dibenci oleh Allah SWT, dan menjadi penyebab kepada bala bencana daripada Allah SWT, di dunia dan di akhirat. wal iyazu billaahi min zaalik.