Bersediakan Kita Ke Alam Barzakh? | Allah SWT telah membahagikan kehidupan manusia kepada empat fasa. Fasa pertama ialah alam rahim (kandungan ibu), manakala fasa kedua ialah fasa kehidupan di alam dunia iaitu fasa yang sedang kita laluinya sekarang. Fasa ketiga pula ialah fasa kehidupan di alam barzakh atau alam kubur iaitu alam yang dilalui oleh seseorang setelah dia meninggal dunia dan sebelum dibangkitkan di hari akhirat, manakala fasa keempat pula ialah fasa kehidupan di alam akhirat iaitu alam mahsyar dan ditimbangkan perhitungan dan pembalasan.
Alam barzakh atau alam kubur merupakan suatu alam kehidupan yang pasti dilalui oleh setiap manusia tanpa terkecuali. Menurut kitab Lisanul Arab, Alam barzakh ialah suatu dimensi alam di antara alam dunia dan alam akhirat (sebelum hari perhimpunan), bermula daripada saat kematian sehinggalah kebangkitan pada hari akhirat. Apabila nyawa dipisahkan daripada jasad, maka bermulalah perjalanan kehidupan seseorang itu di alam barzakh yang merupakan kiamat kecil bagi dirinya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya kubur adalah persinggahan pertama dari kehidupan akhirat, jika seseorang selamat darinya, maka (kehidupan) setelahnya akan lebih mudah. Dan jika seseorang tidak selamat darinya, maka (kehidupan) setelahnya akan lebih dahsyat"
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Suatu ketika Saidina Uthman RA menangis sehingga kebasahan janggutnya tatkala beliau berdiri berhampiran perkuburan. Beliau menangis kerana mengenangkan pesanan Rasulullah tentang perihal alam kubur. Sebagai orang yang beriman kita wajib percaya bahawa soal jawab dalam kubur adalah benar. Nikmat dan azab kubur juga adalah benar.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidina al-Barra’ bin ‘Azib, Rasulullah menceritakan perihal soal jawab di alam kubur. Orang beriman yang menjawab soalan Munkar dan Nakir dengan baik diberikan hamparan dan pakaian daripada syurga, dibukakan baginya pintu syurga, dapat mencium haruman syurga, diluaskan kuburnya sejauh mata memandang, diberikan khabar gembira dengan balasan kebaikan yang dijanjikan sehingga dia memohon kepada Allah agar disegerakan hari kiamat untuk ia kembali ke pangkuan keluarganya dan hartanya. Sementara orang kafir pula yang sudah tentu gagal dengan ujian kubur ini, dihamparkan kepadanya hamparan daripada api neraka, dibukakan kepadanya pintu neraka yang bahang panasnya menyambar hingga ke kuburnya, disempitkan kuburnya sehingga berselisih tulang rusuknya dan diberikan khabar buruk yang dijanjikan kepadanya kerana kejahatannya sehingga dia memohon kepada Allah agar tidak dilaksanakan hari kiamat.
Melangkah ke alam barzakh merupakan hakikat yang tidak boleh dinafi, dielak atau dihalang oleh sesiapa pun. Bahkan jika kita merenung sejenak, gambaran di alam barzakh sudah tentu menggerunkan. Bayangkan setelah dimandikan, dikafankan dan disolatkan, jenazah akan disemadikan di dalam liang lahad. Di dunia terang benderang dengan cahaya, di dalam kubur gelap gelita tiada lampu mahu pun pelita. Di dunia meriah dengan teman dan saudara, di dalam kubur bersediri sebatang kara. Di dunia dilimpahi kemewahan dan harta, di dalam kubur membawa kafan dan keranda. Ditinggalkan oleh keluarga dan tetangga, didatangi ulat yang sedia menanti mangsa.
Itulah sebabnya mengapa kita perlu membuat persediaan, mencari bekalan yang secukupnya untuk perjalanan jauh ini. Perjalanan pergi yang tidak akan berpatah balik lagi. Bayangkan sekiranya bekal yang dibawa tidak mencukupi untuk kita di sana, bagaimanakah kita hendak mencari bekalan tambahan? Sedangkan ketika di dunia ini, untuk berkelana ke sesuatu tempat dekat dalam suatu masa yang singkat sahaja kita akan berusaha membawa bekal yang cukup. Di dunia sekiranya kita terputus bekalan dalam perjalanan boleh sahaja kita meminta bantuan daripada orang lain, tetapi di alam barzakh, jika tidak cukup bekal bagaimana kita hendak meminta pertolongan daripada orang lain?
Diriwayatkan daripada Saidina Abas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Tiga perkara akan mengiringi jenazah (ke perkuburan), lalu dua perkara akan pulang melainkan satu perkara yang akan kekal bersamanya. Ahli keluarganya, hartanya dan amalannya mengiringinya, kemudian ahli keluarga dan hartanya akan meninggalkannya dan tinggallah amalannya kekal bersamanya"
Hadis riawayat Imam Bukhari dan Imam Muslim
Justeru, marilah kita berusaha mecari bekal dengan beramal soleh. Janganlah kita bertangguh kerana kematian tidak semestinya memberi isyarat sebelum ia menjengah. Kematian tidak mensyaratkan tua atau sakit. Kematian tidak juga menunggu sehingga seseorang itu bersedia. Apabila tiba waktunya, kematian tidak akan dilengahkan atau diawalkan walaupun sedetik. Kematian tidak mengira yang kaya, miskin, tua, muda, sakit, sihat atau gagah perkasa, yang pastinya mesti akan datang kepada yang hidup dan bernyawa.
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya :
"Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa bermuhasabah dan dia pula beramal untuk hari selepas kematian. Manakala orang yang lemah (iman) pula ialah orang yang menuruti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah (untuk mendapat kebahagiaan dan keampunan tanpa beramal soleh)"
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Mulai saat ini, marilah kita sama-sama memelihara akidah, memperkemaskan ibadah fadhu, melipat gandakan amalan sunat, melazimi bacaan al-Quran, memperbanyakkan zikrullah, memperbaiki akhlak, menjaga hubungan sesama manusia, menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah serta mengelakkan perkara yang sia-sia. Amal-amal soleh inilah yang akan menemani kita dan menjadi benteng mempertahankan kita daripada ujian alam kubur. Janganlah kita lalai dengan kesenangan hidup dunia yang sementara sehingga lupa mengumpul bekal untuk akhirat, sedangkan akhiratlah kehidupan yang sebenar-benarnya.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 64 :
وَمَا هَـٰذِهِ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا لَهْوٌۭ وَلَعِبٌۭ ۚ وَإِنَّ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ لَهِىَ ٱلْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ ٦٤
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)"