recent
Terkini | تركيني

Kerana Pulut Santan Binasa

Laman utama

Agama Islam membentuk akhlak yang sempurna kepada seluruh umatnya. Antara perkara yang boleh membentuk kesempurnaan iman adalah memelihara lidah dan tutur kata. Lebih-lebih lagi, lidah yang tidak dikawal akan mudah melukakan hati seseorang. Imam Al-Ghazali munukilkan dalam kitabnya, Al-Arbain Fi Usul Al-Din lidah menyebabkan berlakunya lima keburukan utama iaitu berdusta, mengumpat, perdebatan, pujian dan gurauan. Jika tidak didorong dengan kebaikan, tidak mustahil lidah menjadi pencetus kepada terbentuknya dosa.

Kita harus ingat bahawa lidah inilah yang akan dibawa untuk menghadap Allah di Padang Mahsyar kelak. Pada ketika itu, bukan sekadar lidah, malah semua anggota badan kita akan bersuara menjadi saksi atas perlakuan kita semasa hayat di muka bumi Allah ini. Seperti firman Allah dalam Surah Yasin, ayat 65 :

ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ٦٥

"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan"

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zhar Al-Ghifari, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

"Hendaklah engkau lebih banyak diam, sebab dengan diam dapat menyingkirkan syaitan dan menolongmu terhadap urusan agamaMu"

Allah memperingatkan kita dalam surah Qaaf ayat 18 bahawa terdapat malaikat yang mencatat setiap ucapan manusia, yang baik mahupun yang buruk. Allah SWT berfirman,

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌۭ ١٨

"Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir"

Selaku seorang Muslim, kita sangat digalakkan untuk mengingati Allah dengan pelbagai kaedah sama ada di dalam hati malah membasahkan lidah dengan memperbanyakkan zikrullah serta selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semua hamba harus mensyukuri nikmat lidah dengan menjaganya daripada sesuatu yang bukan menjadi tujuan lidah dijadikan.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 152 :

فَٱذْكُرُونِىٓ أَذْكُرْكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِى وَلَا تَكْفُرُونِ ١٥٢

"Maka ingatlah kamu (berzikir) kepada-Ku, nescaya Aku akan ingat (pula) kepadamu"

Lidah manusia memang luar biasa. Disebabkan lidah, kita boleh selamat daripada api neraka dan mendapat amal yang paling baik. Mimbar mengajak sidang jumaat sekalian marilah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh ke arah perkara-perkara berikut iaitu :

  1. Dengan menggunakan lidah kita dapat mengucap kalimah syahadah, dapat membaca al-Quran dan dapat berselawat ke atas baginda Nabi Muhammad SAW yang akan memberikan kita syafaat pada hari akhirat kelak. Bicara kata ini juga boleh menjadi sesuatu yang bermanfaat buat diri dan orang lain seperti berzikir, bertarannum, mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran dan sebagainya
  2. Jauhkan diri kita daripada perkara yang sia-sia. Ambillah peluang keemasan pada hari yang barakah ini dengan menjauhkan diri daripada segala perkara yang tidak berfaedah sama ada perbuatan atau perkataan. Jagalah lidah dari perkara yang sia-sia, tutuplah mata dari pandangan dosa, pekakkan telinga dari perkara tercela dan jagalah hati dari perasaan kotor dan buruk sangka sehingga menyakiti dan menyinggung perasaan orang lain. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Bukan daripada kalangan orang yang sempurna imanya, mereka yang suka mencela, suka melaknat dan suka berkata-kata kotor"

(HR Imam Ahmad)

Orang Islam yang berprinsip seharusnya menjauhi diri daripada menuturkan perkataan-perkataan yang tidak baik, cercaan, tidak bercakap bohong dan seumpamanya.

Waspadalah dengan apa yang kita ungkapkan. Mudah-mudahan Allah berikan kita kekuatan untuk menghindari daripada bercakap perkara-perkara yang tidak baik.

Sebarang ungkapan atau buah bicara yang mengundang kebaikan kepada si pendengar boleh diibaratkan umpama satu sedekah. Ini kerana kata-kata yang baik boleh mendatangkan kegembiraan kepada orang lain atau mendorong seseorang untuk melakukan kebaikan.

Jika kita bersyukur dengan nikmat yang telah diperolehi dan sering mengingati akan kematian, maka taraf keimanan juga akan meningkat. Menjaga lidah juga termasuk dalam perbuatan yang meningkatkan keimanan seseorang. Semoga Allah menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga lidah serta memasukkan kita ke dalam syurga Allah di akhirat kelak.

Antara intipati yang dapat kita ambil antaranya :

  1. Lidah adalah anggota badan yg amat berkuasa, ia boleh membawa kebaikan dan boleh juga membawa kerosakan dan kehancuran jika disalahguna.
  2. Tuturkata yg berupa nasihat boleh memberi kesan yang besar kepada kehidupan seorang.
  3. Sentiasalah mengambil iktibar dari kata kata ilmuwan ini : "Lidah yang tidak bertulang boleh mematahkan hati seorang pejuang"

Hayatilah firman Allah dalam Surah Al-Isra ayat ke 53 :

وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُوا۟ ٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ كَانَ لِلْإِنسَـٰنِ عَدُوًّۭا مُّبِينًۭا ٥٣

"Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku : Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya setan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia"

google-playkhamsatmostaqltradent