Solat merupakan rukun Islam kedua yang wajib ditunaikan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Perintah mendirikan solat ini telahpun bermula semenjak berlakunya satu peristiwa besar di dalam Islam iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Ibadat solat mempunyai kepentingannya dan berkait rapat dengan kehidupan manusia. Di samping dapat membina keperibadian dan akhlak yang mulia selain satu kejayaan buat mereka yang memeliharanya.
Keutamaan solat dalam kehidupan seseorang sangat penting sehinggakan dirakamkan dalam sabdaan Nabi SAW syang bermaksud :
"Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang hamba pada hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang, dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal"
(HR At-Tirmizi)
Melalui amalan solat ini yang menjadikan kita sebagai hamba yang beroleh kejayaan yang hakiki. Kejayaan yang dicapai oleh seorang hamba bukanlah diukur dengan kekayaan wang ringgit, kecemerlangan dalam pekerjaan atau mungkin keberhasilan pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik. Tetapi kejayaan hakiki itu ialah kesejahteraan yang diperolehi di dunia mahupun di akhirat. Kesejahteraan di dunia bermaksud mendapat ketenangan hidup yang lahir daripada ketaatan kepada Allah. Kesejahteraan di akhirat pula hanya diperoleh apabila mendapat reda Allah dan dimasukkan ke dalam syurgaNya.
Dalam kehidupan kita, perlu kita sentiasa mengutamakan hak Allah dalam urusan hidup kita, pasti kita akan mendapat rahmat dan hidayah Allah, seterusnya mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Sebab itulah amalan solat perlu dilatih sejak usia muda. Ibu bapa wajib mendidik anak-anak menunaikan solat untuk menggalakkan anak-anak agar istiqamah mendirikan solat fardu berjemaah.
Jika tidak ada usaha ke arah tersebut sudah pastilah anak-anak makin sukar melaksanakan solat, dan sudah pastilah perkara paling kita takuti iaitu meninggalkan solat, hidup mereka terus diselubungi kekusutan dan kekufuran. Contohnya pada hari ini, di kalangan anak-anak atau mana-mana lapisan masyarakat ada yang sudah tidak tahu cara mengerjakan solat. Sedemikian amat meresahkan kita semua kerana yang membezakan kita sebagai muslim dan bukan muslim adalah pelaksanaan solat. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud :
"Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir iaitu meninggalkan solat"
Ingatlah, bahawa orang yang meninggalkan solat tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh syarak, mereka akan dicampakkan oleh Allah SWT ke Neraka Saqar. Al-Maraghi menukilkan dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Maraghi bahawa Neraka Saqar merupakan tempat penyeksaan dengan seksaan yang tersangatlah pedih. Bentuk seksaannya pula berupa sengatan api yang membakar kulit manusia hingga hitam kulitnya.
Sanggupkah kita berhadapan dengan seksaan Allah yang sebegitu dahsyat dek kerana kita meninggalkan solat. Allah SWT menggambarkan perihal orang yang diazabkan dengan neraka saqar dalam Surah al-Muddaththir ayat 42 dan 43 :
مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ ٤٢ قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ ٤٣
"Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata : Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam Neraka Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab : Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat"
Ada satu kisah yang boleh kita jadikan pedoman dan semangat buat kita semua. Seorang sahabat Nabi SAW bernama Tsauban RA. Menjadi kebiasaan yang unik dari beliau iaitu setiap kali masuk ke masjid sebelum solat berjemaah, dia selalu beritikaf di penjuru kanan masjid. Suatu pagi ketika solat subuh berjemaah akan dimulakan, Rasulullah SAW mendapati bahawa Tsauban tidak berada di tempatnya seperti biasa. Nabi SAW pun bertanya kepada jemaah yang hadir adakah sesiapa yang melihat Tsauban. Namun tiada seorang pun jemaah yang melihat Tsauban RA.
Selesai solat subuh, Nabi SAW bertanya kepada para sahabat, adakah sesiapa yang mengetahui khabar dari Tsauban. Namun tiada seorang pun yang menjawab. Nabi SAW bertanya lagi ada siapa yang mengetahui di mana rumah Tsauban. Lalu seorang sahabat mengangkat tangan dan mengatakan bahwa dia mengetahui di mana rumah Tsauban. Nabi yang khawatir terjadi sesuatu kepada Tsauban RA lalu meminta dihantarkan ke rumahnya. Perjalanan dengan berjalan kaki cukup lama ditempuh oleh Nabi SAW dan rombongan kira-kira 3 jam perjalanan dari masjid Nabawi.
Sampai di depan rumah tersebut Nabi SAW memberi salam lalu keluarlah seorang wanita sambil menjawab salam. Nabi SAW bertanya. "Benarkah ini rumah Tsauban?" "Ya benar, saya isterinya" Jawab wanita tersebut. "Bolehkah kami menemui Tsauban". Dengan berlinangan air mata, isteri Tsauban menjawab : "Beliau telah meninggal dunia pagi tadi".
"Ya Rasulullah SAW, ada sesuatu yang menjadi tanda tanya bagi kami semua, iaitu menjelang kematiannya dia berteriak tiga kali dengan setiap teriakan disertai satu pertanyaan iaitu :
"kenapa tidak lebih jauh......?"
"kenapa tidak yang baru....... ?"
"kenapa tidak semua......?"
Maka sabda Nabi SAW menyatakan saat itu Tsauban dalam keadaan sakaratul maut, Allah tayangkan segala kisah hidupnya yang menyebabkan Tsauban merasa tidak puas dengan amalannya.
Kisah yang pertama : "kenapa tidak jauh" merujuk kepada kenapa perjalanan menuju ke masjid tidak lebih jauh lagi jaraknya dari rumahnya, tentulah jika lebih jauh lagi jaraknya maka lagi besarlah ganjaran yang diperolehinya.
Kisah yang kedua : "kenapa tidak yang baru" merujuk kepada Tsauban RA yang memakai pakaian luar adalah pakaian yang lama, sedangkan pakaian yang dipakai di bahagian dalam adalah pakaian yang baru, kemudiaan semasa dalam perjalanannya ke masjid beliau terjumpa dengan seorang fakir yang di dalam kesejukkan, lalu beliau telah menanggalkan baju luarannya dan memberikan kepada fakir tersebut. Kekesalannya ialah kerana beliau telah memberikan baju yang lama bukan baju yang baru.
Kisah yang ketiga : "kenapa tidak semua" merujuk satu kisah sewaktu Tsauban memakan roti dan air susu, tiba-tiba datang seorang hamba Allah dalam kelaparan, lalu Tsauban berasa simpati dan hanya membahagikan sama banyak dengan pengemis tersebut. Seandainya dia memberikan semua roti itu kepada pengemis tersebut tentulah dia akan mendapat syurga yang lebih indah kerana saat itu, Allah SWT memperlihatkan ganjaran dari perbuatannya dengan syurga yang indah.
Jadi bermula saat ini, ajaklah anak-anak kita supaya hadir berjemaah di masjid supaya di masa depan kelak kita tidak berada di kalangan orang-orang yang menyesal dan kerugian. Jadikanlah kisah sahabat yang bernama Tsauban RA sebagai pencetus semangat kita dalam mengejar solat berjemaah.
Sebagai penutupnya, kita bolehlah mengambil istifadah :
- Solat merupakan kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap muslim.
- Jangan sesekali meninggalkan solat kerana Allah mengancam golongan yang tidak solat dengan neraka saqar yang amat dahsyat siksaannya.
- Didiklah anak dan keluarga supaya berterusan melaksanakan solat demi mencapai kesejahteraan di dunia iaitu mendapat ketenangan hidup yang lahir daripada ketaatan kepada Allah. Kesejahteraan di akhirat pula hanya diperoleh apabila mendapat reda Allah dan dimasukkan ke dalam syurgaNya.
- Jadilah diri kita seperti sahabat nabi, iaitu tsauban RA yang sentiasa solat berjemaah lalu membolehkannya dikurniakan kepada ganjaran syurga yang penuh dengan kenikmatan.